Ikutlah Aku
Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja


“Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Perjanjian Lama 2026 (2026)

pasangan mengkaji bersama

Menggunakan Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja

Sumber Ini Untuk Siapa?

Ikutlah Aku adalah untuk sesiapa yang ingin belajar daripada tulisan suci—secara individu, sebagai keluarga, dan dalam kelas-kelas Gereja. Jika anda tidak kerap mengkaji tulisan suci sebelum ini, sumber ini boleh membantu anda bermula. Jika anda sudah mengamalkan tabiat pengkajian tulisan suci yang baik, sumber ini akan membantu anda mempunyai pengalaman yang lebih bermakna.

Individu dan Keluarga di Rumah

Tempat yang ideal untuk mempelajari injil adalah rumah. Pengajar anda di gereja boleh menyokong anda, dan anda boleh mendapat galakan daripada ahli bahagian yang lain. Tetapi untuk bertahan secara rohani, anda dan keluarga anda perlukan pemeliharaan harian dari “firman Tuhan yang baik” (Moroni 6:4, lihat juga Russell M. Nelson, “Ucapan Pembukaan,” Liahona, Nov. 2018, 6–8).

Gunakan sumber ini dalam apa cara pun yang boleh membantu anda. Garis panduan ini menekankan beberapa kebenaran abadi yang terdapat dalam Perjanjian Lama. Ia juga mencadangkan idea-idea dan aktiviti-aktiviti untuk membantu anda mengkaji tulisan suci secara individu, dengan keluarga anda, atau dengan kawan-kawan. Semasa anda mengkaji, ikuti bimbingan Roh untuk mencari kebenaran abadi yang bermakna bagi anda. Cari pesanan Tuhan untuk anda, dan ikuti dorongan yang anda terima.

Pengajar dan Pelajar di Gereja

Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja ialah kurikulum untuk kelas-kelas Ahad di Sekolah Primer, Sekolah Minggu remaja dan dewasa, kelas Remaja Puteri, dan pertemuan kuorum Imamat Harun. Jika anda mengajar dalam mana-mana tetapan ini, anda digalakkan untuk gunakan garis panduan dalam sumber ini untuk kajian peribadi anda dan semasa anda bersedia untuk mengajar. Mulakan dengan mempunyai pengalaman anda sendiri dalam tulisan suci. Persediaan anda yang paling penting berlaku semasa anda menyelidiki tulisan suci dan mencari ilham Roh Kudus. Cari kebenaran abadi yang membantu anda menjadi lebih seperti Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Ikutlah Aku dapat membantu anda mengenal pasti beberapa kebenaran ini dan memahami konteks tulisan suci.

Ingatlah bahawa pembelajaran injil, yang terbaik, adalah berpusat di rumah dan disokong oleh Gereja. Dalam kata lain, tanggungjawab utama anda adalah untuk menyokong orang yang anda ajar dalam usaha mereka untuk belajar dan menjalankan injil di rumah. Usah risau tentang menyediakan kandungan unik untuk mereka di kelas. Berikan mereka peluang untuk berkongsi pengalaman, fikiran, dan soalan mereka tentang petikan tulisan suci yang mereka baca di rumah. Jemputlah mereka untuk berkongsi kebenaran abadi yang mereka temui. Ini lebih penting daripada mengajar sejumlah bahan pengajaran tertentu.

Kelas Sekolah Minggu Remaja dan Orang Dewasa

Satu sebab utama kita berkumpul dalam kelas Sekolah Minggu adalah untuk menyokong dan saling menggalakkan semasa kita berusaha untuk mengikuti Yesus Kristus. Cara mudah untuk melakukan ini adalah dengan bertanya soalan seperti “Apakah yang Roh Kudus ajarkan anda minggu ini semasa anda mengkaji tulisan suci?” Jawapan kepada soalan ini boleh membawa perbincangan bermakna yang membina iman kepada Yesus Kristus dan injil-Nya.

Kemudian anda boleh menjemput perbincangan berdasarkan cadangan kajian dalam Ikutlah Aku. Sebagai contoh, idea kajian mungkin mencadangkan untuk menyelidiki Yesaya 53, mencari perkataan yang menggambarkan misi Juruselamat. Anda boleh meminta ahli kelas untuk berkongsi sebarang pemikiran atau perasaan yang perkataan ini telah ilhamkan mereka. Atau anda boleh meluangkan masa untuk mencari perkataan ini bersama.

Kuorum Imamat Harun dan Kelas Remaja Puteri

Apabila kuorum Imamat Harun dan kelas Remaja Puteri bertemu pada hari Ahad, tujuan mereka agak berbeza daripada kelas Sekolah Minggu. Selain saling membantu mempelajari injil Yesus Kristus, kumpulan ini juga bertemu untuk berunding bersama tentang melaksanakan kerja penyelamatan dan permuliaan (lihat Buku Panduan Umum, 1.2). Mereka melakukan ini dengan arahan presidensi kelas dan kuorum.

Oleh itu, setiap pertemuan kuorum atau kelas harus bermula dengan seorang ahli presidensi kuorum atau kelas yang memimpin perbincangan tentang usaha, contohnya, menjalankan injil, melayani orang yang memerlukan, berkongsi injil, atau terlibat dalam kerja bait suci dan sejarah keluarga.

Selepas waktu berunding bersama ini, seorang pengajar memimpin kelas atau kuorum dalam pembelajaran injil bersama. Pemimpin dewasa atau ahli kelas atau kuorum boleh ditugaskan untuk mengajar. Presidensi kelas atau kuorum, berunding dengan pemimpin dewasa, membuat tugasan ini.

Orang yang ditugaskan untuk mengajar harus bersedia dengan menggunakan cadangan pembelajaran dalam garis panduan mingguan Ikutlah Aku. Dalam setiap garis panduan, ikon ini ikon seminari menunjukkan aktiviti yang sangat berkaitan dengan remaja. Walau bagaimanapun, sebarang cadangan dalam garis panduan ini boleh digunakan sebagai aktiviti pembelajaran untuk remaja.

Untuk contoh agenda pertemuan kuorum dan kelas, lihat lampiran D.

Sekolah Primer

Persediaan untuk mengajar Sekolah Primer bermula semasa anda mengkaji tulisan suci secara peribadi dan bersama keluarga anda. Semasa anda melakukannya, dengarkan tanggapan dan pandangan rohani daripada Roh Kudus tentang kanak-kanak di kelas Sekolah Primer anda. Berdoa, dan Roh dapat mengilhami anda dengan idea-idea untuk membantu mereka mempelajari injil Yesus Kristus.

Semasa anda bersedia untuk mengajar, anda mungkin memperoleh ilham tambahan dengan menerokai idea pengajaran dalam Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja. Setiap garis panduan dalam sumber ini mempunyai bahagian bertajuk “Idea-idea untuk Mengajar Kanak-kanak.” Fikirkan idea-idea ini sebagai cadangan untuk mencetuskan ilham anda. Anda mengenali kanak-kanak di kelas Sekolah Primer—dan anda akan lebih mengenali mereka semasa anda berinteraksi dengan mereka dalam kelas. Tuhan juga mengenali mereka, dan Dia akan mengilhami anda dengan cara yang terbaik untuk mengajar dan memberkati mereka.

Ada kemungkinan bahawa kanak-kanak dalam kelas anda telah melakukan beberapa aktiviti dalam Ikutlah Aku bersama keluarga mereka. Itu OK. Pengulangan merupakan sesuatu yang baik. Pertimbangkan untuk menjemput kanak-kanak untuk saling berkongsi apa yang mereka pelajari di rumah—anda juga harus merancang cara-cara untuk kanak-kanak terlibat walaupun mereka tidak belajar di rumah. Kanak-kanak belajar kebenaran injil dengan lebih berkesan apabila kebenaran itu diajar berulang kali melalui pelbagai aktiviti. Jika anda mendapati satu aktiviti pembelajaran amat berkesan bagi kanak-kanak, pertimbangkan untuk mengulanginya, terutamanya jika anda mengajar kanak-kanak yang lebih kecil. Anda juga boleh mengulangi aktiviti dari pelajaran sebelumnya.

Dalam bulan yang ada lima hari Ahad, pengajar Sekolah Primer digalakkan untuk menggantikan garis panduan Ikutlah Aku yang dijadualkan pada hari Ahad kelima dengan satu atau lebih aktiviti pembelajaran dalam “Lampiran B: Untuk Sekolah Primer—Menyediakan Kanak-Kanak untuk Seumur Hidup di Jalan Perjanjian Tuhan.”