“Memberkati Semua Bangsa di Bumi,” Liahona, Mac 2026.
Pesanan Bulanan Liahona, Mac 2026
Memberkati Semua Bangsa di Bumi
Jika kita mengikuti dan berkongsi rancangan Bapa Syurgawi untuk keluarga, Dia akan bersama kita, menyokong kita, dan menyertai kita dalam perjalanan kita kembali kepada-Nya.
Jacob’s Dream at Bethel [Mimpi Yakub di Betel], oleh J. Ken Spencer
Baru-baru ini, Sister Uchtdorf dan saya menghadiri pembaptisan salah seorang cicit kami. Ketika kami menyaksikan pelbagai generasi meraikan peristiwa ini dengan penuh kebahagiaan, kami merasakan kesyukuran yang mendalam kepada Bapa Syurgawi atas rancangan keselamatan-Nya bagi anak-anak-Nya. Kami merasakan betapa pentingnya keluarga dan perjanjian kudus kepada-Nya sejak awal lagi.
Kepentingan itu dapat dilihat dalam laporan Perjanjian Lama tentang Yakub yang beriman, yang mengambil perjalanan yang panjang dan bersemangat untuk mencari seorang isteri, berkahwin dalam perjanjian, dan membina sebuah keluarga. Pada suatu malam, Yakub berhenti untuk berehat, tetapi yang ada hanyalah batu sebagai alas kepalanya. Dia pasti sangat letih kerana dia masih dapat tertidur—dan bermimpi.
Dengan matlamat-matlamatnya yang layak tentang perkahwinan dan keluarga perjanjian pastinya terlintas di fikirannya, Yakub nampak “sebuah tangga di bumi yang hujungnya sampai ke langit, dan malaikat-malaikat turun naik tangga itu.
“Kemudian dia nampak Tuhan berdiri di sampingnya dan berfirman, ‘Akulah Tuhan, Tuhan yang disembah Abraham dan Ishak.’” (Kejadian 28:12–13).
Kemudian Tuhan membuat beberapa janji perjanjian penting kepada Yakub—janji-janji yang juga dibuat dengan bapa Yakub, Ishak, dan datuknya, Abraham, termasuk:
-
Janji-janji bahawa Yakub akan menjadi bapa kepada “banyak bangsa” (Kejadian 28:3; lihat juga ayat 14).
-
Janji-janji mengenai tanah bagi keturunan Yakub (lihat Kejadian 28:4, 13).
-
Janji-janji bahawa melalui Yakub dan “keturunannya akan memberkati semua bangsa di bumi” (Kejadian 28:14; penekanan ditambah).
Begitu kudusnya pengalaman Yakub itu sehingga dia mengisytiharkan: “Tuhan ada di sini. … Tentulah ini rumah Tuhan, pintu gerbang syurga.” (Kejadian 28:16–17). Jadi, Yakub menamakan kawasan itu Bet-el, yang bermaksud “rumah Tuhan” (Kejadian 28:19).
Berkat-berkat yang dijanjikan dalam mimpi Yakub memerlukan Yakub untuk mendaki secara kiasan dalam kehidupan sebenar. Sebagai Orang Suci Zaman Akhir, tidak susah untuk melihat kaitan di antara mimpi Yakub, perjanjian Tuhan, dan rumah Tuhan. Bait suci sangat mirip dengan tangga yang dilihat Yakub itu. Ajaran, tatacara, dan perjanjian rumah Tuhan menghubungkan syurga dan bumi. Perjanjian-perjanjian itu seperti anak tangga pada tangga, yang membawa kita semakin dekat kepada Tuhan. Dan, melalui pelayanan kudus yang kita tawarkan di bait suci, kita sedang memberkati “semua bangsa di bumi”—masa lalu, kini, dan masa depan.
“Alangkah Hebatnya Penemuan Ini!”
Elder Bruce C. Hafen, seorang ahli Tujuh Puluh emeritus, pernah menerima panggilan telefon daripada editor sebuah majalah berita nasional. Editor tersebut ingin berbincang tentang sebuah buku baharu yang meneliti sejarah kepercayaan mengenai syurga di pelbagai agama.
“Penulis-penulis itu mendapati bahawa orang ramai merasakan keinginan yang meluas untuk syurga—dan untuk keluarga di syurga,” tulis Elder Hafen. Namun, walaupun kebanyakan orang masih percaya kepada kehidupan selepas mati, kasih abadi, dan pertemuan semula keluarga di syurga, “kebanyakan gereja Kristian memberikan sedikit respons terhadap keinginan dalaman ini”—dengan satu pengecualian: Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.
Dalam Gereja Juruselamat yang dipulihkan, kita mempunyai bait suci yang kudus. Kita mempunyai perkahwinan abadi, dengan wewenang pemeteraian yang memberkati melampaui kematian jasmani. Kita mempunyai janji masa depan abadi dengan orang yang dikasihi di hadirat Bapa dan Putera. Berdasarkan kesemua ini, penulis-penulis tersebut menyimpulkan bahawa konsep syurga menurut Orang Suci Zaman Akhir adalah yang paling lengkap—dan, saya ingin menambah, yang paling gembira.
“Alangkah Hebatnya Penemuan Ini!” Elder Hafen memerhati. “Hari ini, kebanyakan orang menginginkan keluarga yang abadi, dan [injil Yesus Kristus yang dipulihkan] memenuhi keinginan itu dengan lebih sempurna daripada mana-mana idea [atau ajaran agama] yang lain. Saya berharap seluruh dunia dapat mendengar anak-anak [kami] menyanyikan berita gembira: ‘K’luarga Dapat Kekal Selamanya.’”
Keluarga bukan sahaja satu susunan sosial yang mudah. Ia adalah pola abadi syurga. Mereka adalah “utama di dalam rancangan Pencipta demi takdir ilahi yang abadi bagi anak-anak-Nya.” Presiden Russell M. Nelson (1924–2025) mengajar kita: “[Tuhan] menciptakan bumi [supaya] kita dapat memperoleh tubuh jasmani dan membentuk keluarga. Dia menubuhkan Gereja-Nya untuk memuliakan keluarga. Dia menyediakan bait suci supaya keluarga boleh bersama selamanya.”
Tetapi minat kita terhadap keluarga yang kuat bukan hanya tentang takdir abadi. Keluarga juga memainkan peranan penting dalam kebahagiaan fana kita. Bapa Syurgawi kita, yang tahu dengan sempurna apa yang membawa kegembiraan sekarang dan secara abadi, menghantar anak-anak-Nya kepada keluarga—tidak sempurna seperti mereka—dan menjemput kita untuk membina dan memelihara keluarga yang kuat. Semestinya, “ketidakupayaan, kematian, atau keadaan-keadaan lain barangkali memerlukan penyesuaian tersendiri.” Tetapi tiada apa pun yang dapat menggantikan tanggungjawab suami dan isteri, bapa dan ibu yang penting dan dilantik secara ilahi.
Penyelidikan mengenai “keluarga biologi, terikat, dengan dua ibu bapa” terus menunjukkan bahawa keluarga ini sangat diperlukan dalam memelihara “ikatan mendalam antara ahli keluarga.” Ia merupakan “medium utama bagi pembentukan individu yang stabil, seimbang, dan mempunyai kesedaran sosial.”
Pembela Keluarga yang Tekun
Sudah tentu, tidak mengejutkan bahawa sesuatu yang sangat penting dalam rancangan Tuhan akan menghadapi pertentangan. Setan tidak pernah berpihak kepada keluarga, dan usahanya kini semakin giat “kerana [dia] tahu bahawa masanya tinggal sedikit” (Wahyu 12:12). Seperti Presiden M. Russell Ballard (1928–2023), Pemangku Presiden Kuorum Dua Belas Rasul, berkata, “Setan tahu bahawa cara yang paling pasti dan berkesan untuk mengganggu pekerjaan Tuhan adalah untuk mengecilkan keberkesanan keluarga dan kekudusan rumah.”
Dengan pengetahuan yang kita miliki tentang keluarga abadi Tuhan, rancangan-Nya bagi anak-anak-Nya, dan kepentingan abadi hubungan kekeluargaan, kita seharusnya menjadi antara pembela keluarga yang paling tekun di dunia.
Bagaimanakah kita lakukan ini?
Presiden Dallin H. Oaks memberikan nasihat ini: ‘Perisytiharan keluarga … merupakan penegasan semula Tuhan terhadap kebenaran injil yang kita perlukan untuk menyokong kita menghadapi cabaran-cabaran semasa terhadap keluarga.”
Dalam kehidupan peribadi kita, kita boleh melakukan “hal-hal yang kecil dan sederhana” (Alma 37:6) yang menguatkan hubungan keluarga. Ini termasuklah mematuhi asas-asas keluarga dan perkahwinan yang berjaya seperti yang digariskan dalam perisytiharan keluarga: “iman, doa, pertaubatan, pengampunan, hormat, kasih sayang, belas kasihan, kerja, dan kegiatan rekreasi yang baik dan sihat.” Tidak kira apa pun situasi keluarga kita sekarang, kita boleh tunjukkan dengan tindakan kita bahawa hubungan keluarga adalah sangat penting bagi kita.
Sebagai “warganegara-warganegara … yang bertanggungjawab” dalam komuniti kita, kita boleh “menggalakkan langkah-langkah yang dicipta dengan tujuan mengekalkan serta menguatkan keluarga.”
Kita adalah umat perjanjian Tuhan zaman akhir. Kita adalah pewaris janji-janji yang dibuat kepada Abraham, Ishak, dan Yakub—janji-janji yang ada kaitan dengan keluarga. Janji-janji itu datang dengan panggilan kudus untuk memberkati “semua bangsa di bumi.” Dan satu cara penting kita melakukannya adalah dengan menjalani, mempertahankan, dan berkongsi kebenaran abadi bahawa “keluarga ditahbiskan oleh Tuhan” dan bahawa “tatacara-tatacara dan perjanjian-perjanjian yang sedia ada di rumah Tuhan yang kudus memungkinkan setiap orang untuk kembali ke hadirat Tuhan dan membolehkan keluarga-keluarga disatukan secara abadi.”
“Aku akan Melindungi Engkau”
Apabila Sister Uchtdorf dan saya melihat ahli keluarga kami membuat perjanjian kudus dengan Bapa Syurgawi, hati kami penuh dengan kebahagiaan dan kesyukuran. Kami bukan sahaja bergembira dengan anak-anak kami dan anak-anak mereka tetapi juga ibu bapa kami dan ibu bapa mereka. Kami merenung dengan kasih mendalam bagaimana perjanjian injil menyatukan kami merentasi generasi. Pengalaman itu hampir sama seperti menyaksikan “sebuah tangga di bumi … hujungnya sampai ke langit, dan malaikat-malaikat turun naik tangga itu.” (Genesis 28:12).
Berkat-berkat yang Tuhan janjikan kepada Yakub dalam mimpinya dihulurkan kepada semua anak perjanjian-Nya—termasuk anda dan saya. Seperti Tuhan lakukan untuk Yakub, Dia akan menjawab kita “pada masa kesukaran [kita]” (Kejadian 35:3) jika kita memilih Dia.
“Ingatlah,” Tuhan berkata, “Aku akan melindungi engkau dan menolongmu ke mana sahaja engkau pergi, … Aku tidak akan meninggalkan engkau (Kejadian 28:15).
Seperti Yakub, kita semua mempunyai padang belantara untuk diseberangi. Kadangkala berkat-berkat yang dijanjikan kelihatan jauh. Apabila masalah atau cabaran serius datang, kita boleh mempersoalkan kasih Tuhan. Kita bahkan mungkin merasakan bahawa Tuhan telah meninggalkan kita. Walaupun kita telah berusaha sedaya upaya dalam penganutan, kita mungkin merasakan bahawa kita tidak menerima berkat-berkat yang kita harapkan.
Saudara dan saudari, sahabat-sahabat yang dikasihi, jalan perjanjian ialah jalan yang penuh kebahagiaan, walaupun pada waktu-waktu tertentu ia mungkin disertai dengan air mata. Jika anda merasakan bahawa sebahagian daripada rancangan kebahagiaan belum terlaksana dalam kehidupan anda pada masa ini, percayalah bahawa Tuhan mengingati anda dan akan memberkati anda pada waktu-Nya yang ditentukan, menurut kebijaksanaan-Nya.
Iman kepada Yesus Kristus dan janji-janji-Nya mendorong kita untuk memandang ke hadapan, bukan ke belakang. Kerana Dia, masa depan kita tidak perlu ditawan dengan apa-apa yang telah berlaku pada masa lalu atau menyekat pandangan kita sekarang. Ya, kita semua, atau akan, terluka dalam satu cara atau yang lain. Tetapi kita percaya kepada Penyembuh Agung. Kita mempercayai-Nya—sebegitu besar, sehingga kita menerima janji-janji-Nya, sepenuhnya “menyambutnya,” walaupun ia masih “jauh” (Ibrani 11:13).
“Harus diingatkan bahawa, dalam cara dan masa Tuhan sendiri, tiada berkat yang akan ditahan daripada Orang Suci-Nya yang beriman,” kata Presiden Nelson. “Tuhan akan menghakimi dan memberi ganjaran kepada setiap individu mengikut hasrat dan perbuatan yang tulus.”
Saya berjanji bahawa apabila kita mengikuti dan berkongsi rancangan Bapa Syurgawi untuk keluarga, Dia akan bersama kita, menyokong kita, dan menyertai kita dalam perjalanan kita. Dia tidak akan meninggalkan kita bersendirian, terutamanya apabila percubaan datang kepada kita atau kepada orang yang kita kasihi. Dia akan memikul kita, mengangkat kita, dan membawa kita ke tanah yang dijanjikan, iaitu kegenapan kebahagiaan bersama-Nya, bersama Anak-Nya, Yesus Kristus, dan bersama keluarga kita—untuk keabadian.
© 2026 oleh Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, March 2026. Malay. 19937 348