Pesanan Pemimpin Kawasan Asia
Berkat Datang daripada Membuat dan Mematuhi Perjanjian Kudus
“Tuhan mempunyai kasih istimewa untuk mereka yang membuat perjanjian dengan-Nya, untuk mereka yang pilih untuk melayani-Nya dan anak-anak-Nya setiap hari, dan untuk mereka yang berusaha untuk menjadi seperti-Nya.”
Kuasa Perjanjian yang Berkekalan
Sebagai seorang budak lelaki yang baru berusia lapan tahun, saya ingat dengan jelas penantian yang membawa kepada pembaptisan saya. Saya mempunyai jangkaan yang tinggi, benar-benar percaya saya akan merasakan sesuatu yang sangat luar biasa dan dengan segera. Apabila perasaan itu tidak muncul, saya agak keliru. Saya rasa saya mengharapkan berkat segera; satu transformasi yang segera. Merenungkan kembali pembaptisan saya lebih daripada 50 tahun yang lalu dan semua yang telah berlaku sejak itu, saya kini memahami semuanya dengan lebih jelas.
Pengalaman memasuki perjanjian pembaptisan, bersama dengan banyak perjanjian yang telah saya buat dengan Tuhan sejak itu, telah menjadi rangkaian berkat terbesar dalam hidup saya. Ia bukanlah tentang perasaan atau perubahan segera, tetapi lebih tentang kuasa yang mendalam yang telah perlahan-lahan dan konsisten dalam hidup saya. Saya kini benar-benar menyedari kuasa besar dan berkat-berkat yang telah datang kepada saya, bukan dari satu saat tertentu, tetapi daripada pilihan beriman yang mudah yang saya buat setiap kali saya menyatakan kepercayaan saya kepada Tuhan melalui tindakan membuat dan mematuhi perjanjian yang tidak terkira banyaknya.
Perjanjian Adalah satu Perkongsian: Apabila kita membuat perjanjian dengan Tuhan kita memasuki hubungan yang kudus. Kita berjanji untuk menjalankan iman, berusaha untuk mematuhi perintah-perintah-Nya, dan berusaha dengan gigih untuk membuat pilihan yang soleh. Sebagai balasan, kita diberkati untuk merasakan bimbingan, kekuatan, dan sokongan-Nya yang penuh kasih melalui semua keadaan kehidupan. Presiden Russell M. Nelson mengajar bahawa hubungan perjanjian dengan Tuhan, “… membenarkan Dia memberkati dan mengubah kita…. Jika kita membiarkan Tuhan menang dalam hidup kita, perjanjian itu akan membawa kita lebih dekat kepada-Nya.” (“Perjanjian Abadi,” Liahona, Oktober 2022)
Transformasi Secara Beransur-ansur: Perkembangan dan perubahan yang datang daripada perjanjian selalu merupakan proses penghalusan. Seperti sungai yang mengukir ngarai, usaha berterusan dan hati yang bersedia untuk dibimbing oleh Roh secara beransur-ansur membentuk kita menjadi seperti yang Tuhan kehendaki. Transformasi ini mungkin sedikit setiap hari tetapi menjadi tidak dapat dinafikan selama bertahun-tahun dan dekad. Saya mungkin tidak berasa berbeza selepas pembaptisan saya tetapi pilihan yang saya buat kerana perjanjian itu, hari demi hari, membawa kepada perkembangan yang ketara dalam hidup saya.
Kematangan Rohani: Perjalanan saya daripada seorang budak lelaki berusia lapan tahun yang mengharapkan perubahan segera kepada seorang dewasa yang mengenali berkat jangka panjang menunjukkan perkembangan dalam kematangan rohani. Dengan masa dan pengalaman kita boleh belajar untuk mengenali tangan Tuhan dalam kehidupan kita. Kita mula melihat bagaimana tindakan kecil penuh iman yang berakar dalam perjanjian kita membawa kepada hasil yang penting.
Berkat Melimpah daripada Mematuhi Perjanjian
Setiap perjanjian yang saya buat sejak pembaptisan saya telah menambah kepada berkat, pengetahuan, dan kuasa rohani yang terkumpul. Ia bukan sekadar satu perjanjian, tetapi pola mematuhi perjanjian yang telah membuka pintu syurga ke dalam hidup saya. Apabila saya merenung perjanjian saya, saya melihat belas kasihan Tuhan yang lembut memberi saya:
-
Keberanian untuk memilih melayani misi, berkahwin dalam bait suci, dan mempunyai anak-anak;
-
Iman untuk terus berusaha walaupun menghadapi cabaran dalam kerjaya saya;
-
Kasih tanpa syarat untuk anak-anak saya walaupun mereka memilih jalan lain;
-
Kekuatan untuk mengampuni rakan niaga yang menipu saya;
-
Harapan untuk pengampunan melalui korban tebusan Juruselamat yang membenarkan saya terus bertaubat walaupun dengan kelemahan saya; dan
-
Kedamaian untuk menghadapi kematian ibu bapa saya.
Raja Benyamin mengajar, “Dan selain itu, aku berhasrat agar kamu hendaknya mempertimbangkan keadaan diberkati dan bahagia orang yang mentaati perintah-perintah Tuhan. Kerana lihatlah, mereka diberkati dalam segala hal, baik duniawi mahout rohani; dan jika mereka bertahan setia sampai akhir mereka diterima ke dalam syurga, agar dengan demikian mereka boleh berdiam bersama Tuhan dalam suatu keadaan kebahagiaan yang tak akan berakhir.” (Mosia 2:41)
Walaupun terdapat banyak yang belum saya fahami, saya tahu ini dengan pasti: Tuhan mempunyai kasih istimewa untuk mereka yang membuat perjanjian dengan-Nya, untuk mereka yang pilih untuk melayani-Nya dan anak-anak-Nya setiap hari, dan untuk mereka yang berusaha untuk menjadi seperti-Nya. Saya amat bersyukur untuk ibu bapa saya yang bijaksana dan teladan soleh mereka untuk memasuki air pembaptisan yang telah menunjukkan jalan untuk saya ikuti. Oleh kerana perjanjian dan berkat yang saya telah lihat dalam hidup saya apabila saya berusaha untuk mematuhinya, saya tahu Tuhan hidup dan mengasihi saya dengan belas kasihan yang lembut. Hati saya milik-Nya dan saya memilih setiap hari untuk bertindak dengan iman dan mengikuti teladan ilahi-Nya. ■