2025
Perjanjian, Kuasa dan Janji-janji
Oktober 2025 Liahona


“Perjanjian, Kuasa, dan Janji-janji,” Liahona, Okt. 2025.

Pesanan Bulanan Liahona, Oktober 2025

Perjanjian, Kuasa, dan Janji-janji

Bait suci adalah pusat kepada kuasa dan perlindungan yang dijanjikan kepada yang beriman sebelum Kedatangan Kedua Tuhan Yesus Kristus.

ilustrasi Joseph Smith berdiri di hadapan Bait Suci Kirtland

Ilustrasi Joseph Smith oleh Dan Burr

Pada Mei 1833, datuk moyang ke-empat saya Asahel Perry dan beberapa kawan mengembara dari utara New York ke Kirtland, Ohio. Mereka bukan ahli Gereja yang baru dipulihkan, tetapi mereka ingin bertemu dengan Nabi Joseph Smith. Mereka tiba tepat pada masanya untuk menghadiri majlis pertama yang diadakan untuk membincangkan pembinaan Bait Suci Kirtland.

Selepas memulakan majlis, Nabi membentangkan urusan pembinaan bait suci. Kemudian dia memanggil mereka yang hadir untuk menyatakan perasaan mereka yang berkaitan dengan usaha yang besar itu. Kebanyakan menjawab bahawa Gereja terlalu miskin untuk menangani tugas sedemikian. Mereka mencadangkan pembinaan bangunan yang lebih kecil dan lebih murah.

Semasa perbincangan berikutnya, Datuk Perry dan kawan-kawannya berkumpul, mengambil wang mereka, dan menambahnya. Adakah mereka mempunyai wang yang cukup untuk membayar perjalanan pulang mereka dan menyumbang kepada pembinaan bait suci? Beberapa minit kemudian, datuk saya menghampiri Joseph Smith, menarik keluar duit syiling emas lima dolar, dan mempersembahkannya kepada Nabi. (Syiling seperti itu hari ini akan berharga beratus-ratus dolar!)

Joseph berdiri di hadapan majlis dan menunjukkan duit syiling itu. Kemudian, bercakap dengan bersungguh-sungguh, dia berkata bahawa “pekerjaan itu telah bermula dan Rumah [Tuhan] akan dibina menurut pola yang dipersembahkan” oleh Tuhan Yesus Kristus.

Keluarga Perry tidak lama kemudian menyertai Gereja di Kirtland, menerima berkat bait suci mereka beberapa tahun kemudian di Bait Suci Nauvoo, dan kemudian menyeberangi dataran ke Utah.

Pada masa Bait Suci Kirtland dibaktikan pada tahun 1836, ia terlalu kecil untuk semua Orang Suci Zaman Akhir yang ingin menghadiri pembaktiannya. Apabila Gereja berkembang, begitu juga dengan bilangan Orang Suci yang menghadiri pertemuan di luar bangunan. Presiden James E. Faust (1920–2007), yang melayani sebagai presiden pancang saya ketika saya seorang remaja putera dan seorang mentor ketika saya dipanggil sebagai Penguasa Umum pada tahun 2007, membuat pemerhatian ini mengenai bait suci kedua Gereja:

“Sebelum Bait Suci Nauvoo disiapkan pada tahun 1846 para Orang Suci akan bertemu di luar bangunan, yang berdekatan bait suci, untuk mendengar Joseph dan para pemimpin Gereja yang lain berucap. Kadangkala ribuan menghadiri pertemuan itu”—kadangkala bahkan dalam cuaca buruk.

“Seperti [Elder] George A. Smith perhatikan dengan cara yang lucu, ‘Pada zaman Nabi Joseph … [Gereja] berkembang paling baik di luar bangunan.’”

Kami bersyukur bahawa pada zaman kita, Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir semakin berkembang baik di luar bangunan, di dalam bangunan, mahupun di seluruh dunia. Perkembangan itu termasuk pembinaan bait suci pada kelajuan yang tidak pernah terjadi sebelumnya “menurut pola yang dipersembahkan”—suatu pola yang selalunya termasuk berkat, pentahbisan, iman, dan pengorbanan.

ilustrasi Bait Suci Kirtland

A Glorious Light—Kirtland Temple [Cahaya Agung—Bait Suci Kirtland], oleh Glen S. Hopkinson, tidak boleh disalin

Mengapa Begitu Banyak Bait Suci?

“Para leluhur kita telah bernubuat bahawa bait suci akan mengubah landskap Amerika Utara dan Selatan, kepulauan Pasifik, Eropah, dan di tempat lain,” kata Presiden Eza Taft Benson (1899–1994) beberapa dekad yang lalu. “Jika kerja penebusan ini mesti dilakukan pada skala itu, beratus-ratus bait suci diperlukan.”

Presiden Russell M. Nelson berkata kita sedang membina bait suci pada kelajuan yang tidak pernah berlaku hari ini “kerana Tuhan telah memerintahkan kita untuk melakukannya. Berkat-berkat bait suci membantu mengumpulkan Israel di kedua sisi tabir. Berkat-berkat ini juga membantu mempersiapkan orang yang akan membantu mempersiapkan umat yang akan membantu mempersiapkan dunia bagi Kedatangan Kedua Tuhan!”

Dalam doa pembaktian bait suci Kirtland, Joseph Smith berdoa “agar semua orang yang akan masuk ke ambnag pintu rumah Tuhan boleh merasakan kuasa-Mu. …

“Dan kami memohon kepada-Mu, Bapa Yang Kudus, agar para hamba-Mu boleh pergi dari rumah ini bersenjatakan kuasa-Mu, dan agar nama-Mu boleh berada pada diri mereka, dan kemuliaan-Mu di sekeliling mereka, dan para malaikat-Mu menjaga mereka” (Ajaran dan perjanjian 109:13, 22; penekanan ditambah; lihat juga ayat 23).

Apabila saya membaca ayat-ayat itu, saya memikirkan penglihatan Nefi tentang zaman akhir. Perhatikan kata-kata yang serupa: “Dan terjadilah bahawa aku, Nefi, nampak kuasa Anak Domba Tuhan, bahawa ia turun ke atas orang suci gereja Anak Domba, dan ke atas umat perjanjian Tuhan, yang telah dicerai-beraikan ke seluruh permukaan bumi; dan mereka disenjatai dengan kesolehan dan dengan kuasa Tuhan dalam kemuliaan yang agung” (1 Nefi 14:14; penekanan ditambah).

Saya percaya bahawa bait suci zaman akhir memainkan peranan penting dalam pengenapan nubuat Nefi dan adalah pusat perlindungan dan kuasa yang dijanjikan kepada yang beriman sebelum Kedatangan Kedua.

Beberapa tahun yang lalu, semasa saya melayani sebagai uskup bahagian universiti, saya kagum dengan seorang remaja puteri dalam bahagian saya. Dia masih mengagumkan saya. Anda mengenali dia sebagai Presiden Emily Belle Freeman, Presiden Umum Remaja Puteri. Dalam ucapan persidangan umum baru-baru ini, dia mengajar bahawa melalui bait suci, Yesus Kristus mengangkat kita ke tahap rohani yang lebih tinggi.

“Setiap kali saya masuk ke rumah-Nya, saya mengalami hubungan perjanjian yang lebih mendalam dengan-Nya,” kata Presiden Freeman. “Saya dikuduskan dengan Roh-Nya, dianugerahi dengan kuasa-Nya, dan ditetapkan untuk membina kerajaan-Nya.”

Kuasa Dijanjikan

Presiden Nelson sering berkata bahawa kuasa Yesus Kristus tersedia melalui perjanjian bait suci. “Memasang kuk anda pada Juruselamat bermakna anda mempunyai akses kepada kekuatan dan kuasa penebusan-Nya ” dia berkata. Presiden Nelson juga mengajarkan:

“Apabila kita mentaati perjanjian bait suci kita, kita memperoleh akses yang lebih ke atas kuasa pengukuhan Tuhan. Dalam bait suci, kita menerima perlindungan daripada seksaan dunia.”

“Tatacara-tatacara penting-Nya mengikat kita kepada-Nya melalui perjanjian-perjanjian imamat yang kudus. Kemudian, semasa kita taati perjanjian kita, Dia menganugerahi kita dengan kuasa penyembuhan dan pengukuhan-Nya. Dan oh, kita memang akan perlukan kuasa-Nya pada hari-hari yang akan datang.”

“Kuasa moral dan rohani yang umat kita perlukan sekarang dan untuk hari-hari yang akan datang adalah kuasa Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus. Kita mendapatkan akses kepada kuasa Mereka dengan membuat dan menjaga perjanjian dengan Mereka.”

Saudara dan saudari, kuasa ilahi sangat penting kerana kita hidup dalam dunia yang jahat. Tanpa kuasa itu, kita tidak akan dapat “tahan pada hari Dia datang” atau “menampakkan diri” (Maleakhi 3:2). Kita tidak tahu bila hari itu tiba, tetapi utusan-Nya sudah dihantar untuk “menyediakan jalan”untuk kedatangan-Nya (Maleakhi 3:1). Sementara itu, dunia tidak akan tenang menunggu hari itu.

Kita perlukan kuasa yang dijanjikan kepada yang beriman untuk membantu kita:

  • Biarkan Tuhan menang dalam hidup kita.

  • Bertaubat dan mendekati Tuhan.

  • Memberkati, menghibur, memimpin dan melayani.

  • “Menahan cubaan, godaan, dan kesakitan hati kita dengan lebih baik.” (Lihat Mosia 3:19).

  • Cari kedamaian dan kebahagiaan dalam Kristus apabila kita berjalan dalam jalan perjanjian.

  • Bersedia “menghadapi hari pembakaran” dan “malapetaka orang jahat” (Ajaran dan Perjanjian 109:46).

  • Selesaikan tugas Tuhan sebelum Kedatangan Kedua-Nya.

Bait Suci Tucson Arizona

Foto kubah Bait Suci Tucson Arizona oleh James Whitney Young

Pengawal-pengawal Keselamatan

Pekerjaan dan kemuliaan Bapa Syurgawi adalah untuk “mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia” (Musa 1:39). Setiap bait suci berdiri sebagai pengawal rancangan keselamatan Tuhan, menunjuk kepada peranan utama Juruselamat dalam pekerjaan dan kemuliaan itu.

Disenjatai dengan kuasa-Nya, setiap wanita dan lelaki perjanjian—berkahwin atau tidak—yang mentaati perjanjian bait suci dengan iman akan diberkati dalam kehidupan ini dan kehidupan yang akan datang.

Presiden Nelson berjanji: “Matlamat untuk setiap kita adalah untuk dianugerahi dengan kuasa di dalam bait suci Tuhan, dimeterai sebagai keluarga, setia kepada perjanjian-perjanjian yang dibuat di dalam bait suci yang melayakkan kita untuk kurnia Tuhan yang paling besar—iaitu kehidupan abadi. Tatacara-tatacara bait suci dan perjanjian-perjanjian yang anda buat di sana adalah sangat penting dalam menguatkan kehidupan, perkahwinan, dan keluarga anda, dan kebolehan anda untuk menolak serangan si musuh. Penyembahan dan pelayanan anda di bait suci bagi nenek moyang anda akan memberkati anda dengan lebih wahyu peribadi dan kedamaian dan akan memperkukuh komitmen anda untuk kekal pada jalan perjanjian.”

Sebagai Rasul Tuhan Yesus Kristus, saya bersaksi bahawa hal-hal ini adalah benar.