2025
Apa yang Bukan Daripada Tuhan
Ogos 2025


Pesanan Bulanan Untuk Kekuatan Remaja, Ogos 2025

Apa yang Bukan Daripada Tuhan

5 Kebenaran tentang Bapa Syurgawi Kita

Kita dapat belajar banyak tentang siapa Tuhan apabila kita memahami apa yang bukan daripada-Nya.

cat dan berus cat

Ilustrasi oleh Camila Gray

Salah satu berkat terbesar daripada Pemulihan ialah Tuhan telah sekali lagi mengungkapkan diri-Nya dan sifat-Nya sebagai Bapa Syurgawi yang penyayang. Tetapi kadangkala kita mempunyai fikiran atau idea tentang Tuhan yang tidak benar. Apabila ini berlaku, kita boleh belajar banyak tentang siapa Tuhan dengan memahami apa yang bukan daripada-Nya.

Tuhan bukanlah seorang yang asing di atas takhta yang sangat jauh daripada kita.

Dia ialah Bapa kita, lebih menakjubkan daripada bapa duniawi terbaik yang anda boleh bayangkan. Walaupun kita tidak dapat mengingati kehidupan pra-fana kita bersama-Nya, Dia mengenali kita secara individu dan sempurna. Dia mempunyai tubuh daging dan tulang yang sempurna, dan kita mengikut rupa-Nya.

Jika anda berasa sukar untuk menggambarkan bagaimana rupa Tuhan, terdapat contoh yang sempurna: Putera-Nya, Yesus Kristus. Kristus berkata, “Akulah jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku. Kerana kamu mengenal Aku, kamu akan mengenal Bapa-Ku juga.” (Yohanes 14:6–7). Dalam erti kata lain, jika kita ingin mengetahui bagaimana Bapa Syurgawi, kita boleh belajar tentang Yesus Kristus! Mereka bersatu dengan sempurna dalam tujuan.

Tuhan bukanlah seseorang yang terlalu sibuk untuk anda.

Malah, membantu anda mendapatkan kehidupan abadi adalah pekerjaan-Nya dan kemuliaan-Nya. Anda adalah fokus utama-Nya! Dia tidak terikat pada masa seperti kita. Carilah Dia dalam doa pada bila-bila masa pun. Kemudian dengarlah jawapan-Nya dalam pelbagai cara.

Tuhan bukanlah seseorang yang memaksa anda untuk mengikuti-Nya.

Elder Dale G. Renlund dari Kuorum Dua Belas Rasul pernah mengajar,“Matlamat Bapa Syurgawi dalam keibubapaan bukanlah untuk anak-anak-Nya melakukan apa yang betul; ia adalah supaya anak-anak-Nya memilih untuk melakukan apa yang baik dan akhirnya menjadi seperti Dia.” Dia akan menjemput anda, menasihati anda, dan mengajar anda kebenaran, tetapi Dia tidak akan mengeluarkan hak pilihan anda dengan memaksa anda untuk mengikuti-Nya.

Tuhan bukanlah seseorang yang cuba menangkap anda melakukan sesuatu yang salah supaya Dia boleh menghukum anda.

Sebaliknya, seperti yang dikatakan oleh Elder Patrick Kearon dari Kuorum Dua Belas Rasul, “Tuhan sentiasa mengejar anda tanpa henti,” bermaksud Dia tidak akan berputus asa untuk membantu anda kembali kepada-Nya. Dia tahu kita semua akan menghadapi perkara yang susah secara semula jadi apabila kita membuat kesilapan. Jadi Dia menyediakan satu cara untuk kita dibersihkan dari dosa dan memperoleh kekuatan melalui Korban Tebusan Putera-Nya.

Tuhan bukanlah seseorang yang menunggu anda menjadi “cukup” atau “sempurna” sebelum Dia akan mengasihi anda.

Kasih-Nya kepada anda adalah sempurna. Dia mengasihi anda saat ini juga, walaupun anda tidak sempurna! Presiden Jeffrey R. Holland, Pemangku Presiden Kuorum Dua Belas Rasul, memberi penjelasan yang berkuasa tentang kebenaran ini: “‘Datang sebagaimana keadaan anda,’ Bapa yang penyayang kata kepada kita setiap orang, tetapi Dia tambah, ‘Jangan fikir anda tidak akan ubah.’ Kita senyum dan mengingati bahawa Tuhan bertekad untuk membuatkan kita lebih hebat daripada yang kita fikir kita boleh jadi.” Dengan kasih dan galakan yang sempurna, Bapa Syurgawi cuba membantu anda menjadi seperti Dia dan menerima semua yang Dia ada, satu langkah pada satu masa.

Siapakah Tuhan

Cara terbaik untuk mengenali Bapa Syurgawi anda adalah untuk terus mempunyai pengalaman dengan-Nya. Bagaimana? Belajarlah tentang Dia dan Putera-Nya daripada tulisan suci dan firman para nabi hidup. Berdoalah kepada-Nya. Patuhilah perintah-perintah-Nya. Luangkan masa yang senyap dan peribadi untuk menyembah-Nya di gereja, di bait suci, dan di tempat-tempat kudus yang lain. Buat dan patuhi perjanjian dengan-Nya. Dia akan membantu anda mengetahui siapa Dia dan bagaimana Dia rasa tentang anda.