“Kebenaran Hidup Kita,” Liahona, Ogos 2025.
Pesanan Bulanan Liahona, Ogos 2025
Kebenaran Hidup Kita
Bapa Syurgawi kita yang penyayang telah mengungkapkan kebenaran masa lalu, kini, dan masa depan kita, termasuk bagaimana untuk menerima kurnia yang terbesar.
Pada 22 Januari 1833, para penatua Gereja berkumpul bersama Nabi Joseph Smith di sebuah bilik kecil yang sempit di atas kedai Newel K. Whitney di Kirtland, Ohio. Pada bulan Disember tahun lepas, Joseph telah menerima wahyu yang mengarahkannya untuk menubuhkan sebuah sekolah terutamanya untuk menyediakan para saudara untuk misi.
“Aku memberi kepadamu sebuah perintah,” Tuhan menyatakan, “agar kamu harus saling mengajarkan satu sama lain ajaran kerajaan.
“Ajarlah kamu dengan tekun dan kerahmatan-Ku akan menyertaimu, agar kamu boleh diberi arahan dengan lebih sempurna dalam teori, dalam asas, dalam ajaran, dalam hukum Injil, dalam segala hal yang berkaitan dengan kerajaan Tuhan, yang perlu untuk kamu fahami; …
“Agar kamu boleh dipersiapkan dalam segala hal apabila Aku akan mengutusmu lagi untuk meningkatkan pemanggilan yang telah Aku panggil kepadamu, dan misi yang telah Aku tetapkan kepadamu.” (Ajaran dan Perjanjian 88:77–78, 80).
“Sekolah Para Nabi”, seperti yang dipanggil, menyediakan pencurahan rohani yang indah. Banyak pemimpin awal Gereja diajar di sana. Hari ini dunia adalah tempat yang sama sekali berbeza, tetapi bimbingan yang Tuhan berikan pada masa itu masih sangat sesuai. Kita juga mesti mencari pengetahuan dan kebenaran “pengetahuan tentang hal-hal sebagaimana ianya ada, dan sebagaimana adanya dahulu, dan sebagaimana adanya yang akan datang” (Ajaran dan Perjanjian 93:24).
Pencarian Kita akan Kebenaran
Pada zaman ini, lebih banyak pengetahuan yang tersedia untuk kita daripada sebelumnya. Pada masa lalu, jika anda ingin mengetahui sesuatu, anda perlu pergi ke perpustakaan dan mencarinya. Hari ini internet dan peranti mudah alih menyediakan akses kepada maklumat hampir tidak berkesudahan yang kita peroleh dengan serta-merta.
Tuhan gembira apabila kita menggunakan sumber-sumber yang sedia ada dengan bijaksana, tetapi Dia telah memberikan nasihat abadi ini: “Carilah kamu dengan tekun dan saling mengajarkan kata-kata kebijaksanaan; ya, carilah kamu dari buku-buku terbaik kata-kata kebijaksanaan; carilah pembelajaran, bahkan melalui pembelajaran dan juga melalui iman” (Ajaran dan Perjanjian 88:118). Dia menggalakkan kita untuk belajar tentang dunia di sekeliling kita (lihat Ajaran dan Perjanjian 88:79; 93:53), tetapi dalam pencarian kebenaran, kita mesti memandang kepada Tuhan, yang “memahami segala hal, dan segala hal ada di hadapan-Nya, … dan Dia melebihi segalanya, … dan segalanya terjadi oleh kerana-Nya, dan daripada-Nya” (Ajaran dan Perjanjian 88:41).
Di antara kebenaran yang Tuhan telah berikan kepada kita, salah satu yang paling asas untuk kehidupan kita di bumi bahawa Dia ialah Bapa Syurgawi kita. Kita ialah putera dan puteri roh-Nya. Dia mengenali dan mengasihi kita dengan sempurna. Dan sebagai anak-anak roh-Nya, kita mempunyai sifat dan takdir ilahi. Memahami dan menerima kebenaran abadi ini memberikan kita identiti, nilai, dan tujuan yang telah memberkati serta membimbing kita semasa kehidupan prafana, dan akan terus melakukannya sekarang dan selama-lamanya.
Kita Bersama Bapa pada Mulanya
Semasa kita mencari kebenaran akan sesuatu “sebagaimana adanya dahulu,” kita menemui kata-kata ini daripada Juruselamat kita, Yesus Kristus: “Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku pada mulanya berada bersama Bapa, dan merupakan Putera Sulung,” dan “kamu juga pada mulanya berada bersama Bapa” (Ajaran dan Perjanjian 93:21, 23).
Sebelum kehidupan kita di bumi, kita menghadiri satu majlis di syurga di mana Bapa Syurgawi kita mempersembahkan rancangan kebahagiaan-Nya yang besar. Nabi Joseph Smith mengajar bahawa motivasi Tuhan bagi rancangan-Nya adalah untuk memberikan kita “keistimewaan untuk berkembang seperti-Nya [dan] … dimuliakan bersama-Nya” Pekerjaan dan kemuliaan-Nya adalah untuk “mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia” (Musa 1:39).
Kita menjalankan hak pilihan kita dan memilih untuk mengikuti rancangan Bapa Syurgawi. Kita telah diberkati untuk dilahirkan ke dalam kehidupan ini, di mana kita terus memiliki hak pilihan dan boleh mengalami kefanaan, pembelajaran, dan kemajuan menuju kehidupan abadi.
Semasa perjalanan fana kita, kita akan mengalami cabaran dan halangan. Tetapi kita tidak perlu menghadapi kesukaran hidup bersendirian. Joseph Smith mengajar bahawa Bapa Syurgawi, “Ibu Bapa Agung kepada alam semesta[,] memandang seluruh umat manusia dengan kasih seorang bapa dan perhatian yang penuh keibubapaan.”
Bapa Syurgawi kita, “Bapa berbelas kasihan, dan Tuhan yang sentiasa menolong kita,” akan memberkati kita, mengangkat kita, dan menghiburkan kita “semasa mengalami kesusahan, supaya dengan pertolongan yang kita terima daripada Tuhan, kita pun dapat menolong semua orang yang mengalami kesusahan.” (2 Korintus 1:3–4). Sebagai bahagian penting dalam rancangan-Nya, Bapa Syurgawi telah menyediakan jalan untuk kita kembali kepada-Nya.
Jalan menuju Bapa Kita
Kebenaran “tentang hal-hal sebagaimana ianya wujud pada hakikatnya” (Yakub 4:13) adalah jelas: kita tidak dapat mencapai potensi sepenuhnya sebagai anak-anak Bapa Syurgawi kita secara bersendirian. Yesus Kristus, Putera Sulung Bapa dalam roh, berjanji untuk menjadi Juruselamat dan Penebus kita.
Yesus Kristus, “Anak Tunggal Bapa, penuh kerahmatan dan kebenaran, bahkan Roh kebenaran, … datang dan tinggal dalam keadaan daging, dan tinggal di kalangan kita.” (Ajaran dan Perjanjian 93:11). Dia datang untuk menunjukkan kita cara untuk mencari kegembiraan, makna, dan kebahagiaan dalam kehidupan ini dan dalam keabadian.
“Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.
“Tuhan mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya.” (Yohanes 3:16–17).
Pengalaman duniawi Juruselamat adalah penting. Dia “tidak menerima kegenapan pada mulanya, tetapi menerimanya rahmat demi rahmat” (Ajaran dan Perjanjian 93:12). Dia membesar sehingga “Dia menerima kegenapan kemuliaan Bapa” dan “segala kuasa, baik di dalam syurga mahupun di atas bumi, dan kemuliaan Bapa ada bersama-Nya, kerana Dia berada di dalam Dia” (Ajaran dan Perjanjian 93:16–17). Juruselamat mengajarkan:
“Aku memberi kepadamu firman ini agar kamu boleh memahami dan mengetahui bagaimana menyembah, dan mengetahui apa yang kamu sembah, agar kamu boleh datang kepada Bapa dalam nama-Ku, dan pada waktu yang tepat menerima kegenapan-Nya.
“Kerana jika kamu mentaati perintah-perintah-Ku kamu akan menerima kegenapan-Nya, dan dimuliakan di dalam Aku seperti Aku di dalam Bapa; oleh kerana itu, Aku berfirman kepadamu, kamu akan menerima rahmat demi rahmat.” (Ajaran dan Perjanjian 93:19–20).
Di Taman Getsemani dan di salib, Yesus Kristus mengambil ke atas diri-Nya dosa-dosa dunia dan menderita semua kesedihan dan “kesakitan dan kesengsaraan dan cubaan daripada setiap jenis” (Alma 7:11). Ini “menyebabkan [Dia], … yang terbesar daripada semuanya, menggeletar kerana kesakitan, dan berdarah pada setiap liang roma” (Ajaran dan Perjanjian 19:18). Hanya melalui Yesus Kristus serta Korban Tebusan dan Kebangkitan-Nya, keselamatan dan permuliaan menjadi mungkin.
Melalui rahmat dan korban tebusan Juruselamat, kita boleh berkembang sehingga kita menerima kegenapan dan suatu hari dibawa ke kesempurnaan. Jika kita mengikut teladan Juruselamat dan mematuhi perintah-perintah-Nya, Dia akan memimpin dan membimbing kita kembali ke hadirat mulia Bapa Syurgawi kita.
Christ on the Road to Jerusalem [Kristus dalam Perjalanan ke Yerusalem], oleh Michael Coleman, tidak boleh disalin
Adakah Anda Akan Menerima Kurnia-Nya?
Di antara kebenaran “tentang hal-hal sebagaimana ianya benar-benar akan terjadi” (Yakub 4:13), kita belajar bahawa pengalaman kita dalam keabadian akan ditentukan oleh pilihan kita untuk mengikuti Yesus Kristus dan menerima kurnia-kurnia yang Dia tawarkan. Tulisan suci mengajar bahawa kita akan “menikmati apa yang [kita] ingin terima.” Malangnya, sesetengah orang tidak “ingin untuk menikmati apa yang mereka boleh terima” (Ajaran dan Perjanjian 88:32).
Presiden misi saya, Elder Marion D. Hanks (1921–2011), yang melayani sebagai Penguasa Umum Tujuh Puluh, mengajar para misionarinya bahawa meminta apa yang kita ingin terima dan nikmati adalah cara kita boleh menghakimi di mana kita berada dalam perjalanan rohani kita. “Kerana adakah ianya akan menguntungkan seseorang itu jika suatu kurnia diberikan ke atas dirinya, dan dia tidak menerima kurnia itu?” Apabila kita menerima kurnia-kurnia Juruselamat dengan mencari dan mengikuti-Nya dengan bersungguh-sungguh, kita akan bersukacita dengan harapan akan kehidupan abadi dan “dalam dirinya yang merupakan pemberi kurnia [itu]” (Ajaran dan Perjanjian 88:33). Kurnia yang diberikan dengan penuh kasih ini, adalah “kurnia yang terbesar dari segala kurnia Tuhan” (Ajaran dan Perjanjian 14:7).
Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita. Dia mengenali dan mengasihi kita. Apabila kita berpaling kepada-Nya dalam pencarian kebenaran, kita boleh berpegang pada kecerdasan, menerima kebijaksanaan, menerima kebenaran, berhemah, dan berpegang pada cahaya yang datang daripada-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 88:40). Kita kemudian meneruskan sepanjang hidup kita sehingga “harinya akan datang apabila [kita] akan memahami bahkan Tuhan, dihidupkan di dalam Dia dan oleh Dia” (Ajaran dan Perjanjian 88:49).
Itu akan menjadi hari yang paling mulia dan gembira.
© 2025 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, August 2025. Malay. 19613 348