“Khabar Gembira tentang Kasih dan Kebahagiaan,” Liahona, Januari 2025.
Pesanan Bulanan Liahona, Januari 2025
Khabar Gembira tentang Kasih dan Kebahagiaan
Berkat Pemulihan seharusnya menceriakan hati kita dan memenuhi kita dengan rasa syukur atas kasih Tuhan yang besar.
Pesanan harapan dan kedamaian kita kepada semua ialah Yesus Kristus hidup dan telah memulihkan injil dan Gereja-Nya pada zaman akhir ini.
“Betapa mulianya hal-hal ini kepada umat manusia!” isytihar Nabi Joseph Smith. “Sesungguhnya ia boleh dianggap sebagai khabar gembira yang besar kepada semua orang; dan khabar, juga, yang sepatutnya memenuhi bumi dan menceriakan hati setiap orang apabila ia dibunyikan di telinganya.”
Selama berabad-abad berikutan pelayanan Juruselamat di bumi, anak-anak Tuhan mencari-Nya dan menginginkan lebih banyak cahaya dan kebenaran. Kini khabar gembira tentang injil Yesus Kristus dan Pemulihan maju terus untuk memberkati semua orang dan menyediakan dunia untuk hari apabila Yesus Kristus akan kembali “memerintah sebagai Raja yang Terutama dan Tuhan yang Agung.” Ini adalah pernyataan yang mendalam tentang kasih yang tidak berkesudahan Bapa kita di Syurga dan Juruselamat kita. Saya bersukacita kerana saya boleh meluangkan sepanjang hayat saya mengisytiharkan kebenaran ini kepada seluruh dunia.
Yang Tidak Mungkin dan Luar Biasa
Hari baharu terbit bagi keluarga manusia di dalam hutan, di mana Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus, menampakkan diri dan bercakap kepada Joseph Smith sebagai jawapan kepada doa Joseph tentang gereja mana yang harus dia sertai (lihat Joseph Smith—Sejarah 1:14–20). Yesus Kristus beritahu Joseph untuk tidak sertai mana-mana gereja. Dia berjanji bahawa kegenapan injil-Nya akan diungkapkan kepada Joseph di masa hadapan.
Bagi ramai, Joseph adalah paling tidak mungkin dipanggil untuk pekerjaan yang begitu penting, dan mereka betul. Dia seorang pemuda yang tidak berpendidikan dan tidak penting dari sebuah ladang kecil di sebuah bandar yang asing. Sama seperti sesetengah orang katakan tentang Juruselamat pada zaman-Nya, “Bolehkah sesuatu yang baik datang dari Nazaret?” (Yohanes 1:46), ramai yang tertanya-tanya apakah hal baik yang pemuda berusia 14 tahun yang tidak terpelajar di Palmyra, New York boleh bawakan. Tetapi melalui Joseph—meski kelihatan tidak mungkin—Bapa Syurgawi dan Tuhan Yesus Kristus mendatangkan hal-hal yang luar biasa. Ini memberi kita harapan bahawa dengan cara kita yang kecil dan sederhana, kita juga boleh menyumbang dengan cara yang bermakna dalam pekerjaan Tuhan.
Akhirnya, Tuhan memanggil Joseph “dan berfirman kepadanya dari syurga, dan memberinya perintah-perintah” (Ajaran dan Perjanjian 1:17). Joseph menerima wahyu berharga dan ajaran penting yang membawa cahaya baharu kepada pemahaman kita tentang rancangan Bapa Syurgawi yang penuh kasih dan kasih penebusan Yesus Kristus dan kuasa korban tebusan-Nya. Hebatnya, khabar gembira ini datang pada saat yang tepat apabila kemajuan ketara dalam pengangkutan, komunikasi, dan bidang lain akan membolehkan cahaya Tuhan bersinar untuk memberkati lebih ramai anak-Nya.
The Angel Moroni Delivering the Plates to Joseph Smith [Malaikat Moroni Memberi Kepingan-Kepingan kepada Joseph Smith], oleh C. C. A. Christensen
Kesaksian Berkuasa tentang Kasih Tuhan
Kemunculan malaikat Moroni kepada Joseph Smith adalah penting kepada Pemulihan dan bukti berkuasa tentang kasih Tuhan. Moroni memberitahu Joseph tentang sebuah catatan, ditulis di atas kepingan-kepingan emas, ditanam berdekatan (lihat Joseph Smith—Sejarah 1:33–34). Akhirnya, Joseph akan diberikan “kuasa dari syurga” (Ajaran dan Perjanjian 20:8) untuk menterjemahkan catatan itu ke dalam apa yang akan menjadi Kitab Mormon, yang bergandingan dengan Alkitab dan merupakan satu lagi kesaksian tentang Yesus Kristus.
Sepanjang Kitab Mormon, kita membaca tentang orang-orang yang, beratus-ratus tahun sebelum Kristus, mengetahui dan meramalkan kedatangan-Nya dan menginginkannya. Kita juga temui cerita luar biasa tentang penampilan peribadi dan pelayanan Juruselamat yang telah bangkit di kalangan bangsa Nefi, di mana Dia menjemput semua orang untuk datang kepada-Nya dan merasai tanda di sisi-Nya dan bekas paku di tangan dan kaki-Nya (lihat 3 Nefi 11:14–15). Dia menyembuhkan yang sakit, lumpuh, buta—“semua yang sengsara dalam apa cara sekali pun”—dan kemudian memberkati anak-anak kecil dan berdoa untuk mereka (lihat 3 Nefi 17:7–9, 21). Kita belajar banyak tentang kasih dan belas kasihan Juruselamat daripada laporan kudus ini.
Kitab Mormon bersaksi bahawa “Yesus ialah Kristus.” Jaminan dalam Kitab Mormon berulang kali mengingatkan kita bahawa Bapa kita di Syurga dan Juruselamat kita mengasihi kita melebihi apa yang boleh kita bayangkan.
Berkat-berkat Imamat dan Gereja
Pemulihan diteruskan dengan kemunculan utusan syurga yang lain kepada Joseph Smith. “Yohanes Pembaptis yang sudah bangkit telah memulihkan wewenang untuk membaptis melalui pencelupan untuk pengampunan dosa-dosa. Tiga daripada dua belas Rasul yang asal—Petrus, Yakobus, dan Yohanes—telah memulihkan kerasulan dan kunci-kunci kuasa imamat. Ada yang lain juga telah datang, termasuklah Elia, yang telah memulihkan hak kuasa untuk menyatukan keluarga bersama selamanya dalam hubungan-hubungan kekal yang melampaui kematian.”
Pada 6 April 1830, Yesus Kristus menubuhkan melalui Nabi Joseph sebuah gereja yang mengikut pola gereja yang ditubuhkan-Nya pada zaman Perjanjian Baru (lihat Fasal-Fasal Kepercayaan 1:6), lengkap dengan “asas yang diletakkan oleh para rasul dan nabi, dengan Yesus Kristus sebagai batu asasnya” (Efesus 2:20). Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir menyediakan berkat-berkat kuasa imamat yang dipulihkan kepada semua anak Tuhan yang menyediakan diri mereka untuk menerimanya.
Seperti Presiden Russell M. Nelson ajarkan kepada kita, kita boleh temui kebahagiaan dalam pertaubatan harian apabila kita berpaling kepada Bapa Syurgawi dan Juruselamat kita. Kepada sesiapa yang berasa sedih atau tidak cukup baik atau tergolong: semua dijemput untuk datang kepada Kristus dan Gereja-Nya. Gereja bukanlah biara untuk orang sempurna tetapi hospital untuk orang sakit. Elder Dieter F. Uchtdorf dari Kuorum Dua Belas Rasul mengingatkan kita bahawa “kita datang ke gereja bukanlah untuk menyembunyikan masalah tetapi untuk memulihkannya.”
Di gereja kita temui kebahagiaan dalam peluang untuk menjangkau, melayani orang lain dengan kasih, dan berkongsi pengalaman peribadi kita dengan kelimpahan kebaikan Kristus. Kita boleh “dihitung di kalangan umat gereja Kristus” dan “diingati dan dipelihara oleh firman Tuhan yang baik” (Moroni 6:4). Betapa besarnya berkat itu!
Sebab untuk Kebahagiaan Besar
Nabi Joseph Smith pernah mengisytiharkan, “Sekarang, apakah yang telah kita dengar dalam Injil yang telah kita terima? Suatu suara kegembiraan! Suara belas kasihan dari syurga; dan suara kebenaran dari bumi; khabar gembira bagi yang mati; suara kegembiraan bagi yang hidup dan yang mati; khabar gembira tentang kebahagiaan besar” (Ajaran dan Perjanjian 128:19).
Khabar gembira ini telah datang kerana Bapa Syurgawi dan Putera Terkasih-Nya, Yesus Kristus, mengasihi kita dan menghasrati—lebih daripada segala-galanya—untuk menyambut kita kembali ke hadirat Mereka, agar kita boleh selama-lamanya miliki hidup seperti Mereka. Pemulihan mengungkapkan bahawa Mereka telah melakukan segala yang perlu untuk menjadikan ini kemungkinan yang mulia bagi kita semua. Dalam perjalanan abadi kita, kita akan mengalami ujian dan kesukaran, tetapi “[kita] wujud, agar [kita] boleh berbahagia” (2 Nefi 2:25) dalam kehidupan ini dan seterusnya. Nabi Joseph mengetahui hal ini lebih baik daripada kebanyakan orang.
Joseph sering menghadapi pertentangan dan penganiayaan, namun dia mengekalkan “perangai yang periang” (Joseph Smith—Sejarah 1:28). Dia kekal gembira, kuat, dan berdaya tahan, dan dia mencapai pekerjaan luar biasa yang telah diberikan kepadanya. Saya memberi penghormatan kepada semua Orang Suci awal yang percaya, menyokong, dan mengikuti Nabi Joseph Smith dan membaktikan diri mereka untuk membina Gereja. Kita berhutang budi dan penghormatan yang begitu besar kepada mereka.
Ia mencabar pada hari-hari awal Gereja, dan ia boleh mencabar juga hari ini. Tetapi Pemulihan sedang berlangsung. Dengan Yesus Kristus sebagai ketua Gereja ini, para nabi hidup akan terus membimbing kita. Rumah Tuhan akan terus dibina, agar berkat-berkat perjanjian abadi dengan Tuhan boleh mengikat kita kepada-Nya dan kepada orang yang kita kasihi di kedua-dua belah tirai (lihat Matius 16:19). Kasih Tuhan dan Yesus Kristus akan meluas ke seluruh dunia apabila kita mengikuti perintah Juruselamat untuk memberi makan domba-domba-Nya dan berkongsi injil-Nya. Kita akan saksikan kebenaran Pemulihan maju dalam cara dan ke tempat yang sukar dibayangkan pada zaman Joseph.
Kita boleh temui kekuatan dan kebahagiaan yang besar—seperti Nabi Joseph—apabila kita memeluk dan menjalankan kebenaran yang berharga ini. Panggilan Joseph kepada Orang Suci pada zamannya berterusan kepada kita hari ini: “Adakah kita tidak akan meneruskan tujuan yang sedemikian besar? Maju dan janganlah mundur. Beranilah, … dan maju, majulah menuju kemenangan!” Biarlah hatimu bersukacita, dan menjadi amat gembira” (Ajaran dan Perjanjian 128:22).
Semoga khabar gembira tentang kasih dan kebahagiaan yang Pemulihan bawakan memberkati dan membimbing kehidupan kita—sekarang dan selalu.
© 2025 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, January 2025. Malay. 19600 348