Tuhan Sedang Mempercepatkan Pekerjaan-Nya
Apabila Tuhan mempercepatkan pekerjaan-Nya, kita harus mengasihi, memelihara, dan melayani mereka yang menerima injil-Nya.
Charles Dickens memulakan novel klasiknya A Tale of Two Cities dengan kenyataan bahawa “ia adalah masa yang terbaik, [dan] masa yang terburuk.” Ini benar pada zaman kita.
Kita hidup dalam masa yang bergelora apabila “seluruh bumi [sedang] berada dalam huru-hara.” Peringatan Presiden Russell M. Nelson untuk menjadi pendamai, sebagai pengikut Yesus Kristus, diberikan penekanan secara indah pagi ini oleh Elder Gary E. Stevenson. Ini adalah bahagian yang penting untuk memupuk kesatuan, kedamaian dan penyembuhan pada “masa yang terburuk.”
Kita juga hidup pada “masa yang terbaik,” yang akan saya berikan penekanan. Tuhan, menyatakan dalam Ajaran dan Perjanjian, bahagian 1, bahawa kegenapan injil akan “dimaklumkan … ke hujung-hujung dunia.” Tuhan benar-benar mempercepatkan pekerjaan-Nya pada zaman kita. Kita harus bersyukur atas percepatan yang telah berlaku, dan sedang berlaku, walaupun dalam masa yang mencabar ini. Kita hidup dalam zaman di mana para pengikut Tuhan ada hak istimewa untuk mendengar suara-Nya dan menjawab dengan hati dan minda yang terbuka. Ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, yang komited kepada Juruselamat dan perintah-perintah-Nya, mencari tujuan dan kedamaian peribadi yang mendalam.
Pada pelbagai masa dalam sejarah Gereja, terdapat peningkatan besar dalam mereka yang memasuki jalan perjanjian. Satu tempoh sedemikian berlaku antara 1837 dan 1850. Beberapa Rasul awal Gereja Tuhan yang dipulihkan melayani misi di United Kingdom. Misi-misi ini menyebabkan beribu-ribu orang menyertai Gereja, dan pada tahun 1850 terdapat lebih banyak ahli Gereja yang tinggal di United Kingdom daripada di Amerika Syarikat. Pada masa itu, Tuhan mengarahkan para Orang Suci ini untuk berkumpul ke Utah. Satu penghijrahan besar berlaku, beberapa yang disokong dengan pinjaman melalui Tabung Emigrasi Berterusan.
Saya suka laporan ketibaan ke Lembah Salt Lake oleh sejumlah besar penganut baharu dari England dan Wales pada tahun 1852. Kumpulan itu ditemui oleh Presidensi Utama di pembuka Emigration Canyon yang diiringi oleh kumpulan Captain Pitt. Deseret News menggambarkan mereka sebagai “sekumpulan penziarah [termasuk] para saudari dan kanak-kanak, berjalan, kulit terbakar kerana matahari, dan menghadapi cuaca buruk, tetapi penuh harapan; hati mereka ringan dan positif, yang jelas ternyata pada wajah mereka yang gembira dan bahagia.”
Apabila mereka “melewati Blok Bait Suci, … beribu-ribu lelaki, wanita, dan kanak-kanak, berkumpul, dari pelbagai bahagian kota, untuk bersatu dalam sambutan yang menggembirakan.” Presiden Brigham Young berucap kepada mereka: “Semoga Tuhan Israel memberkati anda. … Kami telah berdoa untukmu secara berterusan; beribu-ribu doa telah diberi untuk kamu, hari demi hari, kepada Dia yang telah memerintahkan kita untuk mengumpulkan Israel, menyelamatkan anak-anak manusia dengan pengkhutbahan injil, dan menyediakan mereka untuk kedatangan Mesias.”
Dengan semangat kegembiraan itu, biarlah saya sekali lagi meyakinkan semua penganut baharu dan mereka yang kembali ke Gereja Tuhan: Kami mengasihi anda; kami perlukan anda; Tuhan memerlukan anda. Kami mungkin tidak menyambut anda dengan pancaragam, tetapi kami doakan berkat syurga akan menghadiri usaha anda untuk maju sepanjang jalan perjanjian yang membawa kepada Tuhan Bapa dan Yesus Kristus di kerajaan selestial.
Terdapat bukti jelas bahawa iman kepada Yesus Kristus semakin meningkat di zaman kita. Dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, terdapat peningkatan penganut baharu dan penyertaan mereka yang luar biasa. Dalam 36 bulan lepas hampir 900,000 penganut baharu telah menyertai Gereja. Penganut baharu ini merupakan kira-kira 5 peratus daripada jumlah keahlian Gereja. Kita mengalukan ahli-ahli baharu dengan tangan terbuka dan penghargaan yang mendalam untuk jalan yang anda telah pilih.
900,000 penganut baharu ini dalam tempoh 36 bulan lepas melebihi jumlah keahlian Gereja pada ulang tahun ke-110 pada tahun 1940, yang hanya lebih daripada 860,000 ahli. Inilah tahun kelahiran saya, Elder Jeffrey R. Holland, dan Elder Dieter F. Uchtdorf.
Penganut-penganut baharu ini datang dari setiap bahagian dunia. Dalam enam bulan pertama tahun ini, penukaran hati telah meningkat lebih daripada 20 peratus berbanding tahun lepas di Eropah, Afrika, Asia, Pasifik, dan Amerika Latin. Di Amerika Utara, kita telah melihat peningkatan sebanyak 17 peratus. Pekerjaan Tuhan terus maju dalam cara yang berkuasa. Bilangan yang meningkat ini merupakan kesaksian yang jelas bahawa injil sedang menyentuh hati dan mengubah kehidupan di mana-mana.
Pada zaman kita, para penganut berharga ini tidak lagi berkumpul di lokasi berpusat. Kerana iman dan pembaktian para ahli Gereja, sumber-sumber sedia ada untuk menyokong jemaah—dengan pembinaan gereja dan bait suci—di seluruh dunia. Dengan kunci imamat yang diperlukan dan sumber yang disediakan, tatacara keselamatan kini boleh didapati di kebanyakan tempat di dunia.
Tidak kira di mana kita tinggal, ahli semasa perlu mengalu-alukan ratusan ribu ahli baharu seperti yang kita lakukan untuk Orang Suci Inggeris dan Welsh yang saya gambarkan dari sejarah awal kita. Saya suka ucapan Elder Gerrit W. Gong dalam sesi ini di mana dia mengajar kita bahawa tiada seorang pun harus duduk bersendirian sama ada secara emosi atau rohani.
Tugas kudus kita adalah untuk menerima dan mengalukan ahli baharu dan yang kembali. Apabila Tuhan mempercepatkan pekerjaan-Nya, kita harus mengasihi, memelihara, dan melayani mereka yang menerima injil-Nya. Kita boleh membantu membina orang Sion, di mana kita “satu hati dan satu fikiran, dan berdiam dalam kesolehan.” Untuk menjadi satu dengan Tuhan, kita mesti menjadi satu di hadapan Tuhan. Semua ahli tanpa mengira tarikh pembaptisan berkongsi tanggungjawab untuk mengalu-alukan orang lain.
Nasihat saya kepada para ahli Gereja adalah untuk mengasihi dan ambil berat tentang orang terpilih berharga ini, yang telah menerima injil Yesus Kristus.
Presiden Gordon B. Hinckley mengajar kita bahawa seorang penganut baharu memerlukan “rakan, tanggungjawab, dan memupuk dengan ‘firman Tuhan yang baik.’ (Moroni 6:4).” Kita boleh menjadi di antara rakan yang menyakinkan penganut baharu ini bahawa mereka tergolong dan bukan hanya tetamu. Kita boleh membantu mereka memahami bahawa mereka adalah pengikut Yesus Kristus yang boleh melayani orang lain dan menerima panggilan untuk melayani. Penganut muda harus mempertimbangkan untuk melayani misi sepenuh masa. Semua harus berazam untuk berusaha menjalani kehidupan seperti Kristus.
Ramai yang menyertai Gereja dengan pengorbanan peribadi yang besar dan sangat memerlukan kasih dan sokongan para Orang Suci.
Kepada anda yang baharu atau yang kembali, terdapat cabaran yang mungkin anda hadapi. Bersabar dengan diri anda. Para misionari telah mengajar anda asas ajaran penting dan menjelaskan perjanjian dan tatacara kerajaan yang ditunjukkan dalam tulisan suci dan dalam Mengkhutbahkan Injil-Ku.
Menerima tatacara dan perjanjian dan mematuhi perintah adalah penting. Tumpukan pada perjanjian yang diperlukan untuk permuliaan. Injil membolehkan permuliaan, yang memerlukan pembuatan dan pematuhan perjanjian kudus dengan Tuhan. Selain pembaptisan, penetapan, dan penganugerahan Imamat Melkisedek untuk para lelaki, perjanjian yang kita buat dilaksanakan di bait suci. Bagi orang mati, setiap tatacara keselamatan ini hanya dilaksanakan di bait suci. Oleh itu, menyediakan diri anda untuk bait suci, haruslah menjadi matlamat segera.
Kadangkala anda akan berasa kekurangan pengetahuan. Pengetahuan injil adalah berkat besar yang bertambah dari masa ke masa, tetapi ia bukan tatacara injil yang menyelamatkan. Injil bukanlah satu ujian pengetahuan. Presiden Russell M. Nelson telah berjanji; “Semasa anda mengkaji Kitab Mormon setiap hari, anda akan buat pilihan yang lebih baik—setiap hari. … Apabila anda merenungkan perkara yang anda kaji, tingkap syurga akan buka, dan anda akan menerima jawapan kepada soalan dan arahan untuk hidup anda.”
Tambahan, setiap tahun secara bergilir kurikulum Gereja mengajar Perjanjian Lama, Perjanjian Baru, Kitab Mormon, dan Ajaran dan Perjanjian dalam pertemuan hari Ahad. Lama kelamaan anda akan berasa lebih yakin apabila pengetahuan injil anda berkembang. Kajian tulisan suci yang kerap akan memberkati dan memperkayakan kehidupan anda dengan memperdalam penukaran hati anda kepada injil Yesus Kristus.
Mempelajari ajaran tulen Yesus Kristus adalah usaha sepanjang hidup, baik dalam memahami ajaran dan menjalani kehidupan seperti Kristus. Perjanjian penting menyediakan rangka yang kita gambarkan sebagai jalan perjanjian. Asas-asas ini telah diajar dengan berkuasa oleh Presiden Nelson. Semua ahli, terutamanya yang baharu dan yang kembali, akan diberkati dengan mengkaji dan mengamalkan pesanan kenabiannya mengenai perjanjian dan jalan perjanjian.
Jika anda menetapkan satu matlamat untuk menerima setiap perjanjian yang diperlukan untuk permuliaan dengan layak, anda akan berada di jalan yang menuju ke kerajaan selestial. Bait suci dan tatacara bait suci harus menjadi fokus kita. Kebanyakan perjanjian tersedia untuk setiap individu. Satu perjanjian, perkahwinan abadi, melibatkan penyatuan usaha anda dengan seorang pasangan. Matlamat kita adalah untuk mencari pasangan abadi itu.
Walau bagaimanapun, jangan kecewa jika perkahwinan abadi tidak mungkin pada masa ini. Para nabi telah mengajar bahawa tidak ada berkat yang akan ditahan daripada ahli-ahli beriman yang mentaati perintah-perintah. Seorang nabi Kitab Mormon, Raja Benyamin, berkata dengan indah: “Orang yang mentaati perintah-perintah Tuhan … diberkati dalam segala hal, … dan jika mereka bertahan setia sampai akhir … mereka boleh berdiam bersama Tuhan dalam suatu keadaan kebahagiaan yang tak akan berakhir.”
Anda akan mendapati bahawa ahli-ahli tidak sempurna. Ajaran yang diungkapkan menjelaskan bahawa dalam kehidupan fana kita, kita akan membuat kesilapan. Kita hidup di dunia yang tidak sempurna dan terjatuh, bukan dunia selestial. Kehidupan ini adalah masa ujian, dengan peluang yang berterusan untuk bertaubat dan membuktikan diri kita.
Kita semua merasa kekurangan semasa kita berusaha untuk menjadi seperti Yesus Kristus. Korban Tebusan-Nya membenarkan kita bertaubat setiap hari apabila kita gagal. Seperti yang nabi Kitab Mormon Nefi berkata: “[Kita] mesti maju terus dengan ketabahan di dalam Kristus, memiliki kecerahan harapan yang sempurna, dan kasih bagi Tuhan dan bagi semua manusia. Oleh kerana itu, jika kamu akan maju terus, berjamu dengan firman Kristus, dan bertahan sampai akhir, lihatlah, demikian firman Bapa: Kamu akan memperoleh kehidupan abadi.”
Semasa kita merenungkan cabaran zaman kita, kita mesti ingat bahawa Juruselamat, semasa pelayanan duniawi-Nya, juga hidup dalam zaman yang bergelora dan ganas. Fokus-Nya bukanlah pada cabaran politik pada zaman itu; ia berada pada kesempurnaan para Orang Suci.
Mengikuti Juruselamat dan ajaran-Nya tidak pernah mudah di dunia yang sentiasa berada dalam kekecohan. Ia tidak mudah bagi Juruselamat semasa kehidupan fana-Nya, dan ia tidak mudah bagi pemimpin awal dan para ahli kita, dan ia tidak mudah bagi kita. Mujurlah, kita ada nabi hidup yang memberi kita bimbingan khusus untuk zaman kita. President Dallin H. Oaks akan meneruskan legasi rohani yang sangat berkuasa.
Saya bersaksi bahawa ajaran Gereja Yesus Kristus adalah abadi dan benar. Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus hidup, dan kerana Korban Tebusan-Nya, kita boleh bersatu dengan Kristus. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.