Perisytiharan Keluarga—Firman daripada Tuhan
Perisytiharan mempunyai asal usul ilahi, jadi kita mesti memperlakukannya dengan ketakziman yang diberikan kepada firman daripada Tuhan.
Persidangan umum Oktober 2025 ini menandakan ulang tahun ke-30 pengumuman “Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia.” Melalui rancangan ilahi, perisytiharan wahyu ini dicipta untuk “mengekalkan serta menguatkan keluarga sebagai unit asas masyarakat.”
Semua orang tergolong dalam sebuah keluarga, sama ada ibu, bapa, anak perempuan, anak lelaki, cucu, datuk nenek, mak cik, pak cik, abang, kakak, atau sepupu. Yang paling penting, setiap kita adalah, seperti yang dinyatakan dalam perisytiharan, “anak rohani lelaki atau anak rohani perempuan kepada ibu bapa syurgawi, … [dengan] sifat dan takdir ilahi.”
Apabila saya dipanggil ke kerasulan kudus pada tahun 2015, saya dinasihatkan, “Perisytiharan ini adalah milik anda sekarang. Nama anda [menunjuk kepada perkataan ‘Majlis Dua Belas Rasul’ pada tajuknya] ada di sini. Rasakan dan ajarkan ia seperti anda pemiliknya.”
Saya mengasihi perisytiharan keluarga. Saya telah bersaksi di seluruh dunia dari Afrika ke Australia dan di merata tempat tentang peranan keluarga dalam rancangan abadi Tuhan. Perisytiharan mempunyai asal usul ilahi, jadi kita mesti memperlakukannya dengan ketakziman yang sewajarnya bagi firman daripada Tuhan.
Ingatlah, saudara dan saudari, seperti yang saya katakan dalam persidangan umum sebelumnya, “Kata-kata itu penting.”
Izinkan saya beri sedikit latar belakang tentang perisytiharan sebagai pesanan teras tentang apa yang kita percaya.
Pada tahun 1994, setahun sebelum perisytiharan dibentangkan, Kuorum Dua Belas Rasul membincangkan bagaimana masyarakat dan kerajaan tidak selaras dengan hukum-hukum Tuhan untuk keluarga, perkahwinan, dan jantina. “Namun itu bukannya pengakhiran yang kita lihat,” jelas President Russell M. Nelson kemudian. “Kita dapat lihat usaha pelbagai komuniti yang ingin menghapuskan segala standard dan batasan aktiviti seksual. Kita melihat kekeliruan jantina. Kita dapat lihat semuanya yang akan berlaku.”
Dua Belas berazam untuk menyediakan satu dokumen perisytiharan rasmi, meringkaskan pendirian Gereja tentang keluarga. Pada tahun itu, para Rasul, pelihat dengan panggilan Tuhan, menyediakan pengisytiharan tentang keluarga. Presiden Dallin H. Oaks mengingat kembali bahawa mereka dengan penuh doa berpaling kepada Tuhan untuk “apa yang harus dinyatakan dan bagaimana ia harus dinyatakan.” Mereka membentangkannya kepada Presidensi Utama— Presiden Howard W. Hunter, Gordon B. Hinckley, dan Thomas S. Monson—untuk dipertimbangkan.
Beberapa bulan kemudian, pada Mac 1995, Presiden Hunter meninggal dunia dan Presiden Hinckley menjadi Presiden Gereja yang ke-15. Kini, keputusan mengenai perisytiharan itu bergantung kepadanya. Bilakah masa yang sesuai untuk membuat pengisytiharan ini kepada Gereja? Masa itu datang enam bulan kemudian.
Beberapa hari sebelum pertemuan umum Lembaga Pertolongan pada 23 September yang mendahului persidangan umum, Presiden Hinckley dan para penasihatnya berunding bersama Presidensi Umum Lembaga Pertolongan. Para saudari, seperti para Rasul, mempunyai kebimbangan tentang wanita dan keluarga. Mereka telah menumpukan pertemuan yang akan datang tentang keluarga.
Presiden Hinckley dijadualkan untuk berucap kepada para wanita dalam pertemuan itu. Dia telah merenungkan arahan bagi ucapannya. Semasa perbincangan berlangsung, dia merujuk dengan nama yang baru dicipta tetapi belum diumumkan “Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia.” Adakah suasana dalam pertemuan wanita ini betul untuk membuat pengisytiharan tegas tentang keluarga?
Presiden Lembaga Pertolongan Umum, Elaine Jack kemudian menjelaskan: “Kami tidak tahu apa perisytiharan tentang keluarga pada masa itu. [K]ami sudah dapat tahu melalui tajuknya, tetapi kami rasa apa-apa sahaja berkaitan dengan keluarga … akan menjadi hal positif. … Saya berasa sangat positif bahawa kita mempunyai ahli-ahli Kuorum Dua Belas yang menerima wahyu.”
Pertemuan Lembaga Pertolongan pada hari Sabtu itu adalah bersejarah. Presiden Hinckley memperkenalkan perisytiharan keluarga dengan kata-kata penting berikut: “Dengan begitu banyak kepalsuan yang disajikan sebagai kebenaran, dengan begitu banyak penipuan mengenai standard dan nilai-nilai, dengan begitu banyak godaan dan pujukan untuk mengambil noda dunia secara perlahan, kami merasakan perlu untuk memberi amaran dan peringatan … tentang standard, ajaran, dan amalan yang berkaitan dengan keluarga yang telah berulang kali dinyatakan oleh para nabi, pelihat, dan pewahyu gereja ini sepanjang sejarahnya.”
Dia kemudian membaca sepenuhnya perisytiharan itu. Seperti firman Tuhan, “Sama ada melalui suara-Ku sendiri atau melalui suara para hamba-Ku, ia adalah sama.”
Perisytiharan itu menyatakan, “Keluarga ditahbiskan oleh Tuhan.” Saya suka kejelasan kenyataan itu. Perisytiharan itu memanggil kita untuk hidup dalam kefanaan, sentiasa mengingati keilahian dalam diri kita dan masa depan abadi yang berada di hadapan kita. Presiden Nelson ajarkan, “Anda benar-benar adalah anak-anak roh Tuhan. … Jangan silap: Potensi anda adalah ilahi. Dengan pencarian anda yang tekun, Tuhan akan memberi anda sedikit gambaran tentang siapa anda boleh menjadi.”
Apabila dibentangkan, perisytiharan itu tidak selaras dengan pandangan ramai di dunia. Tidak pada masa itu. Tidak pada masa ini. Ada yang tersinggung dengan pengisytiharan tentang keluarga, perkahwinan, dan jantina. Ada yang mencadangkan Gereja mengendurkan pendiriannya, menyemak semula, atau bahkan mengetepikan perisytiharan itu.
Perisytiharan keluarga ini adalah, seperti Presiden Hinckley nyatakan, ajaran, saudara dan saudari. Asas-asas itu tidak tersasar tetapi selaras sepenuhnya dengan cara Tuhan dan jalan perjanjian-Nya. Ajaran-ajaran perisytiharan itu diungkapkan oleh Tuhan kita Yesus Kristus kepada para Rasul-Nya pada masa dahulu dan sekarang. Inilah Gereja-Nya; Dia telah menetapkan kebenaran yang dengannya kita hidup.
Sebahagian daripada anda mungkin merenungkan perisytiharan itu dan berkata, “Ini bukanlah untuk saya.” “Ia mungkin nampak tidak sensitif” “Keluarga saya tidak seperti itu” “Saya tidak sesuai.”
Bagi yang mempunyai kebimbangan, ketahuilah bahawa anda anak ibu bapa syurgawi, sebahagian daripada keluarga Bapa Syurgawi. Tiada siapa yang lebih mengenali atau lebih mengambil berat tentang anda daripada Dia. Berpalinglah kepada-Nya; curahkan hati anda kepada-Nya; percayalah kepada-Nya serta janji-janji-Nya. Anda mempunyai keluarga dalam Juruselamat anda, Yesus Kristus, yang mengasihi anda. Dia datang ke bumi untuk menebus dan menanggung dosa dan beban kesilapan kita dan hari kita yang sangat sukar. Dia faham apa yang anda hadapi dan rasai. Berpaling kepada-Nya; percayalah Dia akan menghantar Roh Kudus untuk bersama, mengangkat, dan membimbing anda. Rasakan kasih Mereka yang “mencurahkan diri-Nya merata-rata di dalam hati anak manusia; … ia adalah paling dihasratkan melebihi segala-galanya … dan yang paling membahagiakan kepada jiwa.”
Semua Rasul Tuhan mengasihi anda. Kami berdoa dan mencari bimbingan Tuhan untuk anda. Kekallah bersama kami. Anda hidup pada zaman yang mencabar di mana musuh berusaha menjadikan anda miliknya. Janganlah terpesong. Dan jika terpesong, kembalilah. Tangan kami dihulurkan kepada anda, seperti orang lain yang mengasihi anda.
Perisytiharan menyatakan “Ibu bapa mempunyai tugas yang kudus untuk membesarkan anak-anak mereka dengan kasih sayang dan kesolehan.” Kitab Mormon memberikan kesaksian kedua kepada kebenaran ini. Ayat pertama di bab pertama mengatakan, “Aku, Nefi, telah dilahirkan dari ibu bapa yang baik.” Berapa ramai yang sudah mula membaca Kitab Mormon—dan mengulanginya berkali-kali—dan akhirnya menghafal kata-kata itu? Ingatlah ia di dalam hati.
Salah satu kenyataan kegemaran saya dalam perisytiharan ini ialah: “Kegembiraan dalam kehidupan kekeluargaan adalah paling mungkin dicapai apabila berasaskan ajaran … Yesus Kristus.”
Siapakah yang tidak mahu menjadi gembira?
Dan apakah ajaran-ajaran Yesus Kristus? Sekali lagi, dalam perisytiharan: “Iman, doa, pertaubatan, pengampunan, hormat, kasih sayang, belas kasihan, kerja, dan kegiatan rekreasi yang baik dan sihat.”
Kehidupan siapakah yang tidak akan maju dengan menerapkan asas-asas utama ini? Tiada seorang pun yang akan melakukannya dengan sempurna; tetapi ikutlah kata-kata Presiden Hinckley: “Lakukanlah sebaik mungkin.”
Kita baca dalam perisytiharan, “Para bapa patut mengetuai … dengan kasih sayang dan kesolehan,” dan “para ibu terutamanya bertanggungjawab bagi pemeliharaan anak-anak mereka.” Mengetuai tidak bermaksud menguasai, dan memelihara tidak bermaksud peranan lebih rendah. Tuhan telah memberi lelaki dan wanita peranan berbeza tetapi ia setara dan sama pentingnya untuk saling melengkapi.
Biar saya berkongsi satu cerita peribadi.
Saya dan isteri bekerjasama dengan lebih baik sebagai pasangan yang setaraf selepas saya membuat keputusan penting tanpa berunding dengannya. Tindakan saya membuat dia terkejut, tidak bersedia, dan berada dalam keadaan yang amat sukar. Selepas itu, dia meletakkan tangannya di atas bahu saya dan dengan tegas berkata, “Ron, tolonglah, jangan lakukan itu kepada saya lagi.” Sejak itu, kami menjadi lebih sehaluan.
Kita temui dalam perisytiharan keluarga: “Para bapa dan para ibu diwajibkan membantu satu sama lain sebagai pasangan yang setaraf.”
Setaraf adalah perkataan yang penting. Selama bertahun, Sister Rasband dan saya bekerjasama dalam apa yang digambarkan dalam perisytiharan sebagai “tanggungjawab-tanggungjawab yang suci,” kami lebih bersatu dalam perkahwinan kami. Apabila setiap anak kami yang sudah berkahwin, Sister Rasband dan saya terus menasihati mereka dan pasangan tentang bagaimana untuk menjadi pasangan yang setaraf.
Apabila kita hidup dengan tumpuan mata satu-satunya pada kemuliaan Tuhan, kita menghormati dan menyokong satu sama lain. Pola kesolehan ilahi itu membawa kepada kestabilan dalam kehidupan individu kita, keluarga kita, dan masyarakat.
Bapa Syurgawi telah menyediakan perisytiharan tentang keluarga untuk membimbing kita pulang kepada-Nya, belajar dan dipenuhi dengan kasih, kekuatan, tujuan, dan pemahaman abadi. Dengan sepenuh jiwa, saya merayu kepada anda untuk hidup dekat dengan-Nya dan Putera Terkasih-Nya. Saya berjanji apabila anda berbuat demikian, Roh akan mengilhami dan membimbing serta membantu anda rasa kedamaian yang dijanjikan yang “tidak mungkin difahami.” Dalam nama Yesus Kristus, amin.