Pengawas yang Soleh—Pengikut Yesus Kristus
Pertemuan Rohani Belia Sedunia
04 Mei 2025
Rakan-rakan di seluruh dunia, selamat datang! Saya gembira berpeluang untuk bersama anda—untuk berkongsi kasih saya kepada anda dan aspirasi saya untuk anda. Yang paling penting, saya berharap anda akan ada pengalaman istimewa petang ini—di mana anda merasakan kasih Tuhan dan diilhamkan untuk mencapai aspirasi-Nya yang tertinggi untuk anda!
Kami berada di Tabernacle Temple Square yang bersejarah di Salt Lake City. Pembinaan bangunan megah ini bermula seratus tahun sebelum saya dilahirkan. Ia adalah masa apabila bahan binaan adalah premium di Wilayah Utah, tiada kereta api untuk membawa bekalan, dan jikalau ada, wang tunai terhad. Tetapi mereka yang membina struktur megah ini sangat pintar dan menggunakan bahan kitar semula yang ada. Sebahagian daripada kayu yang digunakan telah dikitar semula daripada kediaman yang dibina sebelum ini. Paku dan sesendal ditempa daripada kasut lembu yang usang. Dan plaster dicampur dengan bulu haiwan untuk mengukuhkannya. “Sesuaikan semula,” “guna semula” dan “kitar semula” telah menjadi istilah popular mereka sebelum ia menjadi sebahagian daripada bahasa vernakular kita.
Datuk moyang kedua dan ketiga saya, pendatang dari England, bekerja membina pintu besar untuk Tabernacle ini. Bolehkah mereka membayangkan keturunan mereka, seorang cucu perempuan, berucap dari tempat bersejarah ini?
Para saudari dan saudara, adakah anda memahami kesan yang anda boleh buat?
Dunia ini penuh dengan cabaran. Dan anda adalah generasi wanita dan lelaki yang dikhaskan untuk hari ini—anda ada keupayaan, sifat, keinginan, dan peluang untuk menggunakan kuasa Tuhan dalam menghadapi dan menyelesaikannya cabaran itu. Potensi anda adalah ilahi.
Saya percayai anda. Para nabi, pelihat, dan pewahyu menyatakan keyakinan kepada anda. Ucapan daripada mereka, ia seolah-olah diucapkan oleh Tuhan sendiri.
Tolong jangan berputus asa dalam usaha untuk menangani kerumitan hari ini. Kami perlukan anda!
Saya faham ia mudah untuk terperangkap dalam hal negatif, dalam rentetan masalah yang berterusan yang dilaporkan di dunia. Konflik bersenjata, pertikaian politik, penindasan, bencana alam, penderitaan manusia—ia membebankan hati saya. Anda mungkin berasa tidak berdaya untuk mencari penyelesaian yang berpanjangan.
Dengan yakin, saya mengisytiharkan bahawa diberkati dengan kekuatan dan kuasa Tuhan yang tersedia untuk anda semasa anda membuat dan mentaati perjanjian dengan-Nya, anda boleh menentang yang negatif dan menyinarkan cahaya di setiap sudut kegelapan.
“[Kita] bagaikan cahaya bagi dunia,” Juruselamat mengisytiharkan. Dan “cahaya berpegang teguh pada cahaya.” Membiarkan cahaya penganutan kita dalam Yesus Kristus bersinar adalah bentuk tenaga terbaik yang boleh diperbaharui—tenaga daripada sumber yang sentiasa diisi semula. Saya bersaksi bahawa dengan membawa kelegaan dan cahaya-Nya kepada orang lain, kita sendiri mendapat kelegaan dalam-Nya.
Oleh itu, jadilah pendamai di rumah, komuniti, dan dalam talian anda. Melegakan penderitaan di kawasan kejiranan anda sendiri.
Objektif setan adalah mengambil hak pilihan kita. Sebaliknya, rancangan kebahagiaan Bapa memberi kita peluang untuk bertindak, untuk menjadi agen kebaikan, untuk kedamaian, untuk harapan.
Kita boleh menentang maklumat palsu dengan berkongsi maklumat yang menaikkan semangat, penuh harapan dan tepat—menjadi penyokong kebenaran dan bukannya hanya pengguna maklumat. Kita boleh membalas hal negatif dengan membanjiri dunia dengan cahaya dan berita baik injil Yesus Kristus.
Nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson mengatakan, “Yesus Kristus adalah jawapannya.” “Semua soalan atau masalah yang anda ada, jawapannya sentiasa ada pada kehidupan dan ajaran Yesus Kristus.”
Presiden Nelson telah menjemput kita untuk menjadikan penganutan kita terhadap-Nya sebagai “keutamaan tertinggi” kita. Kita memperdalam penganutan kita apabila kita belajar daripada dan tentang Yesus Kristus. Oleh itu, mari kita terokai ajaran Juruselamat.
Matius bab 25 mengandungi tiga perumpamaan, perumpamaan terakhir yang direkodkan oleh Matius telah diajar oleh Juruselamat dalam pelayanan fana-Nya. Semasa menyediakan ucapan persidangan umum saya baru-baru ini, dan dalam persediaan untuk pertemuan rohani ini, Roh mendorong saya untuk kembali dan belajar daripada kisah-kisah ini.
Untuk tujuan kita, saya ingin menekankan aspek persediaan dan pengawasan perumpamaan ini. Presiden Nelson telah menjemput kita untuk membuat “sekarang … masa … untuk bersedia untuk Kedatangan Kedua … Yesus Kristus.” Pengawasan ialah pengurusan yang berhati-hati dan bertanggungjawab terhadap sesuatu yang diamanahkan kepada seseorang. Dalam usaha pengawasan kita, kita mencontohi Yesus Kristus. Oleh itu, dengarkan pelajaran dalam persediaan dan pengawasan yang boleh kita ambil daripada cerita-cerita ini.
Pertama, perumpamaan tentang sepuluh orang gadis—lima yang bijak dan lima yang kurang bijak.
Dalam perumpamaan itu, sepuluh orang gadis berada di tempat yang betul, menunggu pengantin lelaki. Setiap seorang datang dengan pelita. Seperti anda semua. Anda berada di sini, melatih iman anda dan membina kesaksian anda.
Apabila pengantin lelaki—yang mewakili Juruselamat—datang pada waktu tengah malam yang tidak dijangka, lima orang gadis itu tidak ada minyak yang cukup untuk pelita mereka. Mereka mungkin tidak berfikir bahawa mempunyai minyak tambahan adalah penting atau diperlukan. Atau mereka tidak mengawasi minyak dengan cermat. Mungkin terganggu, mereka gagal bersedia dengan secukupnya untuk memastikan lampu mereka menyala.
Oleh itu, sebagai jawapan kepada permohonan mereka untuk masuk ke jamuan perkahwinan, pengantin lelaki menjawab, “Kamu tidak mengenali Aku.” Melalui persediaan dan pengawasan mereka yang bijaksana, lima orang gadis yang bijaksana memang mengenali-Nya.
Minyak berharga, yang mewakili penukaran hati peribadi, membolehkan gadis yang bijaksana menyalakan pelita mereka dan memasuki jamuan perkahwinan dengan pengantin lelaki. Minyak itu tidak boleh dikongsi dengan rakan-rakan mereka kerana penukaran hati peribadi adalah—sesuatu yang peribadi. Kita boleh dan harus mengangkat cahaya pelita kita tinggi untuk mengangkat dan menguatkan orang lain, tetapi setiap daripada kita adalah pengawas penukaran hati kita sendiri.
Seperti yang diajar oleh Juruselamat, “Setialah, berdoalah selalu, memastikan pelitamu dijaga dan menyala, dan minyak bersamamu, agar kamu boleh bersedia semasa kedatangan Pengantin Lelaki.”
Kita juga akan kenal Juruselamat dan ada “keyakinan untuk mendekati Tuhan sekarang” apabila kita bersedia untuk memastikan pelita kita penuh dengan minyak penukaran hati dan kemudian membiarkan cahaya penukaran hati itu bersinar. Dan seperti arca yang indah di Temple Square, kita boleh dan harus menyokong dan mengukuhkan orang lain seperti yang kita lakukan—memberi isyarat kepada orang lain untuk datang kepada cahaya—Cahaya Dunia, Yesus Kristus.
Perumpamaan kedua yang diceritakan oleh Matius adalah tentang wang emas. Dalam cerita itu, tuannya, dalam jangkaan untuk mengembara jauh, telah memberikan wang emas kepada tiga hambanya. Dalam zaman Perjanjian Baru, wang emas mewakili duit. Tetapi saya harap anda akan memikirkan wang emas sebagai kurnia, kebolehan, dan berkat yang diberikan kepada kita oleh Bapa Syurgawi kita. Kepada seorang hamba tuan memberi lima keping wang emas, kepada seorang lagi dua keping wang emas, dan kepada yang terakhir, satu. Dan kemudian tuan itu meneruskan perjalanannya.
Apabila dia kembali, dia mendapati bahawa hamba-hamba yang masing-masing diberikan lima keping wang emas dan dua keping wang emas, telah menjadi pengawas yang setia dan menguntungkan dan telah menggunakan wang emas itu dengan baik. Masing-masing telah menggandakan wang emas yang telah diamanahkan kepada mereka. Dan setelah setia dalam perkara yang kecil, Tuan memberikan lebih banyak lagi dan mengatakan, “Bagus, kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!”
Sebaliknya, hamba yang telah diberi satu keping wang emas menguburkannya—mungkin kerana dia terganggu dan menangguhkan menggunakan wang emasnya dengan baik. Atau mungkin dia kecewa untuk memulakan atau takut dia akan gagal. Dia mungkin membandingkan dirinya dengan hamba-hamba lain, dan keraguannya tentang keupayaannya sendiri menghalangnya daripada mencuba. Dia tidak bersedia untuk kepulangan tuannya, dia tidak mengalami kegembiraan pengawasan yang setia, dan dia kehilangan wang emasnya.
Perumpamaan sepuluh orang gadis dan perumpamaan wang emas mempunyai tumpuan yang sama. Kedua-duanya menekankan bahawa kita ada tanggungjawab peribadi untuk penukaran hati kita sendiri dan mesti mempersiapkan diri kita untuk menerima kurnia permuliaan Tuhan—dan bahawa kita ada pengawasan dan pertanggungjawaban peribadi untuk perkara yang kita diberkati.
Akhirnya, Matius 25 menceritakan kisah mereka yang mempunyai “keyakinan di hadirat Tuhan.” Digambarkan sebagai domba bagi Gembala yang Baik, ditemui di sebelah kanan-Nya, menikmati jamuan perkahwinan bersama-Nya, dan diberkati untuk menjadi penguasa ke atas banyak perkara, Dia berfirman:
“Ketika Aku lapar, kamu memberi Aku makan, dan Aku dahaga, kamu memberi Aku minum; Aku seorang asing, tetapi kamu menyambut Aku ke dalam rumah kamu. Aku tidak berpakaian, dan kamu memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit, dan kamu merawat Aku. Aku dipenjarakan, dan kamu melawat Aku.”
Video ini menyatakannya dengan indah.
[video (sari kata)]
“Yesus menunjukkan bagaimana untuk mengasihi sesama kita. Kita mengikuti contoh-Nya ketika [kita mengangkat] orang yang letih[,] memelihara anak-anak[,] menghibur mereka di sekitar kita[,] memberi makan orang yang lapar[,] mencari mereka yang memerlukan. Setiap hari adalah peluang untuk menjadi seperti Dia[,] melayani seperti Dia[,] menjaga seperti Dia. Penjagaan setiap hari bermula dengan anda. Layari CaringSummary.ChurchofJesusChrist.org.”
[video tamat]
Inilah yang diminta daripada kita. Sebagai para pengikut-Nya, kita mempersiapkan diri untuk Kedatangan-Nya yang Kedua dan dengan iman dan secara bermanfaat menjalankan pengawasan ke atas apa yang telah kita diberkati. Rasa kasihan, kasih ihsan, hemah, dan pengawasan yang setia melayakkan kita hidup bersama-Nya dan ada keyakinan di hadapan Tuhan sekarang. Seperti yang Mormon ajarkan, mereka yang dipenuhi dengan kasih ihsan—kasih suci Kristus—“maka akan baiklah kesudahan [mereka]” pada hari akhir. Mereka akan menjadi seperti Juruselamat, melihat-Nya sebagaimana Dia adanya, dan memiliki harapan dan disucikan bahkan seperti Dia yang adalah suci. Presiden Nelson telah mengisytiharkan, “Kasih ihsan dan berhemah membuka jalan untuk memiliki keyakinan di hadapan Tuhan!”
Ketiga-tiga perumpamaan ini mengajar bagaimana para pengikut-Nya—bagaimana kita—harus bersedia untuk masa-masa berbahaya yang mendahului Kedatangan Kedua Juruselamat. Inilah zaman di mana kita hidup! Kita hendaklah memastikan pelita penukaran hati kita menyala terang, biarkan cahaya kita bersinar, guna dan luaskan bakat kita, menjaga mereka yang memerlukan—iaitu, memiliki kasih ihsan, kasih suci Kristus.
Ketiga-tiga perumpamaan ini mengajar kita tentang pengawasan:
Pengawasan untuk penukaran hati diri kita sendiri.
Pengawasan untuk kurnia, bakat, aset, dan bantuan yang dengannya kita telah diberkati, termasuk bumi sendiri.
Pengawasan untuk jiran kita yang lapar, gelandangan, terluka, dan letih.
Sebagai pengikut Yesus Kristus, bagaimanakah kita mengamalkan pengawasan yang baik?
Mungkin perbincangan yang lebih menyeluruh tentang pengawasan boleh membantu. Mari kita takrifkan pengawasan terlebih dahulu. Dan apakah itu seorang pengawas?
Seorang pengawas menguruskan aset isi rumah atau harta pusaka yang besar. Pengawas bukan pemilik aset tetapi diamanahkan untuk menguruskannya bagi pihak pemilik. Pengawas yang menguntungkan setia kepada pemilik aset, menjaga sumber dengan bijak dan murah hati. Oleh itu, pengawasan adalah menguruskan dengan berhati-hati dan bertanggungjawab perkara-perkara yang diamanahkan kepada jagaan kita.
Uskup Gérald Caussé dari Lembaga Uskup Utama mengajar apa yang dimaksudkan untuk menjadi seorang pengawas duniawi. Dia berkata, “Dalam istilah injil, perkataan pengawasan bererti tanggungjawab rohani atau duniawi yang kudus untuk jaga sesuatu milik Tuhan, di mana kita bertanggungjawab untuknya.”
Pertimbangkan betapa hebatnya tanggapan ini! Kita adalah pengawas aset yang Bapa Syurgawi telah amanahkan kepada kita. Ia adalah amanah suci untuk bumi; sumbernya; anak-anaknya; kurnia, bakat, dan berkat kita. Dan ia adalah tanggungjawab suci untuk menjaga aset-Nya dengan berhati-hati.
Untuk apa atau kepada siapa anda ada pengawasan?
Semua ciptaan Tuhan di bumi ini. Anda ada pengawasan untuk badan dan minda anda sendiri. Anda ada pengawasan untuk kebolehan, bakat, kurnia rohani, dan bantuan yang anda telah diberkati. Anda ada pengawasan untuk bumi. Dan anda ada pengawasan untuk satu sama lain.
Uskup Caussé menjelaskan: “Tugas pengawasan kita terhadap ciptaan … Tuhan juga termasuk, keutamaannya, ditugaskan untuk kasihi, hormati dan jaga semua manusia yang berkongsi bumi ini. Mereka adalah anak lelaki dan perempuan Tuhan, saudari dan saudara kita, dan kegembiraan abadi mereka adalah tujuan utama penciptaan.”
Adakah anda akan menjadi pengawas yang menguntungkan? Adakah anda akan menjaga ciptaan Tuhan dengan bijak dan murah hati?
Saya ingin memperhalusi tumpuan kita pada pengawasan kurnia dan bakat yang telah kita diberkati, pengawasan kita untuk bumi, dan pengawasan untuk jiran kita. Ingat, pengawasan yang soleh adalah bukti penganutan kita.
Pertama, pengawasan untuk kurnia dan bakat kita.
Daripada Ajaran dan Perjanjian 46:11–12 kita belajar kebenaran ini:
“Kerana kepada semua orang tidaklah diberikan setiap kurnia kepada mereka; kerana terdapat banyak kurnia, dan kepada setiap orang diberikan satu kurnia oleh Roh Tuhan.
“Kepada segelintir diberikan satu, dan kepada segelintir diberikan yang lain, agar semua boleh dimanfaatkan olehnya.”
Kurniaan rohani kita adalah kapasiti yang diberikan oleh Tuhan kepada setiap kita. Ia diberikan mengikut kehendak dan masa-Nya, melalui kuasa Roh Kudus, dan bertujuan untuk berkat dan manfaat semua anak Tuhan.
Pengawas yang setia mencari dan menjemput kurnia rohani ke dalam kehidupan mereka dan guna kurnia yang telah diberkati kepada mereka untuk mengangkat dan melayani orang lain. Setiap anda, anak-anak Tuhan, telah diberikan kurnia dan bakat istimewa.
Elder Marvin J. Ashton, seorang ahli Kuorum Dua Belas, menerangkan beberapa kurnia, sifat, dan kebolehan yang anda mungkin tidak pertimbangkan. Semasa saya menyenaraikannya, adakah anda akan melakukan refleksi diri dan berusaha untuk mengenal pasti satu atau dua perkara yang telah diberkati kepada anda? Kemudian, dengan kurnia itu, pertimbangkan bagaimana anda akan menggunakannya sebagai pengawas yang setia untuk memberkati orang lain.
“Kurnia meminta; kurnia mendengar; kurnia pendengaran dan menggunakan suara tenang yang lembut; kurnia menangis; kurnia mengelakkan pertengkaran; kurnia menyenangkan; kurnia hindari pengulangan yang sia-sia; kurnia mencari kebenaran; kurnia untuk tidak menghakimi; kurnia mencari Tuhan untuk bimbingan; kurnia sebagai pengikut; [kurnia menenangkan orang;], kurnia menjaga orang lain; kurnia untuk dapat merenung; kurnia menawarkan doa; kurnia memberi … kesaksian yang kuat; dan kurnia menerima Roh Kudus.”
Semasa anda merenungkan kurnia anda, bolehkah saya memberi amaran? Jangan bandingkan atau ukur kurnia anda dengan kurnia orang lain. Jangan terlibat dalam “penilaian diri yang merendahkan.” “Perbandingan mencuri kegembiraan.” Terima kurnia anda dan raikan kurnia yang dimiliki oleh orang lain. Ingat, kurnia rohani diberikan oleh Tuhan melalui Roh dengan tujuan agar semua boleh dimanfaatkan olehnya.
Nenek saya yang dikasihi ialah seorang guru Bahasa Inggeris dan memilih kata-katanya dengan teliti. Dia suka berkata, “Perbandingan itu menjijikkan.” Menjijikkan ialah perkataan yang sangat kuat. Ia bermaksud “hina dan sangat tidak menyenangkan.” Mengapa nenek saya menggunakan perkataan yang begitu kuat apabila menasihati saya tentang risiko dalam membuat perbandingan? Ini kerana membandingkan diri kita dengan orang lain sangat tidak produktif. Dalam membandingkan diri kita dengan orang lain, kita memisahkan diri kita daripada mereka. Daripada merasakan sebahagian daripada seluruh tubuh Kristus, saya mengambil peranan sebagai jari kelingking dan mengukur nilai saya terhadap seseorang yang saya fikir adalah bahu, lengan, dan badan. Secara amnya, apabila kita membandingkan diri kita dengan orang lain, kita sama ada berasa rendah diri atau lebih tinggi, padahal kedua-duanya tidak berlaku. Kita semua adalah anak-anak terkasih ibu bapa syurgawi, diberkati dengan pakej kurnia rohani, sifat, bakat, dan kekuatan yang diperibadikan.
Oleh itu, saya menjemput anda untuk memupuk kurnia meninggalkan perbandingan. Mintalah Bapa Syurgawi untuk membantu anda mengenal pasti kurnia dan bakat rohani anda dan bagaimana anda boleh menggunakannya sebagai pengawas yang setia.
Berikut adalah satu contoh.
Beberapa tahun yang lalu, Jean, seorang belia yang tinggal di Belanda, sedang merenungkan perintah pertama yang diberikan kepada Adam dan Hawa untuk ada anak cucu yang banyak. Memandangkan dia dan suaminya mengalami kemandulan, mereka berusaha untuk memahami bagaimana perintah itu terpakai kepada mereka. Dia sedar bahawa semasa Adam dan Hawa tidak ada anak, mereka mengusahakan dan menjaga taman yang Tuhan telah berikan pengawasan kepada mereka. Semasa dia pertimbangkan keadaannya, dia memikirkan taman di mana dia tinggal—taman bumi, taman negaranya, taman keluarganya, dan taman bahagiannya.
Dia menyedari walaupun dia tidak tinggal di Taman Eden, ini adalah taman di mana Tuhan telah meletakkannya. Dia boleh berusaha untuk melipatgandakan dan menambah apa yang Tuhan telah berikan kepada pengawasannya. Jean merenungkan:
-
“Bagaimanakah saya boleh melipatgandakan kurnia yang telah Tuhan berikan kepada saya dan orang lain?
-
Bagaimanakah saya boleh melipatgandakan kasih terhadap anak-anak Tuhan?
-
Bagaimanakah saya boleh melipatgandakan masa dan usaha saya untuk melayani orang lain?
-
Bagaimanakah saya boleh menambahkan perigi rohani saya sendiri?
-
Bagaimanakah saya boleh menambahkan apa yang orang lain telah hilang, sama ada duniawi atau rohani?
-
Bagaimana saya boleh menambahkan harapan dan iman yang seolah-olah hilang bagi ramai orang di dunia?”
Semasa Jean memberi tumpuan kepada soalan-soalan itu, dia diberkati untuk mengenali peluang bagi melipatgandakan dan menambahkan dengan menggunakan kurnia dan bakatnya. Dia mengajar teater kepada golongan muda dari seluruh dunia. Dia melayani remaja puteri. Dia mengambil kesempatan daripada fleksibiliti dalam kehidupan profesionalnya sendiri untuk membantu menjaga anak-anak rakan-rakannya. Dia habiskan lebih banyak masa untuk pelajari injil dan berasa diberkati untuk lebih memahami cara menanggung beban orang lain dan hiburkan mereka yang perlukan penghiburan. Itu meningkatkan kesaksian dan imannya kepada Yesus Kristus dan injil-Nya. Paling penting, dia mendapat pemahaman peribadi tentang rancangan Tuhan untuknya.
Pengawas yang baik akan sentiasa melipatgandakan dan menambahkan aset Tuan.
Walaupun tidak seperti yang dia bayangkan pada mulanya, pengalaman Jean adalah bukti yang indah tentang janji daripada nabi Yeremia, yang berkata:
“Berbahagialah orang yang percaya kepada Tuhan, yang yakin kepada-Nya.
“Dia bagaikan pokok yang tumbuh di tepi sungai yang mengalir; akarnya merambat sampai ke air. Musim panas tidak ditakuti, kerana daun-daunnya selalu hijau; Walaupun negeri dilanda kemarau, tidak ada kegelisahannya, kerana buah selalu dihasilkannya.”
Kedua, pengawasan untuk bumi dan untuk semua anak Tuhan.
Presiden Russell M. Nelson telah mengajar: “Sebagai penerima Penciptaan ilahi, apakah yang harus kita lakukan? Kita harus menjaga bumi, menjadi pengawas bijaksana bagi bumi ini dan pelihara bumi ini untuk generasi yang akan datang.”
Saya tahu ini adalah topik yang sangat diambil berat oleh generasi anda. Anda membawa keazaman yang besar, dan sebahagian daripada anda membawa sedikit kebimbangan. Izinkan saya meyakinkan anda bahawa Tuhan telah sediakan jalan untuk kehidupan yang sihat untuk semua orang di planet ini jika kita bersedia guna kurnia dan bakat kita untuk kebaikan ini, kekal layak untuk terima wahyu, dan guna sumber bumi yang melimpah untuk menjaga satu sama lain.
Tuhan berfirman:
“Aku, … merentangkan langit, dan membangunkan bumi, bahkan hasil kerja tangan-Ku; dan segala yang ada di dalamnya adalah milik-ku.
“Kerana bumi ini penuh, dan ianya cukup dan berlebihan; ya, Aku telah menyediakan segalanya, dan telah memberikan kepada anak-anak manusia untuk menjadi wakil bagi diri mereka sendiri.”
Bagaimanakah anda akan guna hak pilihan anda, pengawasan anda, untuk berkat mulia bagi bumi ini?
Tuhan menjelaskan dalam ayat seterusnya bahawa kita mesti “mengambil dari kelimpahan yang [Dia] jadikan, dan memberikan bahagiannya, menurut hukum injil [Nya], kepada yang miskin dan yang memerlukan.” Terdapat cukup untuk simpanan jika kita kongsi berkat kita dan menggunakan hak pilihan kita sebagai pengawas bumi seperti Kristus.
Mari kita kembali kepada petikan daripada Presiden Nelson tentang pengawasan kita untuk bumi. Dia berkata, “Sebagai penerima Penciptaan ilahi, apakah yang harus kita lakukan? Kita harus menjaga bumi, menjadi pengawas yang bijaksana di atas bumi ini dan memelihara bumi ini untuk generasi akan datang.”
Kemudian Presiden Nelson meneruskan, “Dan kita harus mengasihi dan menjaga satu sama lain.”
Ia penting untuk kita kenal hubungan antara menjaga bumi dan menjaga jiran kita. Dalam menjaga bumi, mencantikkan persekitaran tempatan kita, dan membantu komuniti kita menjadi lebih mampan, kita bertindak sebagai pengawas bumi yang bijak untuk berkati kehidupan jiran kita. Mereka adalah orang yang kita telah diperintahkan untuk kasihi. Seperti biri-biri dalam perumpamaan itu, kita memberi makan kepada yang lapar, memberi air kepada yang dahaga, memberi pakaian kepada yang tidak berpakaian, dan melawat orang sakit dan letih. Kita “sokonglah yang lemah, angkatlah tangan yang terkulai, dan kuatkanlah lutut-lutut yang lemah.”
Saudara dan saudari anda di seluruh dunia sedang lakukan ini. Eritai dibesarkan di pulau terpencil Marakei, Kiribati. Selepas pulang dari misinya, dia menghadiri BYU–Hawaii, di mana dia terlibat dalam SWAT, Sustainable World Action Technology Team [Pasukan Teknologi Tindakan Dunia Lestari], dan belajar tentang berkebun secara hidroponik, kaedah tanam tumbuhan tanpa tanah menggunakan nutrien mineral dalam larutan air. Selepas tamat pengajian, Eritai kembali ke Kiribati untuk bantu penduduk di situ.
Kiribati ialah sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada 32 pulau batu karang berbentuk cincin dengan lagun tengah, dipanggil atol, dan satu pulau batu karang timbul. Oleh kerana lokasinya di sepanjang khatulistiwa, keadaan cuaca teruk. Angin laut yang panas serta masin dan pencerobohan air laut memusnahkan tanaman dan mencemarkan air. Oleh itu, terdapat kekurangan tanah dan ruang untuk menanam makanan berkhasiat. Kekurangan zat makanan dan penyakit berleluasa bagi penduduk pulau Kiribati kerana mereka bergantung hampir secara eksklusif kepada makanan yang diimport dan diproses.
Tetapi Eritai ada tenaga dan visi, dengan bakatnya untuk mencipta sebuah program mampan bagi mengajar keluarga Kiribati tempatan cara menanam buah-buahan dan sayur-sayuran yang sihat menggunakan hidroponik. Taman hidroponik mudah alih, serba lengkap, dan tumbuh dengan cepat, menghasilkan tanaman dalam 30 hari.
Oleh kerana kerjanya yang inovatif dan menyelamatkan nyawa, Eritai telah dianugerahkan Champion of the Earth [Juara Bumi] oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia Pasifik.
Eritai adalah contoh yang hebat dalam menggunakan kurnia dan bakat yang menguntungkan dalam pengawasannya terhadap bumi dan jirannya. Apabila kita memberi makan kepada yang lapar, kita dikira di kalangan domba di sebelah kanan Tuhan.
Dan kita harus memberi minuman kepada yang dahaga. Memberkati jiran kita dengan akses kepada air bersih, sanitasi dan kebersihan adalah penting untuk perkembangan manusia. Untuk mencapai kerja ini, Gereja bekerjasama dengan organisasi lain dan komuniti tempatan di seluruh dunia untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan ini dan mengukuhkan sistem keseluruhan, memastikan penyelesaian berpanjangan dan menggalakkan keberdikarian. Ini adalah pekerjaan penting! Dan ia semakin penting apabila kemarau menyebar di seluruh bumi dan populasi terus berkembang.
Alexandra, seorang belia di Cascas, Peru, bertanya kepada dirinya, “Apa kekurangan yang kita ada di sini?” Alexandra tahu bahawa sekurang-kurangnya 20 peratus keluarga dalam komunitinya tidak ada perkhidmatan sanitasi yang selamat, membawa kepada peningkatan risiko penyakit bawaan air seperti kolera. Untuk menangani cabaran ini, Alexandra sertai latihan perniagaan sanitasi yang dianjurkan oleh pasukan tempatan iaitu Water for People [Air untuk Orang Ramai] di Peru.
Dia memulakan satu perniagaan dan mengisi kedai kecilnya dengan inventori seperti singki, paip, tandas, jubin dan bahan lain yang diperlukan oleh keluarga untuk melengkapkan bilik mandi mereka. Kini, keluarga-keluarga di Cascas ada akses kepada bahan yang mereka perlukan untuk membina bilik mandi rumah.
Anda juga boleh kenal pasti keperluan air bersih dan sanitasi dalam komuniti anda dan cara anda boleh terlibat.
Nabi Yesaya mengulangi rakan sezamannya Yeremia apabila dia memberitahu kita:
“Jika kamu memberikan makanan kepada orang yang lapar, dan memenuhi keperluan orang yang tertindas, maka kegelapan di sekitar kamu akan menjadi seterang siang. …
“Aku akan sentiasa memimpin kamu serta mengenyangkan kamu di tanah kering, … Kamu akan menjadi seperti taman yang mendapat cukup air, dan seperti mata air yang tidak pernah kering.”
Sudah tentu, Yesus Kristus adalah sumber air yang memberikan hidup. Saya bersaksi bahawa apabila kita memberi minuman kepada yang dahaga, kita diberkati untuk minum air hidup-Nya —“suatu mata air yang memancar dan memberi hidup sejati dan kekal.” Semasa kita menjaga bumi dan jiran kita, kita semakin dekat dengan Juruselamat dan menginginkan hubungan perjanjian dengan-Nya yang membolehkan kita menjadi lebih seperti-Nya. Kita akan menjadi pengawas yang bertanggungjawab dan gembira. Kita akan diperbaharui dan terbang tinggi seperti helang dan tidak lelah.
Tahun lepas, Presidensi Umum Lembaga Pertolongan mengumumkan pengembangan inisiatif global untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak. Atas permintaan Presidensi Utama, Lembaga Pertolongan sedang memimpin usaha ini.
Kami mahu memperkasakan wanita dan keluarga dengan pemahaman dan sumber yang lebih besar supaya mereka lebih bersedia untuk membuat perubahan yang boleh memberi kesan yang berkekalan di rumah, komuniti dan negara mereka. Apabila seorang wanita diperkasakan kerana dia sihat dan berpendidikan, keluarga diberkati, komuniti diangkat, dan negara diperkukuhkan. Apabila anda memberkati seorang anak, anda melabur pada masa hadapan. Oleh itu, kerja kami memberi tumpuan kepada pemakanan untuk kanak-kanak di bawah lima tahun, penjagaan ibu dan bayi baru lahir, imunisasi dan pendidikan.
Alaina ialah seorang belia yang tinggal di Georgia, Amerika Syarikat. Dia sedang melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran dalam terapi pekerjaan dengan matlamat untuk bekerja di unit rawatan rapi neonatal (NICU) hospital bagi bayi yang perlukan penjagaan tambahan selepas kelahiran, terutamanya mereka yang dilahirkan pramatang. Inisiatif global Lembaga Pertolongan untuk wanita dan kanak-kanak bergema dengan Alaina. Diilhami oleh jemputan untuk mengambil bahagian dalam inisiatif global, Alaina menjadikan “penjagaan kanggaru,” atau sentuhan kulit ke kulit untuk bayi yang dilahirkan pramatang, subjek projek batu penjuru siswazahnya.
Terdapat hampir 15 juta bayi yang dilahirkan pramatang setiap tahun di seluruh dunia. Dan di Atlanta, Georgia, di mana Alaina tinggal, kadar kelahiran pramatang dan kadar kematian bayi lebih tinggi daripada purata kebangsaan Amerika Syarikat.
Alaina sedang mencipta program pendidikan supaya orang ramai lebih sedar tentang faedah sentuhan kulit ke kulit antara bayi pramatang dan ibu mereka. Bayi, hanya memakai lampin, diletakkan terus pada kulit ibu pada dadanya, dengan penutup kemudian diletakkan di atas kedua-duanya. Sentuhan ini mengekalkan suhu, menurunkan tekanan, mengawal hormon, meningkatkan hubungan, menggalakkan penyusuan susu ibu, meningkatkan tidur, dan banyak faedah lain. Tetapi ia tidak selalu dilaksanakan dalam NICU sebagai standard penjagaan. Projek Alaina bertujuan untuk menambah baik pelaksanaan.
Penyelidikannya terasa sangat rohani baginya. “Membaca sains … dan … belajar bahawa badan kita diciptakan untuk melakukan perkara-perkara ini” masuk akal baginya kerana apa yang dia tahu tentang rancangan keselamatan.
Penjagaan kulit ke kulit untuk bayi pramatang amat menyentuhkan bagi saya, kerana saya mempunyai seorang cucu lelaki yang telah dilahirkan pada bulan Februari hampir tujuh minggu lebih awal. Dengan berat lebih kurang satu setengah kilogram, pahlawan kecil kami berada di NICU selama hampir sebulan. Dan setiap hari itu, menantu perempuan dan anak lelaki saya meletakkannya di dada mereka, kulit ke kulit. Iya, “penjagaan kanggaru” adalah untuk ayah juga. Kelahiran pramatang cucu lelaki kami, dan kesakitan dalam perpisahan yang dikaitkan dengan meninggalkannya di hospital, ditenangkan pada saat-saat itu.
Alaina membiarkan cahaya penukaran hatinya bersinar; Dia menggunakan bakatnya, dan dia menjaga mereka yang memerlukan dengan mengkaji dan meningkatkan kesedaran tentang amalan penting ini. Usahanya menyahut panggilan Juruselamat—“Aku jatuh sakit, dan kamu merawat Aku.”
Eritai, Alexandra, dan Alaina adalah pengikut Yesus Kristus yang mempersiapkan diri mereka untuk Kedatangan Kedua-Nya ketika mereka mengawas dengan setia dan menguntungkan terhadap apa yang telah diberkati oleh Tuhan kepada mereka.
Juruselamat berkata, “Manakala kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang daripada saudara-Ku, walaupun dia hina, kamu telah melakukannya untuk-Ku.” Sesungguhnya belia ini mewakili mereka yang Juruselamat gambarkan sebagai domba-Nya, yang akan berada di sebelah kanan-Nya, layak untuk menikmati kehadiran-Nya.
Kita tergolong dalam gereja yang melakukan kebaikan yang luar biasa di seluruh dunia, memberkati kehidupan jiran kita, bukan hanya ahli gereja kita. Pada 2024, terdapat 6.6 juta jam telah diluangkan untuk kerja sukarelawan. Perbelanjaan sebanyak $1.45 bilion dolar AS. 192 negara dan wilayah dilayani. Inisiatif kemanusiaan global Gereja termasuk projek air bersih, kebersihan dan sanitasi, bantuan kecemasan, penjagaan kesihatan, dan projek keselamatan makanan. Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir dan ahli-ahlinya membiarkan cahaya mereka bersinar untuk memuji Bapa kita di Syurga.
Walaupun Gereja dan Lembaga Pertolongan boleh dan akan menggunakan jangkauan global mereka untuk meningkatkan usaha yang diilhamkan untuk memberi makan kepada yang lapar, memberi minuman kepada yang dahaga, memberi pakaian kepada yang tidak berpakaian, dan menjaga orang sakit, kerja yang paling penting dan berkesan terus dilakukan satu demi satu.
Dalam usaha mencontohi Yesus Kristus, kita berusaha untuk mengenali keperluan segera di sekeliling kita dan bertindak balas dengan kasih. Kita berusaha untuk menjadi pengawas setia terhadap aset-Nya—yang termasuk bakat dan peluang yang telah diberikan kepada kita, bumi dalam semua kemegahannya, dan orang ramai dalam bidang pengaruh kita.
Seperti Naaman dari Perjanjian Lama, anda mungkin sedang menunggu untuk diberitahu “melakukan perkara yang susah” —tertanya-tanya bagaimana anda akan sampai ke bahagian terpencil Afrika atau sebuah pulau di laut untuk menjaga jiran global anda.
Para saudari dan saudara, saya menjemput anda untuk menggunakan kurnia dan bakat anda untuk lakukan beberapa perkara kecil dan mudah dalam bidang pengawasan anda. Di mana sahaja anda tinggal, terdapat kanak-kanak yang kekurangan zat makanan. Di mana sahaja anda tinggal, ada orang yang tidak boleh membaca. Di mana sahaja anda tinggal, terdapat halangan kepada penjagaan kesihatan. Di mana sahaja anda tinggal, ada mereka yang lapar, dahaga, tidak berpakaian, sakit, dan di penjara, secara nyata atau kiasan.
Rakan sekalian, kami perlukan anda! Saya berharap anda akan bersungguh-sungguh mencari wahyu dan guna kurnia dan bakat anda untuk mencari penyelesaian kreatif bagi membantu memberkati masa depan semua anak Tuhan. Ini pastinya sebahagian daripada pengawasan ilahi anda.
[video (sari kata)]
“Alam semesta ini luas. Trilion galaksi dengan berbilion bintang, tanah, perairan, tumbuhan, haiwan. Namun, … Tuhan tahu dan mengasihi semua ciptaan-Nya dengan nama. Termasuk anda.”
[video tamat]
Saya tutup dengan cerita peribadi, ia tentang rakan baik saya Lydia, yang memberikan doa pembuka petang ini. Saya berkenalan dengan Lydia ketika dia melayani di Bangunan Lembaga Pertolongan sebagai misionari pelayanan beberapa tahun yang lalu. Lydia sentiasa memakai pakaian berwarna ungu kerana wanita yang digambarkan sebagai penganut pertama Paulus ialah Lydia, yang merupakan penjual kain ungu.
Lydia didiagnosis menghidap artritis ketika dia berumur empat tahun. Walaupun dia menderita dengan kesakitan setiap hari, dia dengan gembira membiarkan cahaya penukaran hatinya kepada Yesus Kristus bersinar. Jika ada sesuatu yang berhemah, indah, atau dikatakan baik atau layak dipuji—dia adalah semua itu!
Sebagai sebahagian daripada tugasan ini untuk bercakap dengan anda semua, saya telah dijemput untuk memilih orang yang akan berdoa malam ini. Lydia segera terlintas di fikiran. Dia menamatkan misinya, memulakan pengajian di BYU, dan diterima masuk ke Kolej Kejururawatan. Dan kerana dia adalah kawan baik saya, kami terus berhubung antara satu sama lain. Saya mengasihi Lydia.
Ia adalah tugas saya untuk memintanya berdoa, tetapi saya masih belum membuat panggilan. Kemudian pada 31 Mac, saya menerima teks pesanan ini daripada Lydia:
“Selamat pagi Presiden Johnson!!!
“Saya sangat mengasihi kamu!
“Malam tadi kamu berada dalam mimpi saya. Saya berasa sangat gementar dan tertekan tentang sesuatu yang perlu saya lakukan, dan kamu perasan. Kamu meletakkan lengan kamu di sekeliling saya dan berbisik di telinga saya, ‘Tidak mengapa, Lydia kamu boleh melakukan ini. Lakukan sahaja perkara-perkara kecil.’ Galakan lembut dan peringatan kamu untuk mengambilnya selangkah demi selangkah adalah apa yang saya perlu dengar hari ini. Dan oh betapa saya memerlukan pelukan Presiden Johnson! Saya fikir Bapa Syurgawi kadang-kadang menghantar pesanan kecil kepada kita melalui orang yang kita kasihi dan percayai seperti anda.
‘Saya harap kamu merasakan malaikat menyokong kamu minggu ini. Ini pelukan besar untuk kamu, kawan terkasih.”
Saya membalas balik, “Saya tidak sabar untuk memberitahu kamu mengapa kamu mempunyai mimpi itu!”
Saya menelefon Lydia pada petang itu untuk bertanya sama ada dia bersedia untuk berdoa di pertemuan rohani belia seluruh dunia ini. Sudah tentu, dia berkata ya—dan terus memberitahu saya apa yang dia tidak kongsi dalam mesej teksnya. Ia adalah perincian yang dia fikir tidak penting apabila dia menulis kepada saya. Dalam mimpinya, dia gementar untuk berdoa di hadapan kumpulan besar.
Oh, betapa lembutnya rahmat Tuhan! Saya telah menangguhkan meminta Lydia untuk berdoa tanpa sebab yang kukuh—kecuali bahawa Lydia perlu mempunyai mimpinya. Jaminan bahawa Tuhan menyedarinya dan mahu dia mempunyai peluang ini.
Ya, alam semesta adalah luas. Trilion galaksi. Dengan berbilion bintang. Tuhan telah memberi kita pengawasan di atas tanah, air, tumbuh-tumbuhan, dan haiwan. Dan Tuhan mengenali dan mengasihi semua ciptaan-Nya dengan nama. Termasuk anda.
Juruselamat memperkenalkan pelayanan fana-Nya dengan mengatakan bahawa Dia dihantar untuk “mengkhabarkan Berita Baik kepada orang miskin; … mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, kesembuhan bagi orang buta; dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas.” Jika itu adalah misi-Nya dan kita adalah pengikut-Nya, kita berkongsi objektif-Nya.
Anda, rakan-rakan saya, telah disediakan dan ditahbiskan terlebih dahulu untuk menolong-Nya. Anda ialah putera dan puteri Tuhan. Dia kenal anda. Anda berada dalam hubungan perjanjian dengan-Nya. Anda tidak akan pernah menghabiskan kesabaran-Nya yang penuh belas kasihan untuk anda. Dan apabila anda mentaati perjanjian yang telah anda buat dengan-Nya, anda akan diberkati dengan “kuasa penyembuhan dan pengukuhan Tuhan.” Kuasa Tuhan akan meningkatkan keupayaan anda, memperluaskan bakat yang telah anda diberkati, dan membantu anda melihat Dia dalam diri mereka yang lapar, dahaga, terasing dan sakit.
Sebagai para pengikut-Nya, marilah kita mempersiapkan diri kita untuk Kedatangan-Nya yang Kedua dengan menjalankan pengawasan dengan setia dan menguntungkan ke atas apa yang telah kita diberkati. Saya bersaksi bahawa apabila anda membawa kelegaan Yesus Kristus kepada orang lain, anda akan diberkati untuk menemui kelegaan anda sendiri di dalam-Nya.
Saya yakin Yesus Kristus hidup. Dia memimpin Gereja-Nya melalui nabi, pelihat, dan pewahyu. Saya pasti bahawa Russell M. Nelson adalah jurucakap-Nya yang perkasa di bumi hari ini.
Pekerjaan dan kemuliaan Bapa kita di Syurga dan Yesus Kristus adalah untuk melihat kita pulang, bersedia dan layak untuk kekal di hadapan Mereka di mana tidak ada orang yang lapar, dahaga, terasing, sakit, atau lumpuh—kerana mereka akan disembuhkan dan disempurnakan. Anda adalah pembantu penting Mereka. Saya mengasihi anda. Bapa dan Yesus mengasihi anda.
Dalam nama kudus Penebus kita, Yesus Kristus, amin.