Liahona
Kemenangan Juruselamat Terkasih Kita
April 2026 Liahona


“Kemenangan Juruselamat Terkasih Kita,” Liahona, Apr. 2026.

Pesanan Bulanan Liahona, April 2026

Kemenangan Juruselamat Terkasih Kita

Tidak ada perkataan untuk menggambarkan kebesaran kurnia berharga Yesus Kristus. Ia tidak akan diperlukan daripada orang lain. Dia menderita “satu kali sahaja untuk selama-lamanya.”

makam kosong

Sepanjang peredaran waktu, saya telah menjadi semakin rendah hati semasa saya memikirkan, mengkaji, dan mendapat penghiburan yang besar dalam kurnia Juruselamat kita yang tidak terhingga, iaitu Korban Tebusan Yesus Kristus. Minda manusia tidak dapat memahami betapa takdir manusia sepenuhnya telah berubah kerana apa yang berlaku di Getsemani, di atas salib, dan di makam.

Kita Semua Menghadapi Kekecewaan dan Penderitaan

Dalam panggilan saya sebagai seorang Rasul, saya telah mengembara secara meluas dan mempunyai kesempatan istimewa untuk bertemu kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa di seluruh dunia. Terdapat saat-saat kebahagiaan yang besar dalam hidup, tetapi satu perkara yang saya telah saksikan dengan mata saya sendiri dan rasa hingga ke lubuk hati saya adalah selain kegembiraan dan kebahagiaan, kehidupan juga menyimpan saat-saat kekecewaan dan penderitaan.

Saya tidak akan pernah melupakan saat duduk bersama empat orang kanak-kanak kecil di mana ibu bapa mereka telah dibunuh dengan kejam oleh seorang penceroboh di rumah mereka sendiri semasa mereka tidur, atau bertemu dengan seorang wanita yang didera semasa kecil oleh saudara yang dipercayainya, atau duduk di sisi katil seorang gadis muda yang mengalami kecederaan otak akibat terjatuh dari basikal dan tidak lama lagi akan meninggal dunia, atau mendengar esakan seorang wanita yang suaminya telah mengkhianatinya dan perjanjian bait sucinya dengan cara yang amat keterlaluan selama bertahun-tahun.

Saya telah merasai kesakitan pasangan di mana anak dewasanya tidak lagi mempercayai kebenaran injil dan berusaha untuk melemahkan iman orang lain dalam keluarga. Saya telah melawat ibu bapa dan rakan-rakan yang berdukacita ke atas remaja putera ada masa depan cerah namun telah mengakhiri hidupnya sendiri. Saya telah merasai kesedihan ilahi yang dialami oleh mereka yang telah melakukan dosa dan benar-benar ingin bertaubat serta kehancuran yang dirasai oleh mereka yang terkesan akibat dosa itu.

Saya menyaksikan kesedihan mendalam akibat penyakit mental, baik bagi mereka yang menanggungnya mahupun bagi mereka yang turut menderita dalam diam ketika menyaksikannya dengan keupayaan yang sangat terbatas untuk membantu. Saya telah melihat kehilangan peribadi yang besar akibat bencana alam, banjir, ribut, kebakaran, dan gempa bumi. Saya telah menyaksikan pergolakan yang melanda negara-negara akibat badai politik, peperangan, dan kemusnahan, dan penderitaan yang timbul apabila perkara yang tidak dijangka menimpa mereka yang tidak bersalah dan berusaha untuk melakukan perkara yang benar.

Juruselamat memegang tangan seseorang

Healing Hands [Tangan Penyembuhan], oleh Kolby Larsen, tidak boleh disalin

Juruselamat Menyokong Kita

Berbicara tentang Korban Tebusan Yesus Kristus, Presiden James E. Faust (1920–2007), Penasihat Kedua dalam Presidensi Utama, berkata: “Yang tercedera harus melakukan apa yang mereka boleh lakukan melalui percubaan mereka, dan Juruselamat akan ‘menyokong umat-Nya menurut kelemahan mereka’ [Alma 7:12]. Dia akan membantu kita memikul beban kita. Ada luka yang begitu menyakitkan dan begitu dalam sehingga ia tidak dapat disembuhkan tanpa bantuan daripada kuasa yang lebih tinggi dan pengharapan akan keadilan dan pemulihan sempurna pada kehidupan akan datang. … Dia memahami kesakitan kita dan akan berjalan bersama kita bahkan pada waktu yang paling gelap.”

Saya berasa semakin tertarik terhadap kasih Juruselamat dan berkat-berkat yang tidak berkesudahan yang dijanjikan kepada kita melalui Korban Tebusan Yesus Kristus. Dia tidak melindungi kita daripada pengalaman hidup sukar yang mendatangkan kesakitan yang tidak terhingga, tetapi Dia melindungi kita daripada penderitaan kekal dan terpisah daripada Bapa Syurgawi dan membenarkan kita, melalui penderitaan-Nya yang merangkumi segala-galanya, untuk memperoleh kemungkinan kebahagiaan yang sempurna dan abadi dalam hadirat Tuhan.

Presiden Dallin H. Oaks mengingatkan kita: “Setakat ini, bantuan fana Tuhan yang terkuat adalah Juruselamat, Yesus Kristus, yang akan menderita untuk membayar harga dan berikan pengampunan untuk dosa yang [ditaubati]. Korban Tebusan penuh belas kasihan dan mulia itu menjelaskan mengapa iman kepada Yesus Kristus adalah asas pertama injil. Korban tebusan-Nya ‘mendatangkan kebangkitan orang mati’ (Alma 42:23) dan ia ‘menebuskan dosa-dosa dunia’ (Alma 34:8), menghapus semua dosa kita setelah bertaubat dan beri kuasa kepada Juruselamat untuk menolong kita dalam kelemahan fana kita.”

Juruselamat di Getsemani

Butiran daripada Prayer at Gethsemane [Doa di Getsemani], oleh Del Parson, boleh disalin untuk kegunaan Gereja sahaja

Peristiwa Penting Dalam Keabadian

Apabila saya memikirkan penderitaan yang telah saya lihat secara peribadi, yang sebenarnya amat kecil jika dibandingkan dengan semua yang pernah atau akan berjalan di bumi ini, saya tidak boleh, dengan apa jua kata yang saya ketahui, menggambarkan perasaan dalam hati saya tentang apa yang pasti telah berlaku dalam hati, fikiran, tubuh dan jiwa Juruselamat dalam saat-saat kudus-Nya tentang penderitaan yang merangkumi segala-galanya untuk menanggung dosa dan kesakitan seluruh umat manusia.

Peristiwa penting bagi seluruh keabadian bermula semasa Yesus pergi ke “suatu tempat bernama Getsemani” (Matius 26:36) di Bukit Zaitun di luar tembok kota Yerusalem. Dia berkata kepada para pengikut-Nya, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya” (Matius 26:38).

Dia berdoa, mengatakan, “Ya Bapa, jika boleh, jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku! Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja” (Matius 26:39). Dia kembali kepada para pengikut-Nya, mendapati mereka tidur, lalu pergi lagi, dan berdoa untuk kali kedua. “Ya Bapa, jika cawan penderitaan ini tidak dapat dijauhkan daripada-Ku, tetapi harus Aku minum, biarlah kehendak Bapa berlaku. … [Dia] lalu pergi dan berdoa dengan kata-kata yang sama untuk kali ketiga” (Matius 26:42, 44).

Yesus minum cawan yang pahit dan menderita melampaui pemahaman fana kita di taman dan di atas salib. Tanpa dosa, Dia telah menanggung semua dosa kita, agar apabila kita datang kepada-Nya dan bertaubat, dosa dan beban kita diangkat daripada kita (lihat 2 Korintus 5:21).

Penderitaan, kematian, dan korban tebusan Yesus sudah lama dinantikan. Berbicara tentang 700 tahun sebelum kelahiran Yesus, Yesaya bernubuat bahawa “Tuhan menjatuhkan hukuman kepadanya, hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita” (Yesaya 53:6). Yesus berbicara tentang memberi nyawa-Nya sebagai “tebusan” (Matius 20:28; lihat juga 1 Timotius 2:6) “supaya dosa mereka diampunkan” (Matius 26:28) untuk semua yang akan percaya kepada-Nya dan bertaubat akan dosa-dosa mereka. Petrus menggambarkan bagaimana Dia menderita untuk dosa-dosa kita (1 Petrus 3:18), bahawa melalui luka-luka Kristuslah kita disembuhkan (lihat 1 Petrus 2:24). Dia melakukan apa yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain untuk membenarkan kita kembali ke hadirat Bapa kita. Dia “diseksa kerana perbuatan jahat kita” (Yesaya 53:5).

Selepas penderitaan di Getsemani, kesakitan-Nya berterusan—pengkhianatan oleh seseorang yang berjalan bersama-Nya, cemuhan di hadapan para pemerintah yang tidak adil, kesakitan tubuh-Nya yang dicambuk, mahkota berduri ditekan ke kepala-Nya oleh para askar yang kejam dan tidak berbelas kasihan (lihat Yohanes 18:2–3, 12–14; Markus 15:15–20), dan salib berat diletakkan di belakang-Nya yang terluka semasa Dia bergerak ke Golgota (lihat Yohanes 19:16–17).

Di atas salib, penderitaan yang teramat dirasai di Getsemani kembali dengan rasa sakit yang tidak mampu ditanggung oleh mana-mana manusia. Yesus Kristus, Putera Tuhan, bersendirian menanggung amanat ilahi oleh Bapa-Nya untuk menyerahkan nyawa-Nya. Askar dan pemerintah tidak dapat mengambil nyawa-Nya daripada Dia (lihat Yohanes 10:18). Dengan ketakziman dan rendah hati, Yesus menundukkan kepala-Nya dan berkata, “Sudah selesai” (Yohanes 19:30).

Saat terakhir kehidupan fana-Nya telah selesai. Tiada kata yang mampu menggambarkan besarnya kurnia-Nya yang berharga itu. Ia tidak akan diperlukan daripada orang lain. Yesus Kristus menderita “satu kali sahaja untuk selama-lamanya” (Ibrani 10:10).

Dia Sudah Bangkit!

Setelah misi ilahi-Nya disempurnakan, Dia kini yang pertama dalam seluruh sejarah manusia yang bangkit dari kubur menuju kebaqaan (lihat 1 Korintus 15:21–23).

Kepada para wanita di makam, para malaikat berkata:

“Mengapakah kamu mencari orang hidup antara orang mati?

“Dia tidak ada di sini; Dia sudah bangkit” (Lukas 24:5–6).

Kepada para Rasul-Nya, Dia berkata, “Lihatlah tangan-Ku dan kaki-Ku, Inilah Aku” (Lukas 24:39). Kemudian, “Dia menampakkan diri kepada lebih daripada lima ratus … sekaligus” (1 Korintus 15:6). Saksi-saksi melihat Juruselamat yang dibangkitkan. Dia tidak mati. Dia masih hidup.

Yesus Kristus memutuskan rantai dan belenggu kematian abadi bagi setiap orang yang telah hidup atau akan hidup di bumi (lihat 1 Korintus 15:22). Dia menakluki musuh kita yang menyeluruh; musuh kematian selamanya dikalahkan.

Presiden Russell M. Nelson (1924-2025) berkata: “Yesus Kristus menanggung ke atas diri-Nya dosa-dosaanda, kesakitan anda, kedukaan anda, dan kelemahan anda. Anda tidak perlu menanggungnya sendirian! Dia akan mengampuni anda semasa anda bertaubat. Dia akan memberkati anda dengan apa yang anda perlukan. Dia akan menyembuhkan jiwa anda yang terluka. Apabila anda memasang kuk pada Dia, beban anda akan terasa lebih ringan. Jika anda akan membuat dan mentaati perjanjian untuk mengikuti Yesus Kristus, anda akan mendapati bahawa saat-saat menyakitkan dalam hidup anda adalah sementara. Kesengsaraan anda akan ‘tertelan dalam kebahagiaan Kristus’ [Alma 31:38]”

Sebagai salah seorang Rasul-Nya yang ditahbiskan, saya telah mengalami detik-detik rohani dan peribadi yang telah memberi saya kesaksian yang jelas dan pasti bahawa Dia hidup. Pada musim Easter ini, semoga kata-kata ini tinggal dalam minda dan hati kita dengan lembut: “Biar jangan ‘kulupakan, Engkau mati bagiku,” sambil kita bersukacita dalam menyanyi:

Dia bangkit! Dia bangkit! …

Maut lenyap, dan manusia

oleh Kristus merdeka.

Nota

  1. James E. Faust, “The Atonement: Our Greatest Hope,” Liahona, Jan. 2002, 22.

  2. Dallin H. Oaks, “Bantuan Ilahi untuk Kefanaan," Persidangan Umum, April 2025.

  3. Untuk 10 perenggan sebelumnya, lihat Neil L. Andersen, Jesus Is the Christ (2023), 28–35.

  4. Russell M. Nelson, “Tuhan Yesus Kristus Akan Datang Lagi,” Persidangan Umum, Okt. 2024.

  5. Dalam Kerendahan Hati,” Nyanyian Rohani, no. 72.

  6. Dia Bangkit!,” Nyanyian Rohani, no. 85.