Liahona
Perjanjian Saya Membantu Menyokong Saya dalam Masa Yang Sukar
Februari 2026 Liahona


Pesanan Pemimpin Kawasan Asia

Perjanjian Saya Membantu Menyokong Saya dalam Masa Yang Sukar

Selepas pembaptisan, kita menerima penetapan dan kurnia Roh Kudus. Roh Kudus membawa penghiburan dan membantu kita melalui cabaran-cabaran kehidupan. Untuk membuka komunikasi kita dengan Roh Kudus, kita mesti memastikan diri kita bersih dengan mematuhi perintah-perintah Tuhan, mencari masa yang tenang untuk mengkaji dan merenungkan tulisan suci, dan mendengar suara yang tenang dan lembut.

Dalam beberapa bulan pertama selepas anak pertama saya dilahirkan, saya keletihan membantu isteri saya menjaga bayi kami pada waktu malam. Saya mula tidak mengkaji tulisan suci pada beberapa hari. Saya merasakan hidup saya tidak teratur dan saya tahu saya perlu membuat perubahan. Saya memutuskan untuk bangun sejam lebih awal setiap pagi untuk mengkaji Kitab Mormon bersama buku panduan institut. Saya menemui kekuatan rohani yang lebih besar untuk menanggung beban saya. Saya rasa lebih kebahagiaan dan kedamaian melalui penemanan Roh Kudus.

Tahun lepas, isteri saya menerima berita yang buruk. Ibu dan bapanya didiagnosis dengan kanser. Beberapa bulan kemudian, ayah saya sendiri menjalani pembedahan, dan isteri saya didiagnosis dengan dua sista payudara yang boleh menjadi kanser. Syukurnya, keputusan selepas pembedahan menunjukkan tiada kanser. Kemudian, anak perempuan kami mempunyai apendisitis. Semua ini berlaku dalam tempoh enam bulan, dan tiada seorang pun daripada mereka pernah menjalani pembedahan sebelum ini. Pada masa yang sama, saya menerima panggilan gereja yang baharu yang memerlukan banyak perjalanan dan masa, dan pekerjaan baharu saya membuatkan saya bekerja lewat hampir setiap malam.

Untuk menghadapi cabaran-cabaran ini, saya tahu hanya Juruselamat dapat membantu saya mengatasinya. Saya cuba mendekati-Nya dengan meluangkan lebih banyak masa mengkaji tulisan suci, mendengar ucapan-ucapan Persidangan Umum semasa perjalanan saya, dan menyembah di bait suci. Saya memilih untuk tidak bimbang, tetapi untuk berfikiran selestial dan bergantung pada kuasa perjanjian yang saya telah buat di bait suci. Ini memberi saya kedamaian. Juruselamat menjanjikan, “Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. Kesejahteraan yang Aku berikan kepada kamu bukan seperti yang diberikan oleh dunia. Janganlah kamu risau dan janganlah takut” (Yohanes 14:27).

Pengalaman-pengalaman ini telah mendekatkan saya kepada Juruselamat. Perjanjian yang saya telah buat melalui tatacara kudus telah menguatkan ikatan saya dengan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Saya benar-benar percaya “…di dalam tatacara-tatacara darinya, kuasa ketuhanan dinyatakan” (A&P 84:20). Apabila kita membuat perjanjian di bait suci, kita boleh menarik kuasa dari syurga untuk diri kita dan keluarga kita. Kita boleh bergantung pada ajaran Helaman, “…di atas batu Penebus kita, iaitu Kristus, Putera Tuhan, bahawa kamu mesti membina landasanmu; agar ketika iblis akan menghantarkan anginnya yang kuat, ya, panahan petirnya dalam puting beliung, ya, ketika semua hujan batunya dan badainya yang kuat akan melanda ke atas dirimu, ia tidak akan berkuasa ke atas dirimu untuk menyeretmu turun ke dalam jurang kegetiran dan kecelakaan tanpa akhir, kerana di atas batu yang kamu dibangunkan, yang merupakan suatu landasan yang kukuh, landasan yang mana jika manusia dibangunkan di atasnya mereka tidak dapat jatuh” (Helaman 5:12).

Apabila kita membina landasan yang teguh pada Juruselamat dengan membuat dan mentaati perjanjian, kita boleh mempunyai kedamaian minda apabila percubaan datang dan bersedia untuk cabaran masa depan. Semasa kita membuat perjanjian tambahan selepas pembaptisan—termasuk pentahbisan imamat, anugerahan, dan pemeteraian—kita diberkati dengan hubungan yang lebih dekat dengan Tuhan. Kita berhak menerima berkat-berkat yang setiap tatacara bawa ke dalam kehidupan kita. Iman kita akan menjadi lebih kuat sehingga kita memperoleh keyakinan penuh di hadirat Tuhan. Apabila kita melihat kepada-Nya dalam setiap pemikiran, kita “janganlah ragu, janganlah takut” (Ajaran dan Perjanjian 6:36).

Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus ialah Juruselamat kita dan Dia hidup. Dia tahu keperluan kita dan telah berjanji bahawa mereka yang membuat dan mentaati perjanjian akan dilindungi dari ketidakpastian dan ketakutan duniawi. Kita sentiasa boleh mempunyai kedamaian-Nya bersama kita dan melalui semua cabaran dalam kehidupan dengan keyakinan. ■