Pesanan Pemimpin Kawasan Asia
Mencari Tujuan dan Makna dalam Kehidupan Kita
Dalam pra-kewujudan sebagai anak roh, kita membuat keputusan dalam majlis syurgawi untuk mengikuti rancangan Bapa Syurgawi. Kita diberi Juruselamat, Yesus Kristus, di mana korban tebusan-Nya akan menyediakan kebangkitan bagi semua. Kita selamanya terhutang kepada Yesus Kristus, Juruselamat dan Penebus kita. Ramai anak roh menyokong Setan dan rancangannya, dan mereka diusir dari hadirat Tuhan. Pada zaman kita, Setan terus memimpin pengikutnya ke dalam dosa.
Perintah pertama yang diberikan kepada Adam dan Hawa adalah untuk beranak cucu dan memenuhi bumi. (Kejadian 1:28, Abraham 4:28) Memperoleh tubuh adalah bahagian penting dalam rancangan Tuhan dan membolehkan kita maju dan mencari makna dalam hidup kita. Membesarkan keluarga kadangkala mencabar tetapi ia merupakan sumber pembelajaran dan kepuasan yang bersifat ilahi.
Bapa Syurgawi mahu semua anak-Nya mempunyai kebahagiaan dalam kehidupan mereka. Rancangan keselamatan menyediakan jalan yang sempurna untuk kegembiraan. Dalam Musa 5:11, Hawa dengan senang hati mengisytiharkan, “Seandainya bukan kerana pelanggaran kita, kita tidak akan pernah mempunyai keturunan, dan tidak akan pernah mengetahui kebaikan dan kejahatan, dan kebahagiaan penebusan kita, dan kehidupan abadi yang Tuhan berikan kepada semua yang patuh.” Dalam dunia hari ini, kegembiraan sering disalah faham. Injil Yesus Kristus membuka perspektif yang lebih jelas.
Walaupun teknologi semakin maju melebihi jangkaan, ramai orang masih berasa keliru dengan perubahan pesat ini. Sesetengah individu menggunakan teknologi secara berlebihan dan mengabaikan perkara yang lebih penting seperti keluarga dan kerohanian. Istilah kegembiraan sering digunakan, tetapi ia kelihatan hilang maknanya. Walaupun ramai orang percaya bahawa kekayaan menentukan kegembiraan, kita tahu bahawa kebahagiaan sejati datang daripada rasa kasih dan kehidupan yang soleh.
Semasa mengkaji beberapa data ekonomi, saya membaca bahawa orang sering mengalami peningkatan kegembiraan apabila mereka terlibat dalam aktiviti berkumpulan. Mereka berbual bersama, saling membantu dan menikmati persahabatan. Saya menyedari bahawa kepuasan dan ketenangan fikiran bergantung pada fokus yang soleh dan keinginan untuk menyertakan orang lain. Bagi saya, ia adalah “usaha keluarga” yang memerlukan penyertaan semua orang.
Membangunkan perspektif yang abadi akan mengubah hidup kita dan membawa kita lebih dekat kepada Tuhan. Kadang-kadang fokus utama individu adalah mengambil berat tentang membina kekayaan duniawi. Dalam kehidupan kita, kita harus mengutamakan membina kekayaan rohani untuk kehidupan ini dan kehidupan seterusnya. Menerima perspektif yang abadi akan mengubah hidup kita dan membawa kita lebih dekat kepada Tuhan. Juruselamat mengajar bahawa kita tidak harus meletakkan harta di bumi tetapi harus menyimpan harta di syurga. (Matius 6:19-21)
Dalam hidup saya, kegembiraan bukan hanya tentang kehidupan duniawi tetapi yang lebih penting adalah mempunyai pandangan abadi dan berhubung dengan sesuatu yang lebih besar. Saya percaya bahawa kegembiraan adalah untuk membimbing kita ke matlamat yang lebih tinggi untuk mengikuti nasihat Tuhan. Daripada kata-kata para nabi dan Tuhan kita, kita belajar untuk memahami rancangan kebahagiaan dan, sebagai hasilnya, mengalami kebahagiaan yang lebih besar. Apabila kehidupan kita berpusat pada Yesus Kristus dan ajaran-ajaran-Nya, kebahagiaan kita meningkat. Pertimbangkan kehidupan yang mungkin telah anda pengaruhi melalui tindakan dan cara hidup anda. Kita mesti mendorong dan menggalakkan orang lain untuk datang kepada Yesus Kristus untuk memahami tujuan Tuhan dan kasih-Nya kepada semua orang. Kita adalah saluran untuk rancangan kebahagiaan Tuhan boleh tersebar kepada keluarga, kawan dan jiran-jiran kita.
Apabila keluarga kami pergi bersama ke Bait Suci Bangkok Thailand tahun ini, saya memperoleh pemahaman yang lebih kuat tentang mencari tujuan dan kedamaian dalam hidup kami, ada berkaitan dengan hubungan kami dengan Juruselamat. Di bait suci, saya dapat merasakan kasih dan kebahagiaan tulen yang akan membimbing keluarga kami untuk mencari tujuan abadi kami. Berada di bait suci dengan keluarga saya adalah salah satu masa yang paling bermakna dan penuh kerohanian dalam hidup saya. Apabila kami melaksanakan tatacara bait suci, kami boleh merasakan kasih Tuhan. President Nelson menyatakan, “Tiada apa yang akan lebih membantu anda untuk berpegang kuat kepada batang besi daripada menyembah di bait suci dengan kerap mengikut keadaan anda.” (“Bersukacita dalam Kurnia Kunci-kunci Imamat,” Persidangan Umum, April 2024) Untuk mencapai rancangan kebahagiaan Tuhan dan mentaati perjanjian bait suci, kita mesti menggunakan masa dan kebolehan kita untuk membina kerajaan Tuhan yang akan membolehkan kita memasuki kerajaan abadi-Nya.
Saya mempunyai kesaksian bahawa Yesus Kristus ialah Penebus dan Juruselamat dunia ini dan ialah Putera Tunggal Tuhan. Kita diselamatkan melalui Dia. ■