“Kita Mengikut Yesus Kristus dengan Menyertai Dia dalam Pekerjaan-Nya,” Liahona, Jun 2025.
Pesanan Bulanan Liahona, Jun 2025
Kita Mengikut Yesus Kristus dengan Menyertai Dia dalam Pekerjaan-Nya
Kita mengambil bahagian dalam pekerjaan Juruselamat apabila kita berfokus pada tujuan-Nya, mematuhi perintah-Nya, dan mengasihi satu sama lain.
Butiran dari Christ and the Rich Young Ruler [Kristus dan Pemerintah Muda yang Kaya], oleh Heinrich Hofmann
Apabila kita dibaptiskan, kita memulakan proses mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus. Sebahagian daripada proses ini menandakan bahawa kita menyertai Juruselamat dalam pekerjaan-Nya. Presiden Dallin H. Oaks, Penasihat Pertama dalam Presidensi Utama, menulis, “Salah satu makna yang paling penting untuk mengambil ke atas diri kita nama Kristus [ialah] kesediaan dan komitmen untuk mengambil ke atas diri kita pekerjaan Juruselamat dan kerajaan-Nya.
Pekerjaan Juruselamat adalah untuk “mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia” (Musa 1:39). Kebaqaan adalah kurnia tanpa syarat yang telah dijamin oleh Yesus Kristus melalui Kebangkitan-Nya. Walau bagaimanapun, kehidupan kekal tidak sama dengan kebaqaan. Kehidupan kekal ialah kurnia terbesar yang Tuhan boleh berikan kepada manusia (lihat Ajaran dan Perjanjian 14:7). Ia adalah untuk hidup selama-lamanya sebagai keluarga di hadirat-Nya. Untuk memperoleh kehidupan kekal, kita mesti menjadi pengikut setia Yesus Kristus. Ini bermakna kita menerima injil yang dipulihkan dengan beriman kepada Juruselamat dan Korban Tebusan-Nya, bertaubat, dibaptiskan, menerima kurnia Roh Kudus, membuat dan mentaati perjanjian bait suci, dan bertahan sampai akhir. Bertahan sampai akhir termasuk menyertai Juruselamat dalam pekerjaan-Nya.
Terlibat dengan Bersemangat
Kita mengambil bahagian dalam pekerjaan Juruselamat semasa kita membantu anak-anak Tuhan juga menjadi pengikut Yesus Kristus yang setia. Ini termasuk berkongsi injil-Nya, mengumpulkan orang Israel yang berselerak, dengan memenuhi tanggungjawab dalam Gereja Juruselamat dan dengan berusaha untuk menjadi seperti Dia. “Kejayaan kita [dalam pekerjaan-Nya] tidak bergantung kepada bagaimana orang memilih untuk bertindak balas terhadap [kita], jemputan [kita] atau budi baik [kita]. Presiden Russell M. Nelson mengesahkan: “Apabila anda lakukan sebarang perkara yang membantu sesiapa pun—di kedua-dua belah tirai—maju membuat perjanjian dengan Tuhan dan menerima tatacara penting pembaptisan dan bait suci, anda membantu mengumpulkan Israel.”
Untuk menjadikan pekerjaan Juruselamat sebagai pekerjaan kita, kita berfokus pada tujuan-Nya, mematuhi perintah-Nya, dan mengasihi satu sama lain. Semasa kita melakukan pekerjaan-Nya dengan cara-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 51:2), beberapa perkara ditinggalkan untuk kita selesaikan sendiri. Juruselamat memberitahu Orang Suci yang berkumpul di Jackson County, Missouri:
“Kerana lihatlah, adalah tidak wajar bahawa Aku harus memerintah dalam semua hal; kerana dia yang dipaksa dalam semua hal, orang yang sama ialah hamba yang malas dan tidak bijak; kerana itu, dia tidak menerima ganjaran.
“Sesungguhnya Aku berfirman, manusia seharusnya bersemangat terlibat dalam perkara yang baik, dan melakukan banyak hal dari keinginan bebas mereka sendiri, dan mendatangkan banyak kebenaran;
“Kerana kuasa ada pada mereka, di mana mereka ialah wakil bagi diri mereka. Dan sejauh manusia melakukan kebaikan mereka walau bagaimanapun tidak akan kehilangan ganjaran mereka” (Ajaran dan Perjanjian 58:26–28).
Semasa kita mengikut Juruselamat, menyertai Dia dalam pekerjaan-Nya, dan membantu orang lain menjadi pengikut-Nya yang setia, kita mengajar apa yang Dia ajarkan. Kerana kita tidak diberi kuasa untuk mengajar perkara lain (lihat Ajaran dan Perjanjian 52:9, 36), kita berfokus tanpa menyimpang pada ajaran-Nya (lihat Ajaran dan Perjanjian 68:25). Tambahan lagi, kita memberi perhatian khusus kepada mereka yang miskin, memerlukan, dan lemah (lihat Ajaran dan Perjanjian 52:40). Penekanan ini dijelaskan apabila Juruselamat memetik daripada Yesaya di sebuah saumaah di Nazaret:
“Roh Tuhan ada pada-Ku. Dia telah melantik Aku supaya mengkhabarkan Berita Baik kepada orang miskin. Dia mengutus Aku supaya mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, kesembuhan bagi orang buta; dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas,
“Serta mengisytiharkan masanya Tuhan menyelamatkan umat-Nya.” (Lukas 4:18–19; lihat juga Yesaya 61:1–2).
Tahun yang diterima Tuhan merujuk kepada masa apabila semua berkat perjanjian Tuhan akan berlimpah ke atas umat-Nya. Kita mengikut Yesus Kristus dengan menjemput orang lain untuk menerima berkat dari membuat dan mematuhi perjanjian dengan Tuhan dan dengan menjaga mereka yang miskin atau memerlukan.
Menyertai Yesus Kristus dalam pekerjaan-Nya adalah sangat menggembirakan kerana perkerjaan, rancangan, dan tujuan-Nya “tidak dapat digagalkan, tidak juga ia dapat disia-siakan.” (Ajaran dan Perjanjian 3:1). Kepada mereka yang patah hati, Tuhan menasihati: “Kerana itu, janganlah jemu dalam melakukan yang baik, kerana kamu sedang meletakkan landasan bagi sebuah pekerjaan yang besar. Dan dari hal-hal yang kecil bermulalah hal yang besar” (Ajaran dan Perjanjian 64:33). Kita menyerahkan urusan hasil tuaian kepada Tuhan, dan kita hanya berfokus melakukan bahagian kita.
Hati dan Suatu Fikiran yang Rela
Melakukan bahagian kita adalah lebih mudah daripada yang kita bayangkan kerana kita tidak perlu membawa bakat atau kebolehan yang luar biasa kepada pekerjaan Tuhan. Keperluan-Nya hanyalah komitmen dan kesediaan. Tuhan berfirman kepada Orang Suci di Kirtland, Ohio, “Lihatlah, Tuhan menuntut hati dan suatu fikiran yang rela” (Ajaran dan Perjanjian 64:34). Tuhan boleh jadikan yang rela berkemampuan, tetapi Dia tidak boleh atau tidak akan jadikan yang berkemampuan itu rela. Dalam erti kata lain, jika kita komited dan bersedia, Dia boleh menggunakan kita. Tetapi tidak kira betapa berbakatnya kita, Dia tidak akan menggunakan kita melainkan kita komited kepada pekerjaan-Nya dan bersedia membantu-Nya.
Samuel dan Anna-Maria Koivisto menunjukkan komitmen dan kesediaan. Tidak lama selepas perkahwinan mereka, Koivistos berpindah dari Jyväskylä, Finland, ke Göteborg, Sweden, untuk mengejar peluang kerjaya. Setelah tiba, Saudara Koivisto telah dijemput untuk melawat Presiden Leif G. Mattsson, seorang kaunselor dalam presidensi Pancang Göteborg Sweden. Oleh kerana Samuel tidak bertutur dalam bahasa Sweden, temu bual itu dijalankan dalam bahasa Inggeris.
Selepas satu lawatan singkat, Presiden Mattsson meminta Samuel untuk melayani sebagai pemimpin misi bahagian di Bahagian Utby. Samuel menunjukkan perkara yang jelas: “Tetapi saya tidak berbahasa Sweden.”
Presiden Mattsson membungkuk di atas mejanya dan dengan tegas bertanya, “Adakah saya bertanya sama ada kamu boleh berbahasa Sweden, atau adakah kamu bersedia untuk melayani Tuhan?”
Samuel menjawab, “Kamu bertanya sama ada saya bersedia untuk melayani Tuhan. Ya, saya bersedia.”
Samuel menerima panggilan itu. Anna-Maria juga menerima panggilan. Mereka berdua melayani dengan setia sambil belajar bertutur dalam bahasa Sweden.
Komitmen dan kesediaan untuk melayani Tuhan telah mencirikan kehidupan Samuel dan Anna-Maria. Mereka adalah wira biasa di dalam Gereja. Mereka melayani dengan setia setiap kali mereka diperlukan. Mereka telah mengajar saya bahawa apabila kita melayani, kita menggunakan bakat yang kita ada (lihat Ajaran dan Perjanjian 60:13), dan Tuhan kemudiannya membantu kita mencapai tujuan-Nya.
Apabila kita sanggup melayani, kita berusaha untuk tidak merungut, kerana kita tidak mahu mencemarkan pelayanan kita dalam apa jua cara. Merungut mungkin merupakan tanda komitmen yang goyah, atau bahawa kasih kita kepada Juruselamat tidak seperti yang sepatutnya. Jika dibiarkan, rungutan boleh berkembang menjadi pemberontakan langsung terhadap Tuhan. Perkembangan ini dilihat dalam kehidupan Ezra Booth, seorang penganut awal Gereja di Ohio yang dipanggil sebagai misionari ke Missouri.
Semasa dia meninggalkan Ohio pada bulan Jun 1831, Ezra kecewa kerana beberapa misionari dapat melakukan perjalanan dengan gerabak sementara dia terpaksa berjalan dalam musim panas, berkhutbah di sepanjang jalan. Dia merungut. Apabila dia tiba di Missouri, dia berasa patah semangat. Missouri tidak seperti yang dia jangkakan. Sebaliknya, dia melihat sekeliling dan menyatakan bahawa “prospek itu kelihatan agak suram.”
Ezra menjadi semakin sinis, sarkastik, dan kritikal. Selepas meninggalkan Missouri, dia tidak berkhutbah dalam perjalanannya, seperti yang diarahkan, sebaliknya dia kembali ke Ohio secepat mungkin. Rungutan awalnya berkembang menjadikan keyakinannya goyah dan akhirnya dia hilang pengalaman rohaninya yang terdahulu. Tidak lama kemudian, Ezra meninggalkan Gereja dan “akhirnya ‘meninggalkan agama Kristian dan menjadi seorang agnostik.’”
Perkara yang sama boleh berlaku kepada kita jika kita tidak berhati-hati. Jika kita tidak mengekalkan perspektif abadi, mengingatkan diri kita tentang pekerjaan siapakah ini, kita mungkin merungut, goyah, dan akhirnya kehilangan iman yang kita ada.
Saya berdoa agar kita boleh memilih untuk mengikut Yesus Kristus dengan menyertai Dia dalam pekerjaan-Nya. Semasa kita melakukannya, kita diberi “berkat-berkat yang sangat baik dan berharga yang dijanjikan-Nya” (2 Petrus 1:4). Berkat-berkat ini termasuk pengampunan dosa (lihat Ajaran dan Perjanjian 60:7; 61:2, 34; 62:3; 64:3), keselamatan (lihat Ajaran dan Perjanjian 6:13; 56:2), dan permuliaan (lihat Ajaran dan Perjanjian 58:3–11; 59:23). Sesungguhnya, kita dijanjikan kurnia Tuhan terbesar yang boleh diberikan—kehidupan kekal.
© 2025 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly Liahona Message, June 2025Malay. 19610 348.