Angin Tidak Pernah Berhenti Bertiup
Kita boleh membantu orang lain maju dalam perjalanan mereka untuk menerima berkat Tuhan.
Pada tahun 2015, di negeri Pernambuco, Brazil, 62 ahli Persatuan Undang-undang J. Reuben Clark bekerjasama dengan Pejabat Pendakwa Raya negeri dalam menyiasat cabaran undang-undang penduduk di empat rumah jagaan yang berbeza. Selama lima jam pada hari Sabtu, peguam ini menemu bual lebih daripada 200 penghuni satu demi satu, yang masing-masing telah dilupakan oleh masyarakat.
Semasa temu bual, mereka menemui beberapa jenayah yang telah dilakukan terhadap warga tua seperti pengabaian, penganiayaan, dan penyelewengan dana. Tonggak utama pertubuhan undang-undang ini adalah untuk menjaga golongan miskin dan memerlukan. Hanya dua bulan kemudian, pendakwa raya berjaya memfailkan pertuduhan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Bantuan mereka adalah contoh sempurna ajaran Raja Benyamin “bahawa apabila kamu berada dalam pelayanan sesamamu, kamu semata-mata dalam pelayanan Tuhanmu.”
Seorang penduduk yang saya temu bual secara peribadi semasa projek pro bono ialah seorang wanita berusia 93 tahun yang baik hati bernama Lúcia. Bersyukur atas pelayanan kami, dia bergurau mengatakan, “Kahwini saya!”
Dengan terkejut, saya menjawab: “Lihat wanita muda yang cantik itu! Dia adalah isteri saya dan pendakwa raya negeri.”
Dia segera membalas: “Jadi? Dia masih muda, cantik, dan boleh berkahwin lagi. Saya hanya ada kamu!”
Tidak semua masalah penghuni itu selesai pada hari itu. Mereka sudah pasti terus mengalami kesusahan dari masa ke masa seperti bangsa Yared di dalam kapal mereka dalam perjalanan yang mencabar ke negeri yang dijanjikan, “terkubur di kedalaman laut, kerana ombak gunung yang menimpa mereka.”
Tetapi pada Sabtu itu, penghuni rumah jagaan tahu meski mereka dilupai oleh masyarakat, Tuhan yang penuh kasih mengenali mereka secara peribadi, Dia menjawab doa yang paling mudah sekalipun.
Tuan segala tuan menyebabkan “angin kencang” meniup bangsa Yared ke arah berkat yang dijanjikan. Begitu juga, kita boleh membuat keputusan untuk melayani sebagai angin yang rendah hati di tangan Tuhan. Sama seperti “angin tersebut tidak pernah berhenti bertiup” untuk bangsa Yared ke arah negeri yang dijanjikan, kita boleh membantu orang lain meneruskan perjalanan mereka untuk menerima berkat Tuhan.
Beberapa tahun yang lalu, apabila Chris, isteri terkasih saya, dan saya ditemu duga untuk panggilan saya sebagai uskup, presiden pancang kami meminta saya untuk mempertimbangkan penuh doa nama-nama untuk dijadikan sebagai penasihat. Selepas mendengar nama-nama yang saya cadangkan, dia berkata saya harus tahu sedikit tentang salah seorang saudara itu.
Pertama, saudara ini tidak boleh membaca. Kedua, dia tiada kereta untuk melawat ahli gereja. Ketiga, dia —sentiasa— bercermin mata hitam di gereja. Walaupun presiden itu bimbang, saya amat yakin untuk mencadangkan dia menjadi penasihat saya dan presiden pancang menyokong saya.
Pada Ahad saya dan para penasihat saya disokong dalam pertemuan sakramen, para ahli nyata terkejut. Saudara dikasihi ini perlahan-lahan berjalan ke tempat duduk, di mana lampu atasnya memantul terang di cermin mata hitamnya.
Semasa dia duduk di sebelah saya, saya bertanya, “Saudara, adakah anda ada masalah penglihatan?”
“Tidak,” dia berkata.
“Lalu mengapa anda menggunakan cermin mata hitam di gereja?” Saya bertanya. “Kawan, ahli-ahli perlu melihat mata anda, dan anda harus melihat mereka dengan lebih baik juga.”
Pada saat itu, dia menanggalkan cermin mata hitamnya dan tidak pernah menggunakannya di gereja lagi.
Saudara ini melayani di sisi saya sehingga saya dilepaskan sebagai uskup. Hari ini, dia terus setia melayani di Gereja dan merupakan teladan kebaktian dan komitmen kepada Tuhan Yesus Kristus. Namun, lama dahulu, dia hanyalah seorang pemakai cermin mata hitam yang tidak dikenali yang duduk di kerusi gereja. Saya sering tertanya-tanya, “Berapa ramai saudara dan saudari beriman yang dilupai di kalangan kita hari ini?”
Sama ada kita dikenali atau dilupai, ujian pasti akan datang kepada setiap kita. Semasa kita berpaling kepada Juruselamat, Dia boleh “membaktikan kesengsaraan [kita] demi keuntungan [kita]” dan membantu kita bertindak balas terhadap ujian kita dengan cara yang meningkatkan kerohanian kita. Sama ada bagi penghuni rumah jagaan, ahli Gereja yang disalah nilai, atau sesiapa sahaja, kita boleh menjadi “angin [yang] tidak pernah berhenti bertiup,” membawa harapan dan membimbing orang lain ke jalan perjanjian.
Nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson, memberi jemputan yang menarik dan mengilhami kepada remaja: “Saya menegaskan lagi bahawa Tuhan telah meminta setiap lelaki muda yang layak dan sihat untuk bersedia dan melayani misi. Bagi lelaki muda Orang Suci Zaman Akhir, pelayanan misi adalah tanggungjawab imamat. … Bagi anda, wanita muda dan sihat, misi merupakan peluang hebat namun tidak wajib.”
Setiap hari, beribu-ribu remaja putera dan puteri menjawab panggilan nabi Tuhan dengan melayani sebagai misionari. Anda cemerlang, dan seperti Presiden Nelson katakan, anda lebih “berpengaruh di dunia berbanding dengan generasi lain!” Sudah tentu, itu tidak bermakna anda akan menjadi versi terbaik diri anda sebaik sahaja anda menjejakkan kaki di pusat latihan misionari.
Sebaliknya, anda mungkin berasa seperti Nefi, “dipandu oleh Roh, tidak tahu terlebih dahulu hal-hal yang [kamu] patut laksanakan. Namun begitu, [kamu] pergi.”
Mungkin anda berasa tidak yakin seperti Yeremia dan ingin berkata, “Aku tidak pandai bercakap, kerana aku masih terlalu muda.”
Anda mungkin melihat kelemahan peribadi anda dan ingin merayu seperti Musa: “Ya Tuhan, jangan suruh aku. Aku bukan orang yang pandai berkata-kata … : Aku lambat bercakap, dan tidak fasih.”
Jika ada di antara anda lelaki dan wanita muda yang dikasihi dan berani, yang mempunyai pemikiran seperti ini sekarang, ingatlah bahawa Tuhan telah menjawab, “Jangan berkata bahawa engkau masih terlalu muda. Pergilah kepada orang yang Kusuruh engkau pergi.” Dan Dia berjanji, Pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan.”
Transformasi anda daripada sifat alamiah kepada rohani akan berlaku “baris demi baris, ajaran demi ajaran” apabila anda tekun berusaha melayani Yesus Kristus di ladang misi melalui pertaubatan harian, iman, kepatuhan yang tepat, dan kerja keras untuk “berterusan mencari, mengajarkan pertaubatan, dan membaptiskan orang.”
Walaupun anda memakai tag nama, kadang-kadang anda mungkin rasa tidak dikenali atau dilupai. Namun, anda harus tahu anda ada Bapa Syurgawi yang sempurna, yang mengenali anda secara peribadi, dan Juruselamat yang mengasihi anda. Anda akan ada pemimpin misi yang, walaupun mereka tidak sempurna, akan bertindak sebagai “angin [yang] tidak pernah berhenti bertiup” dalam membimbing anda sepanjang perjalanan penukaran hati anda.
Di “tanah yang kaya dan subur” anda akan melayani dalam misi anda, anda akan dilahirkan semula secara rohani dan menjadi pengikut seumur hidup Yesus Kristus apabila anda mendekati-Nya. Anda akan tahu bahawa anda tidak pernah dilupakan.
Walaupun sesetengah orang mungkin menunggu “lama sekali” untuk kelegaan, kerana mereka “tiada sesiapa pun” yang boleh membantu, Tuhan Yesus Kristus telah mengajar kita bahawa Dia tidak melupakan sesiapa pun. Sebaliknya, Dia adalah teladan yang sempurna untuk mencari seseorang dalam setiap saat pelayanan fana-Nya.
Setiap kita—dan orang di sekeliling kita—menghadapi tentangan ribut kita sendiri dan gelombang ujian yang menenggelamkan kita setiap hari. Tetapi “angin tersebut [tidak akan] berhenti bertiup ke arah negeri yang dijanjikan … ; dan demikianlah [kita akan] didorong keluar sebelum angin bertiup.”
Setiap kita boleh menjadi angin ini—angin yang sama yang memberkati bangsa Yared dalam perjalanan mereka dan angin yang sama yang, dengan bantuan kita, akan memberkati orang yang tidak dikenali dan dilupai untuk sampai ke negeri mereka yang dijanjikan.
Saya bersaksi Yesus Kristus ialah Pembela kita dengan Bapa. Dialah Tuhan yang hidup dan bertindak sebagai angin kencang yang akan sentiasa membimbing kita di sepanjang jalan perjanjian. Dalam nama Yesus Kristus, amin.