Pesanan Bulanan Untuk Kekuatan Remaja, April 2025
Bantuan daripada Yesus Kristus: Mengapa dan Bagaimana
Memahami mengapa Yesus Kristus adalah jawapannya dan bagaimana Dia membantu anda.
Ilustrasi oleh Dan Wilson
“Saya rasa saya asyik membuat kesalahan. Susah untuk terus mencuba.”
”Keadaan saya sukar. Saya tidak pasti bagaimana untuk maju ke depan.”
”Saya bimbang tentang masa depan. Saya tidak tahu jika saya ada keupayaan untuk berjaya.”
”Saya letih, tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan.”
Bolehkah anda kaitkan dengan mana-mana masalah ini? Presiden Russell M. Nelson telah mengajar, “Semua soalan dan masalah yang anda ada, jawapannya sentiasa ada pada kehidupan dan ajaran Yesus Kristus” (“Yesus Kristus adalah Jawapannya,” persidangan umum April 2023 [Liahona, Mei 2023, 127]).
Sangat mudah untuk mengatakan, “Yesus Kristus adalah jawapannya.” Sedikit usaha diperlukan untuk memahami mengapa dan bagaimana Dia adalah jawapannya.
Mengapakah Kristus adalah Jawapannya?
Apabila Dia menanggung korban tebusan-Nya, Juruselamat melakukan tiga perkara penting:
-
Dia mengatasi kematian, membolehkan kita untuk dibangkitkan.
-
Dia membayar harga untuk semua dosa, memungkinkan kita untuk bertaubat, bertumbuh, dan kembali kepada Tuhan. Itu juga membantu kita mengampuni orang lain apabila mereka berdosa, kerana Kristus menanggung dosa mereka ke atas diri-Nya.
-
Dia mengalami semua kesakitan, kesengsaraan, cubaan, penyakit, dan kelemahan (lihat Alma 7:11–13). Ini bermakna Dia tahu dengan tepat bagaimana untuk membantu dan menyembuhkan anda dan boleh menguatkan anda untuk menanggung ujian dan berusaha untuk menjadi lebih baik.
Pilih sebarang masalah, dan anda boleh hubungkan penyelesaiannya kepada satu atau lebih daripada tiga kebenaran tersebut.
Kemiskinan? Kerana Yesus Kristus mengalami segalanya, Dia tahu dengan tepat bagaimana rasanya. Dia tidak selalu menyingkirkan halangan, tetapi Dia boleh menguatkan orang yang menanggung beban itu (lihat Mosia 24:15).
Kegagalan? Kerana Kristus mengatasi dosa, kegagalan kita tidak kekal. Pertaubatan termasuk memperbaiki dan menjadi lebih seperti orang yang Dia tahu kita boleh menjadi.
Penyakit? Kerana Dia mengatasi kematian, kita akan dibangkitkan dengan tubuh yang sempurna yang kebal terhadap penyakit dan kesakitan. Kristus juga “mengambil ke atas dirinya … penyakit” (Alma 7:11), menjadikan Dia orang yang sempurna untuk menawarkan penghiburan dan sokongan.
Bagaimana Kristus Membantu?
Tetapi walaupun kita tahu mengapa Juruselamat adalah jawapannya (kerana siapa Dia dan apa yang telah Dia lakukan untuk kita), kita masih perlu tahu bagaimana kita mendapat bantuan dan kekuatan daripada-Nya. Ini adalah beberapa cara:
Doa. Dengan berdoa dalam nama Yesus Kristus, orang yang tidak sempurna seperti kita boleh bercakap dengan Tuhan yang sempurna. Kita boleh berdoa untuk kekuatan yang kita perlukan dalam apa jua keadaan, dan Tuhan akan menjawab—tidak selalu dalam cara yang kita mahu atau harapkan, tetapi dalam cara yang akan memberkati kita. Jemputan Juruselamat adalah nyata: “Mintalah, lalu kamu akan menerimanya” (Yohanes 16:24; 3 Nefi 27:29; Ajaran dan Perjanjian 4:7).
Kurnia Roh Kudus. Bapa Syurgawi, Yesus Kristus, dan Roh Kudus bersatu dalam tujuan. Mereka bekerjasama! Bila-bila masa anda merasa bimbingan atau penghiburan daripada Roh Kudus, anda juga boleh fahaminya sebagai Kristus membantu anda.
Mentaati Perjanjian. Elder Dale G. Renlund dari Kuorum Dua Belas Rasul telah mengajar: “Istilah jalan perjanjian merujuk kepada siri perjanjian di mana kita datang kepada Kristus dan berhubung dengan-Nya. Melalui ikatan perjanjian ini, kita dapat akses kepada kuasa abadi-Nya” (persidangan umum Apr. 2023 [Liahona, Mei 2023, 36]).
Rahmat. Apabila kita menjalankan iman kepada Yesus Kristus dan bertaubat, kita boleh menerima bantuan dan kekuatan tambahan (juga dipanggil rahmat) untuk mencapai perkara yang kita tidak akan dapat lakukan sendiri (lihat Panduan Tulisan Suci, “Rahmat”). Kekuatan, atau rahmat ini, boleh datang dalam pelbagai cara: daripada Roh Kudus, seorang kawan, orang yang tidak dikenali, satu perasaan. Pada asasnya, apa-apa yang baik datang daripada Kristus (lihat Moroni 7:22). Apabila anda menemui sedikit lebih banyak kesabaran, sedikit lebih banyak tenaga, sedikit lebih banyak kekuatan untuk bertahan, kenali itu sebagai Kristus membantu anda.
Ingat Mengapa dan Bagaimana
Apabila anda memerlukan jawapan kepada soalan atau masalah, lihatlah kepada Kristus. Ingatlah bahawa kerana kemenangan-Nya ke atas dosa, kematian, dan semua cabaran fana yang lain, tiada apa yang mustahil. Carilah bagaimana Dia boleh memberkati anda, dan anda akan melihat pengaruh-Nya dalam hidup anda. Dia sangat mengasihi anda!
© 2025 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly For the Strength of Youth Message, April 2025. Malay. 19625 348