Ucapan dan Perbincangan: Elder dan Sister Kearon dan Para Belia
Pertemuan Rohani Belia Sedunia
Ahad, 1 Februari 2026
Elder Patrick Kearon: Sungguh indah untuk berada di sini bersama anda semua untuk meraikan ke-100 tahun institut dan untuk mengenang semua kehidupan yang telah berubah melalui seminari dan institut. Indah sekali melihat anda semua datang malam ini. Saya ingin katakan yang suasana sini terasa selesa, dalam skala yang begitu besar dan mengagumkan. Saya harap anda perasan yang kita ada lampu bistro untuk tambahkan lagi suasana yang selesa di sini.
Sungguh indah dapat bersama anda semua, dan kami nantikan masa ini bersama anda and terima kasih kerana datang. Kami tahu ada yang tersekat dalam kesesakan lalu lintas, dan tetap hadir juga.
Sister Jennifer C. Kearon: Ya, kami bersyukur atas kemeriahan yang kita rasakan malam ini, dan kami suka lihat wajah anda yang hadir bersama kami. Namun kami juga bayangkan anda yang berkumpul di gereja, di rumah, atau di mana sahaja secara peribadi untuk menonton malam ini—semasa anda berusaha menjalin hubungan yang lebih rapat dengan Juruselamat anda. Kami mengasihi anda semua, dan kami sangat bersyukur dapat bersama anda.
Beberapa minggu lalu, kami berpeluang untuk bertemu dengan dua kumpulan rakan sebaya anda—malah, sebahagian daripada mereka ada di sini—kami duduk dan berbual dengan mereka. Kami berbual-bual selama satu jam dengan dua kumpulan ini. Mereka datang dengan beberapa soalan, dan kami berikan jawapan. Mereka mewakili lima buah negara: para belia dari Amerika Syarikat, Mexico, Norway, pulau Caribbean Curacao, dan Republik Kongo.
Elder Kearon: Sekarang, kita akan meneliti lima soalan yang telah ditanyakan melalui video. Selepas itu, kami akan berikan satu atau dua ulasan bagi setiap soalan. Marilah kita tonton video pertama.
Kenal Pasti dan Atasi Halangan
Belia: Apakah antara halangan paling ketara yang pernah anda lihat sebagai YSA dalam jalan hidup yang menghalang kita daripada merasai kasih Tuhan atau menjadi seperti apa yang Tuhan mahu kita menjadi?
Elder Kearon: Apabila saya fikirkan jenis halangan para belia hadapi, saya terfikir bahawa kehidupan ini seolah-olah disusun sebagai satu ujian seperti yang anda alami dalam pelajaran—iaitu ujian yang seakan-akan berada pada lengkung kesukaran yang mustahil. Saya tidak tahu. Tetapi saya rasa pemikiran seperti itulah yang boleh menjadi penghalang kepada pendekatan kita terhadap kehidupan dalam dunia fana dan kehidupan kekal.
Saya ingin kongsi satu petikan kegemaran daripada President Henry B. Eyring: “Tuhan tidak memberikan ujian ini kepada kita… untuk memberi kita gred; Dia melakukannya kerana proses itu akan mengubah kita.”
Kita bukan diuji sebagai pelajar—sebaliknya, kita diberi peluang untuk berkembang dan belajar. Bukan kerana ada seseorang yang sedang mencatat skor abadi yang besar, tetapi kerana kita perlu bertumbuh, berkembang, memahami, dan mengenali siapa diri kita sebenarnya. Jadi, ia sebenarnya bukan tentang halangan. Ia sebenarnya tentang jalan yang sedang disediakan untuk kita, kadang-kadang dipenuhi pengalaman yang indah, dan kadang-kadang pengalaman yang sangat sukar serta mencabar.
Sister Kearon: Bagaimana pula dengan halangan berupa keraguan diri dan ketakutan? Bagaimana pula dengan suara dalaman di dalam fikiran kita itu? Itu boleh menjadi satu halangan yang besar. Suara yang melemahkan semangat. Suara yang beritahu anda seorang yang gagal. Suara yang mengatakan anda tidak cukup baik. Dan ada banyak sebab untuk itu: Mungkin kerana anda tidak mendapat pekerjaan itu. Kerana anda tidak lulus peperiksaan itu. Kerana anda ingin berkahwin tetapi masih belum berkahwin. Kerana anda sudah bercerai. Mungkin kerana anda sedang bergelut dengan pergelutan, dosa, atau masalah yang sama yang telah anda hadapi sejak sekian lama. Lalu suara itu berkata, “Saya tidak cukup baik. Saya tidak akan pernah cukup baik. Saya tidak akan pernah mencapai standard itu, dan mustahil saya dapat menjadi seperti yang Tuhan mahu.” Saya rasa itu memang satu halangan. Dan kadang-kadang saya sendiri turut mendengar suara itu.
Bagaimanakah bunyi suara Juruselamat dalam fikiran anda? Ia sangat berbeza daripada apa yang saya gambarkan tadi, berbeza daripada suara sinis, kritikan, rasa malu, dan putus harapan. Dengarkan apa yang Juruselamat katakan kepada kita dalam Yohanes bab 10. Saya suka ini.
“Yesus berkata, “Apa yang Aku katakan ini benar: Seorang yang masuk ke kandang domba dengan memanjat tembok dan tidak melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak.
“Seorang yang masuk melalui pintu, dialah gembala kawanan domba.
“… kawanan domba mendengar suara gembala yang memanggil nama setiap ekor domba. Lalu gembala itu memimpin kawanan domba ke luar.
“… dia berjalan di hadapan dan domba-domba itu mengikuti dia kerana mengenal suaranya.
“Kawanan domba itu tidak akan mengikuti orang lain, bahkan akan lari daripadanya kerana tidak mengenal suara orang itu.”
Kadang-kadang ada suara orang asing dalam fikiran kita, suara pencuri dan perompak, dan saya pun begitu. Saya juga mengalaminya. Suara seseorang yang tidak kenali anda, yang tidak kasihi anda, dan malah berniat untuk hancurkan anda. Kita tidak boleh dengar suara itu, suara orang asing, pencuri, dan perompak, sebaliknya, kita harus dengar suara Gembala Baik kita, yang sentiasa galakkan, kasihi, dan beri harapan. Ya, Dia memanggil kita untuk menjadi lebih baik. Ya, Dia memanggil kita untuk bertaubat jika perlu. Namun suara-Nya sentiasa suara seorang Juruselamat—yang mengasihi kita, yang telah membayar harga yang tertinggi untuk kita, malah terikat melalui perjanjian dengan setiap seorang daripada kita. Maka jamulah diri dengan firman Kristus, bukan dengan suara orang asing.
Okey, marilah tonton video seterusnya.
Bantu Mereka yang Menjauh
Belia: Terdapat tahap berbeza dalam kehidupan apabila saya menuruti perintah Tuhan mengikut cara yang saya rasa Tuhan harapkan daripada saya, tetapi bagaimana kita dapat membantu seorang rakan yang kita lihat perlahan-lahan menjauh daripada aktiviti Gereja atau daripada merasai Roh setiap hari? Bagaimana anda dapat membantu mereka tanpa membuat mereka terasa seolah-olah mereka salah?
Sister Kearon: Ia sukar kerana anda tidak mahu kelihatan seperti sedang menghakimi. Anda tidak mahu kelihatan seperti berkata, “Cara saya menjalani injil adalah jauh lebih baik atau adalah cara yang betul.” Pada akhirnya, semuanya bergantung kepada kasih dan masa. Rakan anda perlu merasai kasih anda dan perlu tahu bahawa anda sedia memberi masa yang mereka perlukan.
Dan mungkin rakan anda sedang berada pada satu tahap di mana mereka perlu berbincang tentang perkara yang bermain dalam fikiran dan hati mereka. Dan anda boleh sampaikan kepada mereka—dengan jelas—bahawa anda adalah tempat yang selamat bagi mereka, bahawa anda ialah seseorang yang akan mengasihi, menghormati, mengambil berat, dan membantu mereka tidak kira apa yang sedang mereka lalui. Anda mungkin tidak bersetuju dengan mereka, tidak memilih apa yang mereka pilih, namun bagi rakan yang sedang bergelut, amat besar ertinya apabila mereka ada tempat yang selamat dan seseorang yang mereka yakin mengambil berat tentang mereka.
Ada kalanya, ia membantu, untuk berbicara tentang masa mereka merasai Roh dengan lebih kuat daripada sekarang, atau tentang masa mereka menjalani injil dengan lebih setia daripada masa ini. Dan berbincanglah dengan mereka tentang bagaimana kehidupan mereka pada waktu itu dan perbezaan yang mereka perhatikan.
Perbualan yang jujur, dari hati ke hati, dari roh ke roh, tanpa menyampaikan mesej seperti, “Oh, kamu tidak mengatakan apa yang saya jangka atau kamu tidak memberi jawapan yang saya mahu dengar, jadi saya menutup perbualan ini.” Saya rasa itu sangat penting.
Dan ini adalah satu prinsip yang terpakai dalam semua hubungan kita. Ia adalah prinsip yang terpakai dalam keibubapaan. Ia adalah prinsip yang terpakai apabila kita bercakap dengan orang dikasihi dalam apa jua keadaan.
Elder Kearon: Ya. Dan saya rasa bergantung kepada di mana mereka berada—Carl bercakap tentang rakan yang mungkin semakin menjauh—bergantung kepada keadaan mereka, kita berusaha membantu mereka untuk terus terlibat dalam—aktiviti di Gereja. Kita bercakap tentang menjadi aktif dalam Gereja. Ia adalah frasa yang sangat menarik untuk didengar oleh seorang penganut baru. Tetapi saya rasa kita mahu melakukan segala yang kita mampu untuk memastikan mereka terus terlibat, terus aktif, membantu mereka untuk membantu orang lain. Jika mereka mempunyai panggilan, untuk menjalankan panggilan itu dan melibatkan diri dengannya. Untuk mengajar, melayani, dan mengambil berat tentang orang lain yang mungkin sedang bergelut. Saya rasa sangat sesuai bahawa Kitab Mormon bermula dengan Lehi dan keluarganya—dengan Nefi yang pergi dan melakukan—dan kita adalah satu bangsa yang pergi dan melakukan. Dan saya rasa ada kuasa yang besar dalam hal itu. Ia menguatkan iman kita. Dan jika iman kita sedikit tersasar, ia boleh menarik kita kembali. Saya suka apa yang Presiden Monson katakan tentang Juruselamat. Dia berkata bahawa Juruselamat sentiasa pergi dan bertindak. Saya rasa kita boleh mengikuti teladan itu dengan baik.
Mari kita tonton video seterusnya.
Rasa Kedamaian Walaupun Mengalami Kegelisahan
Belia: Saya—sebagai seorang yang mudah cemas, kadang-kadang sukar bagi saya untuk berasa gembira apabila saya sentiasa bimbang. Dan saya tertanya-tanya sama ada anda semua ada pandangan tentang cara merasai lebih kedamaian dalam Juruselamat supaya kegembiraan dapat mengalir dengan lebih penuh?
Elder Kearon: Itu soalan yang sangat baik kerana kita semua mengalami ketakutan dan kegelisahan pada suatu ketika. Sesetengah daripada kita lebih dibebani oleh hal ini berbanding yang lain. Sesetengah daripada kita memerlukan bantuan untuk menangani ketakutan dan kegelisahan. Bagi sesetengah orang, ia sampai ke peringkat perubatan, dan syukurlah, kita semakin mahir membantu satu sama lain atau mendapatkan rawatan untuk ketakutan dan kegelisahan.
Jika anda melihat kitab suci, setakat yang saya tahu, individu dalam kitab suci yang paling banyak bercakap tentang keresahan dan “kegelisahan yang hebat” adalah Yakub. Dan ia menarik, kerana kegelisahan dia sangat berbeza daripada kegelisahan saya sendiri, dalam banyak aspek. Kegelisahan dia tertumpu ke luar. Kegelisahan dia adalah untuk bangsanya dan kesejahteraan mereka. Kegelisahan saya selalunya tentang diri sendiri, tentang bagaimana saya melakukannya, adakah saya buat silap dan perkara seumpamanya. Sesuatu yang telah saya pelajari berulang kali—dan perlu terus belajar—adalah bila saya memikirkan orang lain, kegelisahan saya berkurang. Saya hanya perlu memikirkan kesejahteraan orang lain, dan kegelisahan saya mula berkurang. Malah, ia hilang. Selalunya, ia benar-benar hilang. Dan jika saya melakukan sesuatu yang baik untuk orang lain, ada kuasa yang sangat besar dalam hal itu. Jadi saya ingin menjadi lebih seperti Yakub dan mempunyai kegelisahan yang lebih tertumpu ke luar. Dan saya rasa ada penyembuhan yang besar—saya tahu ada penyembuhan yang besar.
Sister Kearon: Saya rasa kita—dalam zaman moden ini, kita sudah biasa dengan rasa tidak selesa atau kesakitan dan kita segera mahu ia hilang. Kita sangat terbiasa dengan kepuasan segera. Bayangkan berdiri di bawah pancuran dan airnya agak sejuk, jadi saya hanya putar tombol sedikit ke kiri, dan air menjadi lebih hangat. Atau apa-apa sahaja. Dan kita sangat biasa dengan keselesaan. Kita mahu selesa. Manusia mahu selesa—kita tidak mahu berasa tidak selesa.
Apabila kita berasa bimbang tentang masa depan kerana ia tidak pasti dan tidak diketahui, itu sangat semula jadi. Dan saya rasa kita perlu terima bahawa sebahagian daripada hidup sebagai manusia, adalah menghadapi ketidakselesaan dan belajar tenang menghadapi ketidakpastian. Anda mungkin menjangkakan beberapa hari atau beberapa minggu atau bahkan beberapa bulan di mana anda sedikit tidak tenteram atau sedikit murung. Kita perlukan kebahagiaan dan kesedihan. Kita perlukan kegembiraan dan kedukaan. Dan pengalaman itu, emosi itu, yang menjadikan kehidupan begitu mengujakan dan begitu indah.
Elder Kearon: Saya ingin tambah satu contoh khusus daripada Yakub. Saya bercakap tentang Yakub tadi, dan Yakub 4 dalam ayat 2 hingga 4, kita boleh baca:
“Tetapi kita dapat menuliskan beberapa patah kata di atas kepingan-kepingan, yang akan memberikan anak-anak kita, dan juga saudara-saudara kita yang dikasihi, sedikit pengetahuan berkenaan kita, atau berkenaan nenek moyang mereka—
“Sekarang, dalam hal ini kita bersukacita; dan kita bekerja dengan tekun untuk mengukirkan kata-kata ini di atas kepingan-kepingan, berharap bahawa saudara-saudara kita yang dikasihi dan anak-anak kita akan menerimanya dengan hati penuh kesyukuran, dan membacanya dengan teliti agar mereka boleh belajar dengan sukacita dan bukan dengan dukacita. …
“Kerana, untuk maksud inilah telah kita tuliskan hal-hal ini, agar mereka boleh tahu bahawa kita tahu tentang Kristus, dan kita memiliki suatu harapan akan kemuliaan-Nya beratus-ratus tahun sebelum kedatangan-Nya.”
Apa yang saya suka tentang ini, sekali lagi, Yakub sentiasa memikirkan orang lain. Dia sentiasa memikirkan orang di sekelilingnya, dan di sini dia memikirkan generasi yang akan datang. Dia membawa pemikiran hingga ke tahap itu. Apa yang dia dapat daripada itu? Ia membuat dia keluar daripada dirinya sendiri, memberi dia kegembiraan besar, dan membawa kegembiraan itu kepada generasi—hingga ke hari ini—yang membaca tentang dirinya.
Sister Kearon: Saya rasa punca utama kegelisahan bagi ramai daripada kita adalah apabila kita melihat kekacauan di dunia dan berita di seluruh dunia, dan itu menimbulkan kegelisahan. Dan memilukan, sesetengah daripada kita sedang hidup dan melalui tempoh kegelisahan dan ketidakadilan dan ketidaksamarataan. Dan mengapa itu menyebabkan kegelisahan kepada kita? Kerana roh kita tidak diciptakan untuk pertikaian. Yesus mengajar dengan sangat jelas bahawa “semangat pertikaian bukanlah daripada [Dia].” Roh kita diciptakan untuk kelembutan, kerendahan hati, kasih, pengampunan, dan kedamaian. Dan apabila kita melihat sesama manusia mengalami keresahan dan ketidakadilan dalam kehidupan, ia sangat berat bagi roh kita. Kita tidak mahu melihatnya.
Sekarang, apakah yang Juruselamat akan katakan? Kita tahu Dia berkata, “Di dunia kamu akan menderita.” Akan ada kekacauan dan ketidakadilan. Akan ada peperangan, dan akan ada bencana. Tetapi walaupun begitu, Yesus berkata, “Tabahkanlah hati kamu.” Mengapa? Kerana “Aku sudah mengalahkan dunia.” Kita perlu menjauh seketika daripada suapan berita media sosial kita untuk menghubungkan diri dengan Juruselamat dan menerima kedamaian-Nya yang hadir kerana Dia telah mengalahkan dunia dan telah pun membayar harga bagi segala ketidakadilan dan ketidaksamarataan di sekeliling kita. Letakkan beban penantian dan kebimbangan itu daripada dada anda dan serahkan kepada-Nya. Dia cukup kuat untuk menanggungnya.
Mari kita tonton video seterusnya.
Mencari Kegembiraan dalam Ketidakpastian
Belia: Bagaimana anda mencari kegembiraan sebagai seorang belia apabila masa depan masih belum pasti?
Sister Kearon: Jawapan kepada soalan itu berlandaskan—seperti banyak perkara lain—iman dan kepercayaan kepada Yesus Kristus dan hati-Nya yang penuh kasih dan berlimpah. Dia mempunyai masa depan yang sangat indah untuk anda—untuk setiap seorang daripada kita. Semakin kita mempercayai itu, semakin kita mampu bersandar kepada-Nya, hidup menurut kehendak-Nya, dan lebih menaruh harapan kepada perkara baik yang akan datang. Saya rasa itu sangat membantu kita mencari kegembiraan. Ia memberi kita rasa kedamaian di dalam hati—keyakinan di hadapan Tuhan. Kegembiraan hadir apabila iman dan kepercayaan kita kepada Kristus dan rancangan-Nya untuk kita bertambah. Itulah pengalaman saya. Dan apabila perkara sukar datang, seperti yang selalu berlaku, kita tidak perlu terkejut atau tersasar daripada haluan. Kita hanya perlu memalingkan hati kita sepenuhnya kepada-Nya dan bertanya, “Baiklah, dalam situasi ini, apa yang Engkau mahu saya pelajari? Apakah yang sepatutnya saya lakukan sekarang?” dengan keyakinan penuh bahawa Dia akan memimpin anda.
Elder Kearon: Saya juga menyukai itu. Kadang-kadang apabila kita bimbang tentang masa depan, ada baiknya kita melihat kembali ke belakang. Dan hidup anda mungkin merupakan gabungan masa-masa yang indah dan yang mencabar dalam kadar yang berbeza. Saya pernah dengar orang berkata, “Kita tidak tahu sejauh mana kita telah mendaki sehingga kita melihat ke bawah gunung.” Itu adalah gambaran yang sangat bermakna bagi saya. Dan sudah tentu, gunung yang perlu kita daki sentiasa kelihatan menakutkan, tetapi apabila kita melihat ke belakang dan berkata, “Wah, saya telah melangkah jauh,” itu boleh memberi kita keyakinan untuk masa depan.
Sister Kearon: Ia sangat membantu untuk ingat bahawa “Tuhan tidak memberikan kita roh ketakutan, tetapi roh kekuatan, kasih, dan fikiran yang waras.” Anda berada dalam satu fasa kehidupan di mana anda mempunyai begitu banyak keputusan untuk dibuat—begitu banyak persimpangan jalan—dan ia tidak pasti. Ia memang tidak pasti, tetapi adalah membantu untuk mengingati bahawa setiap seorang daripada anda telah ditahbiskan sebelumnya. Sebelum anda datang ke bumi ini, ketika anda hidup bersama keluarga syurgawi anda, anda telah ditahbiskan untuk tujuan dan misi tertentu, untuk berjaya, untuk kebesaran, untuk membantu Tuhan dalam pekerjaan-Nya yang agung. Tuhan berfirman kepada Musa, “Aku mempunyai sebuah pekerjaan bagimu, … anak-Ku.” Dan perkara yang sama juga berlaku untuk setiap seorang daripada kita. Dia ada suatu pekerjaan untuk anda dan untuk saya, dan kita telah ditahbiskan sebelumnya untuk kebesaran.
Elder Kearon: Itu suatu pemikiran yang hebat. Dan saya rasa salah satu jemputan kita malam ini adalah untuk kita merenungkannya dengan lebih mendalam. Mungkin bagi sesetengah orang yang dibesarkan dengan pengetahuan ini bahawa kita telah ditahbiskan untuk kebesaran sudah pun wujud dalam diri mereka. Tetapi adakah nilainya telah pudar kerana ia sentiasa menjadi sebahagian daripada latar kehidupan kita? Tetapi ia adalah sesuatu yang nyata.
Ringkasnya, ketika kami bertunang dahulu, seorang yang bijak dalam hidup kami—dalam konteks mencari kegembiraan di tengah masa depan yang tidak pasti—berkata, “Kegembiraan datang dalam sukatan kecil.” Malah, dia kata, “cuma sebesar sesudu teh.” Dan itulah gambaran indah yang kekal dalam ingatan kami. Maksudnya, kegembiraan boleh datang, seperti pagi yang indah. Seperti satu rasa kecil daripada sesuatu baik. Melalui satu saat bersama seorang sahabat. Atau apa sahaja bentuknya. Namun kegembiraan itu datang dalam sukatan kecil. Itu yang pertama.
Dan perkara kedua yang saya ingin renungkan adalah mencari kegembiraan memerlukan latihan. Semua perkara ini memerlukan latihan, memerlukan sedikit usaha dan kerja. Dan kami ingin menjemput anda—menjadikan satu jam setiap minggu sebagai fokus sebenar mencari kegembiraan: iaitu masa sakramen pada hari Ahad. Marilah kita jadikan masa itu sebagai saat paling menggembirakan dalam minggu yang kita boleh alami. Dan kemudian kita boleh berharap bahawa kegembiraan itu akan merebak ke luar dari situ. Namun bayangkan jika kita tidak menjadikan masa itu sebagai yang paling menggembirakan dalam minggu ini. Alangkah besarnya kerugian itu! Jadi, jemputan kepada anda untuk menjadikan masa sakramen anda sungguh kegembiraan. Dan benar, akan ada air mata apabila anda memikirkan kurnia korban tebusan Juruselamat yang agung, namun akan ada kegembiraan apabila anda memikirkan Dia bangkit dari kubur dan segala yang itu wakilinya serta segala beban yang telah Dia ambil daripada anda.
Baik, satu lagi video, saya rasa.
Memahami dan Menerapkan Korban Tebusan Yesus Kristus
Belia: Bagaimanakah kita boleh memahami Korban Tebusan dengan lebih baik? Bagaimanakah kita boleh menerapkan Korban Tebusan dalam kehidupan kita?
Elder Kearon: Saya menyertai Gereja ketika berusia 26 tahun. Saya kembali mengingati masa itu dan betapa sukarnya bagi saya memahami Korban Tebusan pada ketika itu. Saya berasa kagum dan hampir tidak dapat mempercayainya. Maka apabila saya memikirkannya sekarang, daripada sudut rancangan: Bapa Syurgawi, seorang Bapa yang penuh kasih, mengasihi kita sebagai anak-anak-Nya. Dan tujuan kita datang ke sini—untuk belajar, berkembang, berinteraksi, mengasihi, hidup dalam iman. Dan Korban Tebusan.
Dia tahu kita akan lakukan kesilapan, maka Dia mengutuskan Putera terkasih-Nya—dalam cara yang sukar kita gambarkan, “saat melihat, anda menangis; saat merenung, anda menangis”—untuk menanggung dosa-dosa kita ke atas diri-Nya. Bagaimana? Dia akan menjelaskannya suatu hari nanti, tetapi kita tahu bahawa Dia telah melakukannya. Maka apabila saya memikirkan Korban Tebusan seperti itu, saya memikirkan tujuan rancangan kebahagiaan Bapa Syurgawi untuk anda dan saya. Dan dengan konteks itu, saya boleh mula memahami. Tetapi saya fikir tiada sesiapa daripada kita mempunyai pemahaman yang hampir sempurna tentang Korban Tebusan di dunia ini.
Namun apabila kita memahami rancangan dan Korban Tebusan itu boleh membantu kita melalui apa jua cabaran—memberi pengertian tentang damai, kasih, dan kegembiraan, walaupun berdepan dengan kesalahan dan dosa orang lain—maka saya berada di jalan yang benar. Dan selepas air mata, datanglah kegembiraan yang melimpah. Rasa syukur yang sangat luar biasa bahawa Dia telah mengambil semuanya. Dan itulah kesedaran yang paling indah selepas apa jua air mata, kesedihan, atau kesakitan—iaitu kegembiraan. Ia sekali lagi, melangkaui pemahaman saya. Tetapi ia ada, ia nyata, dan ia sangat indah. Dan saya merasakannya sekarang.
Sister Kearon: Setiap kali saya diberi kekuatan untuk menjadi lebih sabar daripada kebiasaan saya, atau sedikit bersederhana daripada biasa, atau untuk membuat pilihan yang lebih baik—setiap kali saya diberi kekuatan, bimbingan, atau dorongan kecil untuk menjadi sedikit lebih baik—itulah bagi saya kuasa dan kekuatan Yesus Kristus yang mengalir daripada korban tebusan-Nya. Bahawa Dia memiliki, hak belas kasihan. Dia telah diberikan hak belas kasihan dan kuasa daripada Bapa untuk dapat meminjamkan kita kekuatan dan kuasa-Nya kerana Dia telah menderita untuk anda dan saya di taman itu dan di atas salib itu. Dan kerana Dia sanggup melakukan itu dan kerana Dia menyempurnakannya hingga ke akhir, Dia mempunyai hak dan kuasa untuk memberikan anda kekuatan-Nya, kasih-Nya, dan harapan-Nya.
Sister Kearon: Dalam kitab Musa, kita membaca bahawa ciptaan Tuhan tidak terbilang jumlahnya. Tidak mungkin kita dapat menghitungnya. Namun Dia berkata dalam Musa 1 , “Ia tidak dapat dihitung oleh manusia; tetapi ianya terhitung bagi Aku, mereka adalah milik Aku.” Malam ini anda adalah satu dalam sejuta tetapi sebenarnya di dunia ini, anda adalah satu daripada lapan bilion namun anda tetap dihitung oleh Tuhan. Anda dikenal oleh Dia. Anda dikenali dan dikasihi, dan Dia tahu setiap perincian dalam kehidupan anda. Dia kenali anda dengan nama, dan Dia akan “meninggalkan sembilan puluh sembilan” untuk mencari yang satu. Jika yang satu itu adalah anda, jika yang satu itu adalah seseorang yang anda kasihi, 99 peratus tidak pernah mencukupi bagi Juruselamat. Dia mahukan setiap seorang, dan pekerjaan-Nya tidak akan selesai sehingga semuanya dikumpulkan dengan selamat.
Elder Kearon: Dan jika kita memahami satu lagi perkara penting berkaitan dengan Korban Tebusan Juruselamat, mungkin ia adalah ini daripada 2 Nefi bab 9: “Oleh kerana itu, mestilah adanya korban tebusan yang tidak terhingga—kecuali ianya suatu korban tebusan yang tidak terhingga, kereputan ini tidak dapat mengenakan ketidakreputan.” Saya bersyukur atas Korban Tebusan Yesus Kristus yang tak terhingga dan bahawa kita semua boleh berkumpul malam ini dengan iman, kuasa, dan pemahaman yang mengalir daripadanya.
Sekarang kita ada satu pesanan—anda ada satu pesanan daripada Presiden Dallin H. Oaks. Ia sangat ringkas. Kira-kira satu setengah minit. Tetapi semasa anda dengarnya, sila dengarkan janji yang dia sampaikan kepada anda.
President Dallin H. Oaks: Sahabat terkasih saya, salah satu peluang terbesar untuk belajar, berkumpul, dan mengangkat orang lain terdapat di institut.
Kita hidup dalam zaman di mana kebisingan dan kekeliruan adalah hal biasa. Sebaliknya, di institut anda akan belajar membezakan kebenaran daripada kesalahan, membina hubungan anda dengan Bapa Syurgawi dan Putera-Nya, Yesus Kristus, mencari arah dan menemui jawapan kepada soalan terbesar dalam kehidupan, bertemu orang lain untuk bantu anda di sepanjang jalan perjanjian, bertemu orang yang mungkin anda pilih untuk kahwini, serta bersedia untuk mengasihi dan memimpin seperti Juruselamat.
Para belia yang dikasihi, saya jemput anda untuk hadiri institut secara konsisten. Saya juga galakkan anda untuk jemput rakan supaya dapat berkongsi berkat yang sama. Saya berjanji bahawa masa anda di institut akan bawa kedamaian, kegembiraan, dan kasih ilahi Juruselamat. Dalam nama Yesus Kristus, amin.