Pesanan Bulanan Untuk Kekuatan Remaja, Mac 2026
Keluaran 12
Paskah Kita—Sakramen
Terdapat persamaan yang sama antara Paskah zaman purba dan sakramen mingguan kita.
Ilustrasi oleh Alyssa Tallent
Sebelum orang Israel purba dapat meninggalkan perhambaan mereka di Mesir, mereka diminta untuk mematuhi arahan khusus daripada Tuhan supaya malaikat maut akan membiarkan mereka terselamat, atau melangkaui mereka (lihat Keluaran 12). Selepas mereka meninggalkan Mesir, orang Israel menyambut perayaan setiap tahun yang dipanggil Paskah, untuk mengingati bagaimana Tuhan menyelamatkan umat perjanjian-Nya.
Semasa minggu terakhir kehidupan fana-Nya, Yesus Kristus berada di jamuan Paskah. Kita sekarang memanggil jamuan itu Perjamuan Terakhir. Juruselamat menggunakan masa itu untuk memperkenalkan tatacara sakramen, yang kini kita ambil dalam setiap minggu. (Lihat Matius 26:26–28; Lukas 22:19–20; Ajaran dan Perjanjian 20:77, 79.)
Berikut adalah dua persamaan antara Paskah yang pertama, Perjamuan Terakhir Tuhan, dan sakramen pada hari ini yang dapat membantu kita mengingati pembebasan kita melalui Juruselamat.
Roti
Paskah: Selama tujuh hari, orang Israel makan roti tidak beragi (yang lebih cepat untuk disediakan dan kurang mudah reput atau berkulat).
Perjamuan Terakhir: Yesus Kristus memberkati dan memecahkan roti Paskah yang tidak beragi, dan Dia memberikannya kepada para pengikut. Dia memberitahu mereka untuk memakannya sebagai peringatan akan tubuh-Nya, yang Dia tahu akan segera dicederakan dan mati, tetapi akan bangkit semula.
Sakramen: Kita makan roti untuk mengingati tubuh Yesus Kristus.
Yesus Kristus ialah Roti yang Memberikan Hidup. Melalui Kebangkitan-Nya, kita semua akan dibangkitkan dengan tubuh yang sempurna, ketidakbinasaan, dan baqa. Dia membebaskan kita dari kematian.
Darah Anak Domba
Paskah: Anak domba Paskah merupakan seekor anak domba jantan berusia setahun yang sempurna tanpa sebarang kecacatan. Ia dibunuh, dan darahnya dikumpulkan dalam mangkuk. Hisop (herba) telah dicelup dalam mangkuk dan digunakan untuk menyapukan darah di sekeliling bingkai pintu luar rumah. Inilah tanda luaran yang mengenal pasti umat perjanjian Tuhan untuk dilangkaui oleh malaikat maut supaya mereka dapat dibebaskan daripada perhambaan di Mesir.
Perjamuan Terakhir: Yesus Kristus menggunakan wain untuk mewakili darah-Nya. Dia memfirmankan para pengikut-Nya untuk meminumnya sebagai peringatan akan darah-Nya, yang akan ditumpahkan untuk mereka untuk pengampunan dosa-dosa dan sebagai sebahagian daripada perjanjian baharu.
Sakramen: Kita minum air sebagai peringatan akan darah Yesus Kristus.
Yesus Kristus ialah Anak Domba Tuhan. Darah-Nya ditumpahkan semasa Dia menderita untuk dosa-dosa dan kelemahan kita. Darah-Nya—pengorbanan-Nya—membersihkan kita. Dia membebaskan kita daripada dosa.
© 2026 oleh Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved. Dicetak di Amerika Syarikat. Kelulusan bahasa Inggeris: 6/19. Kelulusan terjemahan: 6/19. Terjemahan Monthly For the Strength of Youth Message, March 2026. Malay. 19936 348